Monday, February 11, 2013

::.Mutiara Yang Perlu Dijaga.::


بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Mardhotillah Yang Perlu Di kejar dalam hidup~ 



Apa yang dimaksudkan dengan mutiara disini? Anda ingin tahu? Jom sama-sama kita membacanya. Mutiara yang dimaksudkan disini ialah ikhlas dan ianya sangat perlu dijaga. Ikhlas adalah satu perkataan yang sangat mudah kita lafazkan tapi bukan mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Terkadang keikhlasan itu hanya mampu dijaga diawal perbuatan, namun akhirnya jatuh juga ke lembah riyak dan ujub. Nauzubillah!! 


Keikhlasan adalah sebutir mutiara yang sangat mahal yang harus dimiliki oleh setiap Mukmin. Mutiara yang mesti digilap daripada pelbagai macam kotoran dan debu. Apatah lagi orang yang ikhlas akan sentiasa dibayangi oleh syaitan durjana yang ingin merosakkan amalan ikhlasnya. 


*       MAKSUD DI SEBALIKNYA  
Ikhlas dari segi bahasa ialah bersih daripada kekotoran, manakala dari segi istilah syarak membawa maksud: berniat mengharapkan keredhaan Allah dengan melakukan amal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun. Segala amal orang yang ikhlas dilakukan semata-mata kerana Allah.


Dalam Surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam.” Ikhlas dengan pengertian seperti itu merupakan salah satu hasil daripada kesempurnaan amalan kita kepada Allah s.w.t.  


*       KELEBIHAN ORANG YANG IKHLAS
Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan orang yang ikhlas dalam amalannya yang disebut oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran. Di antaranya adalah, Allah akan menolong hamba-Nya yang ikhlas, menjaga hamba-Nya dengan Penglihatan-Nya yang tidak pernah tidur. Allah juga akan memperkenankan doa orang yang ikhlas walaupun kadang-kadang manusia sering lupa untuk bersyukur setelah dapat apa yang diminta.


Mari kita renungi firman Allah dalam surah Yunus ayat 22-23 yang bermaksud: “Dialah (Allah) Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di atas daratan, belayar di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurlah bahtera itu membawa penumpang-penumpang di dalamnya, dengan tiupan angin yang baik dan meraka bergembira kerana-Nya, tiba-tiba datanglah angin badai dan apabila gelombang dari segenap penjuru menimpanya dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung dengan bahaya, maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata seraya berkata: ‘Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pasti kami akan termasuk dalam kalangan orang yang bersyukur.’ Maka setelah Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa alasan yang munasabah.”


Setiap amalan yang disulami dengan keikhlasan akan membuatkan jiwa menjadi tenang, tenteram serta hatinya tidak terkesan dengan pujian atau cacian manusia. Ini adalah kerana setiap amalannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. semata-mata. Tanpa keikhlasan, amalan itu hanya akan menjadi sia-sia seperti firman Allah s.w.t di dalam surah al-Furqan ayat 23: 

﴿وَقَدِمْنَاإِلَى مَا عَمِلُواْ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَهُ هَبَاۤءًمَنْثُورَا﴾
Maksudnya: “Kami hadapkan segala amal perbuatan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikannya bagai debu yang berterbangan.”


p/s: Jadi sama-sama kita renungi sejauh mana keikhlasan kita selama ini dalam melakukan sesuatu perkara, mudah-mudahan diterima-Nya. Setakat ini dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga sedikit sebanyak kita mampu untuk aplikasikan dalam kehidupan kita. Wallahu’alam.  

     ~Permata yang dicari~
12 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -

No comments:

Post a Comment