Thursday, August 11, 2011

^-^Erti cinta (2)^-^

-Carilah cinta Allah sebelum cinta manusia-


بسم الله الرحمن الرحيم
                              IN THE NAME OF ALLAH                             
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


Assalamualaikum wbt. Bagaimana dengan hati kalian di musim bunga ini (Ramadhan), moga masih lagi berusaha untuk menjadi graduan yang bertakwa di pengakhirannya. Tajuk saya untuk kali ini adalah tentang “erti cinta (2)”, bagi yang belum membaca tajuk “erti cinta” yang pertama kali saya lakarkan diblog ini, bolehlah klik disini “Erti Cinta”. Semoga beroleh manfaat yang banyak.


“CINTA” adalah satu perasaan yang Allah anugerahkan kepada setiap orang. Cinta juga melahirkan kedamaian dan ketenteraman. Ingin cinta dan dicintai adalah naluri (instinct) setiap manusia. Jiwa manusia perlukan cinta seperti mana jasad yang memerlukan makanan. Oleh itu cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasai dan menikmatinya. Jika salah, masakan Allah memberi  kita rasa cinta?


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan (kenderaan), binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah lah tempat kembali yang baik." (surah Ali Imran: ayat 14)


Untuk kali ini saya akan bercerita sahaja. Santai tarbawi. Memandangkan ada permintaan untuk saya menulis cerpen, saya akan cuba untuk penuhi permintaan itu. Tetapi apa yang saya cuba sampaikan ini tidaklah seperti cerpen sangat, cuma lebih pada perkongsian dan lakaran kehidupan sahaja.  


********************

Hari ini agak panas, mentari memanah tepat ke bumi membuatkan kepala ini terasa seperti ditusuk dengan satu benda yang sangat tajam. Sakit sangat. Langit yang tidak bertemankan awan seperti kebiasaannya membuatkan bahang kepanasan menjadi berganda kerana tiada yang mampu menghalang gerakan cahaya yang lurus untuk sampai ke permukaan bumi.


Adeela melangkah longlai keluar dari kelas. Bukan kerana tubuhnya kepenatan tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena membuatkan fikirannya melayang entah ke mana. Adeela merasakan dirinya ibarat belon yang kekurangan udara. Tekanan atmosfera yang lebih tinggi menghimpit belon itu. Adeela mengeluh halus. Dia terus melangkah menuju ke surau kampus untuk menunaikan solat zohor. Setelah selesai memberi salam, Adeela menadah tangan bermunajat kepada Allah.


Terasa begitu damai sekali, bersungguh-sungguh dia meminta kepada Allah. Empangan air matanya tadi yang ditahan, kini tertumpah jua. Terasa satu kelegaan yang tersemat kemas dihati. Alhamdulillah. Itulah tempat sebenar yang wajib kita mengadu. Hanya pada Allah.

“Ya Allah dengarlah doaku ini. Aku hambamu yang sangat lemah. Aku memerlukan kekuatan untuk terus bangkit dari kelemahan ini, Ya Allah ujian ini datang darimu maka aku mohon pertolongan darimu,…”


Adeela terus mengadu kepada Allah. Begitu panjang sekali doanya.  


********************

“Kebahagian seorang mukmin adalah cinta kepada Allah dan cinta kerana Allah merupakan kebahagiaan yang mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua makna yang terdalam. Tidak ada yang dapat merasa cinta-Nya kecuali hanya orang mukmin yang benar iaitu mereka yang tidak mahu menerima ganti selain-Nya.”


Apa yang membuatkan Adeela dirundung kesedihan sebenarnya? Sebenarnya Adeela telah dirisik oleh seorang pemuda. Hampir lima kali dia dirisik oleh orang yang sama. Adeela tetap memberi jawapan yang sama, dia tidak mahu. Apabila disingkap kisah hidup Adeela sebelum ini, dia telah pun banyak kali dirisik oleh pemuda-pemuda lain. Tetapi semuanya ditolak olehnya. Baginya itu adalah ujian Allah dalam menguatkannya untuk sentiasa hampir dengan Pencipta. Benarlah, hati dan perasaan itu tidak boleh dipaksa, dia akan datang dengan sendirinya. Adakah Adeela sudah ada pilihannya sendiri?


