kematian itu adalah sebaik-baik tazkirah
عن ابي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أكثروا من ذكر هاذم اللذات
(يعني الموت)
(رواه الترمذي وقال حديث حسن)
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakanlah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan (iaitu mati).”
(Hadith Riwayat Al-Tirmizi)
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… Sebelum madah diteruskan, ucapan Assalamualaikum ditujukan buat para pembaca blog permata yang dicari sekalian yang dikasihi fillah. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW rasul Dakwah dan Tarbiyah. Dengan rahmat kasih sayang-Nya, saya dapat lagi berkongsi sesuatu dengan semua. Mudah-mudahan perkongsian kali ini bermanfaat buat semua.
Mengingati mati adalah salah satu ubat kepada hati yang berkarat sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya hati manusia itu akan berkarat seperti mana karatnya besi. Para sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimanakah hendak mengubatinya Ya Rasulullah? Maka Rasulullah SAW menjawab: Tilawah al-Quran dan sentiasa mengingati mati.”
Mengingati mati adalah pencuci hati yang paling berkesan. Dari sinilah kita akan memasuki pintu keinsafan dan kesedaran. Marilah kita sama-sama mengambil peluang yang disediakan untuk sentiasa memperbaharui iman sekali gus mempertingkatkannya. Dengan mengingati mati juga akan membuatkan kita membatalkan niat untuk melakukan kemungkaran kepada Allah SWT.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian..” kalau kita perhatikan, menjauhkan diri daripada membicarakan soal kematian adalah suatu tindakan yang kurang bijak. Hal ini kerana sejauh mana pun kita melarikan diri, maut itu tetep akan datang menjemput kita. Itu adalah sunnatullah yang tidak dapat kita nafikan dan lari daripadanya.
Mati juga adalah penutup dan pemutus segala-galanya. Mati akan melontarkan kita ke satu alam, yakni alam kubur, satu tempat transit, sebelum kita dibawa untuk berkumpul di Padang Mahsyar dan dihitung dengan Mizan Allah. Namun ada tiga perkara di dunia yang masih kekal berhubung dengan kita selepas mati. Tiga perkara itu adalah:
· Sedekah jariah yang kita lakukan, seperti membuat masjid, sekolah, jalan raya dan sebagainya.
· Ilmu yang bermanfaat yang kita sebar dan ajarkan kepada orang lain dan ilmu tersebut terus diamalkan oleh orang lain.
· Doa daripada anak-anak yang soleh.
Tiga amal ini akan sentiasa memenuhi kantung pahala kita, walaupun kita telah mati. Selagi mana tiga perkara itu berjalan dan terus digunakan, kita akan mendapat pahala seperti kita membuat amalan tersebut ketika masih hidup. Kematian ini ada dua jenis:
· Husnul Khatimah (Penamat yang baik)
· Su’ul Khatimah (Penamat yang buruk)
Mati secara husnul khatimah, yakni suatu kematian dalam keadaan beriman kepada Allah, dengan kehidupannya yang dedikasi mengikuti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya. Mati secara su’ul khatimah pula ialah mati dalam keadaan ingkar kepada Allah, dengan kehidupannya yang ingkar kepada perintah Allah dan melakukan segala yang Allah larang.
Jika kita, kita mahu mati yang bagaimana? Hidup itu memang, mati itu pasti. Adakah kita yakin kita boleh bernafas pada keesokan hari dan berbangga akan dosa pada hari ini? Saya tinggalkan persoalan ini buat semua agar kita mampu untuk bermuhasabah diri. Moga iman dan amal tertingkat demi meraih pengakhiran yang baik (husnul khatimah). Wallahu`alam.
p/s: Seorang pujangga ada berkata: “Kehidupan ini ibarat musafir yang berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, apabila letihnya hilang, dia akan meneruskan perjalanannya.”
~Permata yang dicari~
SEPTEMBER 2011
-Kota Bharu, Kelantan-
assalamualaikum..
ReplyDeletealhamdulillah perkongsian yang menarik...hari ni saya baru nak buat post mengenai KEMATIAN...
bila saya buka blog akak,TERKESIMA sebentar sebab post terbaru akak juga tentang KEMATIAN..
doakan moga Allah menarik nyawa saya dalam keadaan saya beriman kepada ALLAH..terima kasih atas perkongsian ini...
> sofeaqistina
ReplyDeleteWa`alaikumsam wbt.
InsyaAllah, didoakan semua muslimin dan muslimat pengakhirannya adalah husnul khatimah..
Teruskan juga berkongsi di blog..
Moga ianya bermanfaat buat semua orang.. ^^
"Syarat untuk mendapat hidayah ialah mujahadah & Kematian adalah sebaik-baik tazkirah."
~permata yang dicari~