Saturday, August 27, 2011

::.Kita Digesa Bertaubat.::

 
~ Bertaubatlah sebelum nyawa sampai ke kerongkongan~ 


“Ya Allah dengarlah doa kami ini, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar. Ampunkanlah dosa-dosa kami, dosa ibu bapa kami dan dosa seluruh umat Islam sama ada dosa itu kami sedar atau tidak. Terimalah permintaan kami Ya Allah.”
                              

Assalamualaikum wbt.
Dengan nama Allah, untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi satu kisah dibawah tajuk Kita Digesa Bertaubat yang mungkin pernah dan tidak penah didengar oleh orang lain. Sebelum pergi dengan lebih jauh, saya ingin bertanya kepada anda semua, lagi berapa hari agaknya Ramadhan akan meninggalkan kita? Adakah kita sudah bersedia? Adakah kita bersungguh-sungguh memohon ampun ampun kepada Allah? Jawablah dalam hati anda.


Kisah yang saya bawakan ini tentang 100 Nyawa Diganti Keampunan, ianya dibawah tajuk Kita Digesa Bertaubat. Saya tertarik apabila mendengar kisah ini daripada seorang ustaz semasa saya di tingkatan 2 dahulu. Jika anda tertarik dan ingin tahu, bacalah dahulu kemudian buatlah kesimpulan dan muhasabahlah diri kembali. 


****************


Diceritakan pada zaman dahulu, terdapat seorang lelaki yang telah membunuh seramai 99 orang. Lelaki tersebut dari kalangan penduduk Bani Israel. Suatu hari beliau telah menyesal dengan perbuatannya itu dan terdetik ingin bertaubat kepada Allah SWT.


Lalu dia keluar ingin menemui orang alim dikawasan kampungnya supaya dibimbing kearah bertaubat dan beribadah. Setelah agak lama mencari, akhirnya dia berjumpa dengan seorang ahli ibadah. Dia pun menceritakan keadaan dirinya. Setelah itu, lantas dia bertanya sesuatu kepada ahli ibadah itu. 

Pemuda: Adakah pintu taubat masih terbuka buatku?

Ahli Ibadah: Tidak.

Lelaki tersebut amat marah lalu dia membunuh ahli ibadah yang berada dihadapannya tadi. Maka, genablah 100 orang yang telah dibunuh olehnya.


Dia tersentak dengan perbuatanya itu dan berasa amat menyesal lalu meneruskan perjalanannya, bagi mencari orang alim lain yang boleh membantunya. Setelah sekian lama mencari dan bertanya kepada orang ramai, akhirnya dia dipertemukan dengan seorang alim disebuah kawasan.


****************


Dengan bersungguh-sungguh, dia menceritakan perkara yang sama kepada orang alim tersebut. Dia menceritakan dia telah membunuh 100 orang kepada orang alim itu. Soalan yang sama ditanya kepada orang alim itu. 

Pemuda: Adakah pintu taubat masih terbuka buatku?


Orang alim yang dari tadi mendengar ceritanya menjawab;

Orang alim: Ya, apakah yang menghalang antara kamu dan taubat? Pergilah kamu ke sebuah perkampungan itu, disana tinggal manusia yang beribadah kepada Allah SWT. Tinggallah kamu bersama mereka dan jangan kamu kembali ke lamanmu kerana disitu tempat yang tidak baik bagimu.   


Lelaki tadi berasa sangat gembira dengan jawapan yang diberikan oleh orang alim tadi. Dia lantas meneruskan perjalanan ke arah kampung yang ditunjukkan. Dengan takdir Allah SWT, dia mati di pertengahan jalan sebelum sempat tiba ke destinasi yang ingin dituju.


Tidak lama selepas itu, turunlah Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab bagi mengadili kedudukan lelaki tadi. Namun, tiada kesepakatan yang ditemui kerana kedudukan lelaki tersebut membuatkan mereka keliru. Maka berlakulah perbualan diantara mereka;  

Malaikat Rahmat: Dia datang ke sini dengan niat yang baik kerana Allah SWT.


Malaikat Azab: Tetapi dia tidak pernah melakukan kebaikan sedikit pun.


 ****************


Tiba-tiba, Allah SWT menghantar malaikat lain yang menyerupai manusia ke tempat lelaki tadi mati dan berkata, “ukurlah jarak antara tempatnya dan tempat yang ingin dituju. Yang mana paling dekat antara keduanya, maka itulah habuan baginya.”


Mereka mengukur jarak kedua tempat seperti yang diarahkan. Setelah itu, didapati jarak antara tempat kematian lelaki dan kampung yang ditujunya ternyata lebih dekat. Akhirnya lelaki yang telah membunuh 100 orang tanpa sempat bertaubat kepada Allah SWT telah mendapat keampunan.  


****************


Subhanallah, hebat bukan? Begitu sekali kesungguhnya untuk bertaubat. Kita bagaimana? Ingatlah Allah itu Maha Pengampun, biarpun sebanyak atau setinggi mana pun dosa yang kita lakukan Allah tetap akan mengampunkan kita kecuali dosa syirik kepada Allah SWT.


“Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan dan kesedihan malahan kedukacitaan, melainkan dihapuskan segala dosa-dosanya.”  (Riwayat Bukhari dan Muslim)



p/s: Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan semua, semoga bermanfaat. Ambillah iktibar dari kisah diatas dan tetaplah kita dalam melakukan kebaikan(istiqamah). Wallahu`alam. ^_^


~permata yang dicari~
27 OGOS 2011
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

Friday, August 19, 2011

::.“Rebut Kasih Ramadhan”.::

 ~Rebutlah ia sebelum ia pergi meninggalkan kita~


Ya Allah di malam yang sepi ini, kubermunajat hanya pada-Mu, kuluahkan segalanya hanya padamu semata-mata. Aku hamba-Mu yang sangat lemah dan kekuatan yang sedikit ini yang membuatkan aku terus bangun semuanya adalah pinjaman dari-Mu.  
                                           

… Ya Allah kuhadapkan wajahku kepada-Mu yang menciptakan langit dan bumi. Sesungguhnya Ya Allah, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana-Mu semata-mata.


… Suasana terasa sayu sekali. Di malam yang sunyi, bertemankan kasih Allah. Hati ini terus merintih pada-Nya. Ahh, tidak mampuku menahan air mata ini lagi. Biarlah ia tumpah dari empangan ini, supaya hati terasa tenang dengan pelukan kasih Allah.


***************


… Al-Quran di sisi cuba ku capai, kubelek dengan mata hatiku. Terpaku pada satu surah. Surah ar-Rahman. Sejak di bangku sekolah lagi iaitu di tingkatan 3 aku mulai suka surah ini dan berjaya menghafalnya. Bagiku surah ini mampu mengalir mata ini dengan deras sekali tanpa halangan dengan penghayatan yang mendalam.


… Tiba-tiba hati kecilku berbisik “rebutlah kasih Allah di bulan Ramadhan yang mulia ini, tetapi ingatlah jangan jadi hamba Ramadhan sebaliknya jadilah hamba Rabbani.” Ya Allah lagi 10 hari, Ramadhan akan pergi. Musim bungan akan berakhir tidak lama lagi.


… Aku cuba bangkitkan hati ini dan terus memujuknya. Al-Quran digenggaman kupeluk erat. Hati bertambah sayu apabila memikirkan masalah-masalah yang bertimbun. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana mengurniakan Ramadhan kepadaku lagi.


***************


… Ya Allah, aku juga bersyukur kerana dilahirkan dalam bulan Ramdhan. 28 Ramadhan 1412 Hijrah, bersamaan 2 April 1992. Aku diberi kesempatan untuk menghirup udara Ramadhan diawal kelahiranku.


… Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah mereka seperti mana mereka mengasihiku ketika kukecil. Kuterbayang-bayang wajah mak dan abah yang berjauhan denganku, mengalir lagi air mata ini. Terasa susah hendak berhenti.


***************


… Ketahuilah kalian, sesungguhnya Allah telah menyediakan ganjaran yang sangat banyak kepada kita di bulan Ramadhan ini sepenuh dan sepadat diantara langit dan bumi. Apa yang ditunggu lagi, jom kita rebutnya bersama.


… Wahai hati Ramadhan hanya datang sekali setahun. Kenapa kita begitu berkira dengan Allah? Kenapa kita terasa susah untuk bangun? Cubalah kita renungkan balik hati kita, pujuklah hati untuk diserahkan kepada Allah sepenuhnya.


***************



… Aku menghampiri jendela yang tirainya sedikit terselak. Yang kelihatan dilangit, hanyalah bulan yang separuh. Cantik. Tetapi hanya separuh. Kutatap agak lama sambil memujuk hati, terasa hembusan kasih sayang Allah dibulan Ramadhan ini kedalam hati. Sungguh, terasa tenang sekali.


… Jeritan hati yang tadinya, kini sudah reda.  رب العلمين. Jangan tinggalkan diri ini terkapai-kapai lagi. Lemas. Tidak sanggupku mensia-siakan Ramadhan ini. Bimbang jika Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir.


***************


… Perasaan bimbang menyelubungi hati. Tertanya-tanya. Adakah aku berjaya beroleh takwa yang Allah sebutkan didalam Al-Quran?

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa seperti mana orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.”    (Surah al-Baqarah -183)



… Ya Allah, bantulah aku untuk memperoleh malam Lailatul Qadr. Mudahkanlah aku hati aku untuk merintih hanya pada-Mu. Ampunkanlah dosa-dosa yang terlekat pada hati ini Ya Allah. Aku terlalu lemah jika dosa-dosa itu menyelubungi hati.


 ***************


  Akhir sekali, saya mohon maaf jika perkongsian saya kali ini kurang menarik. Hanya ini yang mampu saya lakarkan kerana ini merupakan luahan hati saya. Marilah sama-sama merebut kasih Allah dibulan Ramadhan ini yang hanya tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi.
                                          

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit atau berbangga diri, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)  

Luahan hati,
~permata yang dicari~
20 OGOS 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Thursday, August 11, 2011

^-^Erti cinta (2)^-^

-Carilah cinta Allah sebelum cinta manusia-


بسم الله الرحمن الرحيم
                              IN THE NAME OF ALLAH                             
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


Assalamualaikum wbt. Bagaimana dengan hati kalian di musim bunga ini (Ramadhan), moga masih lagi berusaha untuk menjadi graduan yang bertakwa di pengakhirannya. Tajuk saya untuk kali ini adalah tentang “erti cinta (2)”, bagi yang belum membaca tajuk “erti cinta” yang pertama kali saya lakarkan diblog ini, bolehlah klik disini “Erti Cinta”. Semoga beroleh manfaat yang banyak.


“CINTA” adalah satu perasaan yang Allah anugerahkan kepada setiap orang. Cinta juga melahirkan kedamaian dan ketenteraman. Ingin cinta dan dicintai adalah naluri (instinct) setiap manusia. Jiwa manusia perlukan cinta seperti mana jasad yang memerlukan makanan. Oleh itu cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasai dan menikmatinya. Jika salah, masakan Allah memberi  kita rasa cinta?


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diinginkan iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan (kenderaan), binatang-binatang ternakan dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan disisi Allah lah tempat kembali yang baik." (surah Ali Imran: ayat 14)


Untuk kali ini saya akan bercerita sahaja. Santai tarbawi. Memandangkan ada permintaan untuk saya menulis cerpen, saya akan cuba untuk penuhi permintaan itu. Tetapi apa yang saya cuba sampaikan ini tidaklah seperti cerpen sangat, cuma lebih pada perkongsian dan lakaran kehidupan sahaja.  


********************

Hari ini agak panas, mentari memanah tepat ke bumi membuatkan kepala ini terasa seperti ditusuk dengan satu benda yang sangat tajam. Sakit sangat. Langit yang tidak bertemankan awan seperti kebiasaannya membuatkan bahang kepanasan menjadi berganda kerana tiada yang mampu menghalang gerakan cahaya yang lurus untuk sampai ke permukaan bumi.


Adeela melangkah longlai keluar dari kelas. Bukan kerana tubuhnya kepenatan tetapi terasa jiwanya ada sesuatu yang tidak kena membuatkan fikirannya melayang entah ke mana. Adeela merasakan dirinya ibarat belon yang kekurangan udara. Tekanan atmosfera yang lebih tinggi menghimpit belon itu. Adeela mengeluh halus. Dia terus melangkah menuju ke surau kampus untuk menunaikan solat zohor. Setelah selesai memberi salam, Adeela menadah tangan bermunajat kepada Allah.


Terasa begitu damai sekali, bersungguh-sungguh dia meminta kepada Allah. Empangan air matanya tadi yang ditahan, kini tertumpah jua. Terasa satu kelegaan yang tersemat kemas dihati. Alhamdulillah. Itulah tempat sebenar yang wajib kita mengadu. Hanya pada Allah.

“Ya Allah dengarlah doaku ini. Aku hambamu yang sangat lemah. Aku memerlukan kekuatan untuk terus bangkit dari kelemahan ini, Ya Allah ujian ini datang darimu maka aku mohon pertolongan darimu,…”


Adeela terus mengadu kepada Allah. Begitu panjang sekali doanya.  


********************

“Kebahagian seorang mukmin adalah cinta kepada Allah dan cinta kerana Allah merupakan kebahagiaan yang mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua makna yang terdalam. Tidak ada yang dapat merasa cinta-Nya kecuali hanya orang mukmin yang benar iaitu mereka yang tidak mahu menerima ganti selain-Nya.”


Apa yang membuatkan Adeela dirundung kesedihan sebenarnya? Sebenarnya Adeela telah dirisik oleh seorang pemuda. Hampir lima kali dia dirisik oleh orang yang sama. Adeela tetap memberi jawapan yang sama, dia tidak mahu. Apabila disingkap kisah hidup Adeela sebelum ini, dia telah pun banyak kali dirisik oleh pemuda-pemuda lain. Tetapi semuanya ditolak olehnya. Baginya itu adalah ujian Allah dalam menguatkannya untuk sentiasa hampir dengan Pencipta. Benarlah, hati dan perasaan itu tidak boleh dipaksa, dia akan datang dengan sendirinya. Adakah Adeela sudah ada pilihannya sendiri?


Soalan itu, pasti bermain diminda pemuda-pemuda yang ingin hadir dalam hidupnya. Jawapannya, biarlah rahsia. Hanya dia dan Rabb sahaja yang mengetahuinya. Buat masa ini, Adeela akan penuhkan hatinya dengan mencintai Allah. Dibiarkan sarat hatinya dengan mencintai Allah. Dia yakin dengan janji Allah. Firman Allah,

“…perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik…”     (surah an-Nur: ayat 26)  


   -Tidak ada istilah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum nikah-


********************  

“Orang yang benar-benar menghayati cintanya kepada Ilahi, sentiasa pasrah kepada-Nya, sabar menempuh ujian, kerana dia tahu ujian itu adalah tarbiyah daripada-Nya. Orang yang mencintai Ilahi, dirinya tidak keluh-kesah apabila ditimpa ujian kerana dia yakin dengan kasih Allah dan yakin dengan janji-janji Allah.”  (mutiara kata)   


Kotak minda Adeela mengimbau kembali peristiwa semasa dia membuat halaqah bersama juniornya. Dia terpegun melihat wajah-wajah baru yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Sebelum meneruskan kata-kata, Adeela meminta seorang adik halaqahnya mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Sedap sekali bacaannya. Tiba-tiba,

“Kak Adeela, fashihah tak dapat teruskan bacaan ni, surah ni membuatkan fashihah teringat kat seseorang la, orang tu baca sedap sangat. Semua orang suka cara dia baca.” Mengadu fashihah pada Adeela.

“Astaghfirullah, jangan la fikir sangat. Erm, tak pelah. Fashihah jumpa kak Adeela lepas ni. Odah, tolong sambung bacaan fashihah tadi boleh?” pinta Adeela.

“Baiklah kak Adeela.” Balas Odah sambil mengukir senyuman. (",)


Setelah selesai halaqah malam itu, adik-adik pulang ke bilik masing-masing berbekalkan tazkirah yang diberikan oleh Adeela sebentar tadi yang bertajuk “syaitan yang menyesatkan”. Kini tinggallah Fashihah dan Adeela di surau itu. Adeela memulakan bicaranya.

“Fashihah ok tak ni? Kak Adeela tengok macam ada masalah je. Kak Adeela nak tanya sikit, sebenarnya Fashihah faham tak maksud surah yang kak Adeela minta suruh baca tu?” Tanya Adeela spontan.

“Fashihah tak faham pun, tapi fashihah teringat saja dekat sorang tu.” Balas Fashihah.

“Fashihah balik bilik nanti cuba tengok maksud dia ya, insyaAllah, lepas Fashihah tengok maksud dia kak Adeela yakin, Fashihah akan mampu mengikisnya dari hidup Fashihah. Cubalah.”


Perbualan itu mati setakat itu sahaja memandang masa tidak mengizinkan. Adakah itu dinamakan cinta? Saya rasa anda sendiri mampu mencari jawapannya. Mudah-mudahan kita mampu melawan nafsu yang cuba untuk menguasai diri kita. Dibulan Ramadhan yang penuh barakah ini, berdoalah kepada Allah bersungguh-sungguh agar diri terpelihara dari cinta yang kosong. Cintakan manusia yang berlainan jantina membawa derita jika tidak mengikut syariat. Cinta selepas nikah itu lebih manis.


********************  

Itu sajalah buat kisah Adeela untuk kali ini. Semoga kita semua mengambil iktibar. Saya ada satu kata-kata yang hendak dikongsikan disini, semoga ianya bermanfaat;

 “Wahai wanita solehah, jangan risau tentang jodohmu kerana muslimin yang baik tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya, pada bicara manja yang menggoda, pada pujuk rayu yang meruntuhkan imannya. Sesungguhnya lelaki itu pemimpin kepada wanita. Andai belum tiba jodohmu, anggaplah adam yang kau nantikan itu sedang membina sahsiah kepimpinannya bagi memimpin dirimu kerana pada wanita itu pasti ada kekurangannya. Dan adam yang benar-benar layak pasti akan hadir untuk melengkapkan dirimu.”

********************

Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika perkongsian saya kurang baik untuk kali ini dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..
                               

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit dan mengingatkan apa-apa kenangan lalu, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)
  

~permata yang dicari~
(Fatin Nabila Bt Sharul Azimin)
12 Ogos 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Friday, August 5, 2011

::.Bersahurlah Walaupun Seteguk Air.::

~marilah kita mengimarahkan ramadhan ini dengan bersahur~            

Malam ini agak sejuk udaranya. Langit yang hanya bertemankan bintang tanpa kehadiran bulan membuatkan suasana tenang sahaja. Terasa rindu sangat-sangat untuk melihat bulan penuh lagi. Memandang langit, bintang dan bulan di malam hari menjadi kegemaran saya setiap hari. Terasa begitu tenang sekali dan betapa kerdilnya diri ini. Subhanallah, hebatnya Allah menciptakan semua ini. Semuanya dalam rangka untuk hampir pada-Nya.


Sudah seminggu, blog ini tidak terusik. Terasa usang pula. Bukan tidak mahu hadirkan post yang baru. Cuma tidak berkesempatan sahaja. Hari-hari sibuk. Maafkan saya.  Alhamdulillah, hari ini jari-jemari ini mampu mencoretkan sesuatu buat semua. Apa yang saya kongsikan ini, tidaklah sehebat mana pun, tetapi harapnya ada juga manfaat buat semua.


*******************

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”


Bila diceritakan pasal sahur ni, membuatkan saya teringat di sekolah saya dahulu (MATRI). Masa hari pertama hendak berpuasa, bukan main ramai lagi orang turun untuk bersahur di dewan makan. Putera puteri sama sahaja.


Tetapi, lama kelamaan makin berkurang pula. Manalah perginya. Makanan yang disediakan tidak sedapkah? Bukan makanan tu tak sedap, tapi ramainya malas nak bangun. Ruginya. Bukankah dalam sahur itu ada keberkatan? Jom bermuhasabah kembali. 


*******************

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah kepada kita. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi yang membawa maksud: “Makanlah sahur, sekalipun seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang-orang yang berpuasa walaupun hanya makan atau minum sedikit sahaja. 


Selain disunatkan bersahur, kita juga disunatkan untuk melewatkan waktu bersahur kerana amalan itu dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam keadaan kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud, bersahur ketika waktu menghampiri Subuh dan bukan ketika subuh atau selepas subuh ya. Jangan salah faham. ^^


Sayangnya Allah kepada kitakan? Jadi tidak ada alasanlah untuk kita tidak bangun bersahur bukan? ^^


p/s: Ayuh imarahkanlah Ramadhan kita dengan bangun bersahur walaupun hanya seteguk air. Moga Allah mudahkan kita semua untuk bangun bersahur.  

-Permata Yang Dicari-
6 OGOS 2011
Kota Bharu, Kelantan