Soalan itu, pasti bermain diminda pemuda-pemuda yang ingin hadir dalam hidupnya. Jawapannya, biarlah rahsia. Hanya dia dan Rabb sahaja yang mengetahuinya. Buat masa ini, Adeela akan penuhkan hatinya dengan mencintai Allah. Dibiarkan sarat hatinya dengan mencintai Allah. Dia yakin dengan janji Allah. Firman Allah,

“…perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik…”     (surah an-Nur: ayat 26)  


   -Tidak ada istilah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum nikah-


********************  

“Orang yang benar-benar menghayati cintanya kepada Ilahi, sentiasa pasrah kepada-Nya, sabar menempuh ujian, kerana dia tahu ujian itu adalah tarbiyah daripada-Nya. Orang yang mencintai Ilahi, dirinya tidak keluh-kesah apabila ditimpa ujian kerana dia yakin dengan kasih Allah dan yakin dengan janji-janji Allah.”  (mutiara kata)   


Kotak minda Adeela mengimbau kembali peristiwa semasa dia membuat halaqah bersama juniornya. Dia terpegun melihat wajah-wajah baru yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Sebelum meneruskan kata-kata, Adeela meminta seorang adik halaqahnya mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Sedap sekali bacaannya. Tiba-tiba,

“Kak Adeela, fashihah tak dapat teruskan bacaan ni, surah ni membuatkan fashihah teringat kat seseorang la, orang tu baca sedap sangat. Semua orang suka cara dia baca.” Mengadu fashihah pada Adeela.

“Astaghfirullah, jangan la fikir sangat. Erm, tak pelah. Fashihah jumpa kak Adeela lepas ni. Odah, tolong sambung bacaan fashihah tadi boleh?” pinta Adeela.

“Baiklah kak Adeela.” Balas Odah sambil mengukir senyuman. (",)


Setelah selesai halaqah malam itu, adik-adik pulang ke bilik masing-masing berbekalkan tazkirah yang diberikan oleh Adeela sebentar tadi yang bertajuk “syaitan yang menyesatkan”. Kini tinggallah Fashihah dan Adeela di surau itu. Adeela memulakan bicaranya.

“Fashihah ok tak ni? Kak Adeela tengok macam ada masalah je. Kak Adeela nak tanya sikit, sebenarnya Fashihah faham tak maksud surah yang kak Adeela minta suruh baca tu?” Tanya Adeela spontan.

“Fashihah tak faham pun, tapi fashihah teringat saja dekat sorang tu.” Balas Fashihah.

“Fashihah balik bilik nanti cuba tengok maksud dia ya, insyaAllah, lepas Fashihah tengok maksud dia kak Adeela yakin, Fashihah akan mampu mengikisnya dari hidup Fashihah. Cubalah.”


Perbualan itu mati setakat itu sahaja memandang masa tidak mengizinkan. Adakah itu dinamakan cinta? Saya rasa anda sendiri mampu mencari jawapannya. Mudah-mudahan kita mampu melawan nafsu yang cuba untuk menguasai diri kita. Dibulan Ramadhan yang penuh barakah ini, berdoalah kepada Allah bersungguh-sungguh agar diri terpelihara dari cinta yang kosong. Cintakan manusia yang berlainan jantina membawa derita jika tidak mengikut syariat. Cinta selepas nikah itu lebih manis.


********************  

Itu sajalah buat kisah Adeela untuk kali ini. Semoga kita semua mengambil iktibar. Saya ada satu kata-kata yang hendak dikongsikan disini, semoga ianya bermanfaat;

 “Wahai wanita solehah, jangan risau tentang jodohmu kerana muslimin yang baik tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya, pada bicara manja yang menggoda, pada pujuk rayu yang meruntuhkan imannya. Sesungguhnya lelaki itu pemimpin kepada wanita. Andai belum tiba jodohmu, anggaplah adam yang kau nantikan itu sedang membina sahsiah kepimpinannya bagi memimpin dirimu kerana pada wanita itu pasti ada kekurangannya. Dan adam yang benar-benar layak pasti akan hadir untuk melengkapkan dirimu.”

********************

Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika perkongsian saya kurang baik untuk kali ini dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..
                               

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit dan mengingatkan apa-apa kenangan lalu, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)
  

~permata yang dicari~
(Fatin Nabila Bt Sharul Azimin)
12 Ogos 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

4 comments:

  1. assalamualaikum..
    subhanallah..mantap utk post kali ini...
    moga dlm hati kita semuanya ada cinta ALLAH, lebih dr segala2nya..
    insyaallah...

    ReplyDelete
  2. > Srikandi permata

    Wa`alaikumsalam wbt.

    Alhamdulillah, Allah bagi kesempatan untuk tulis tajuk ni.. ^^

    InsyaAllah, mdh2an kita beroleh cinta-Nya. ^_^
    Jazakillah, kerana sudi menjadi orang yang setia meninggalkan jejak disini.. =)

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  3. Assalamu'alaikum ya ukhtil mahbubah^^

    Salam Ramadhan Kareem :-)

    Indah coretan ini, alhamdulillah..teruskan penulisan-penulisan sebegini, Moga ALLAH merahmati selalu..aamiin

    ReplyDelete
  4. > Ahlia iman

    Wa`alaikumsalam wbt dan salam mahabbah fillah ^^

    Salam ramadhan kareem aidhan..:)

    Alhamdulillah, minggu ni Allah bagi kelapangan sikit kepada saya untuk mengarang.. Moga beroleh manfaat yang banyak disini..^^

    Jazakillah kerana sudi ke sini, jemput datang lagi..
    Mudah2ana tidak terasa jemu meninggalkan jejak disini..

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete