Showing posts with label Bicara Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Bicara Al-Quran. Show all posts

Monday, February 11, 2013

::.Mutiara Yang Perlu Dijaga.::


بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Mardhotillah Yang Perlu Di kejar dalam hidup~ 



Apa yang dimaksudkan dengan mutiara disini? Anda ingin tahu? Jom sama-sama kita membacanya. Mutiara yang dimaksudkan disini ialah ikhlas dan ianya sangat perlu dijaga. Ikhlas adalah satu perkataan yang sangat mudah kita lafazkan tapi bukan mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Terkadang keikhlasan itu hanya mampu dijaga diawal perbuatan, namun akhirnya jatuh juga ke lembah riyak dan ujub. Nauzubillah!! 


Keikhlasan adalah sebutir mutiara yang sangat mahal yang harus dimiliki oleh setiap Mukmin. Mutiara yang mesti digilap daripada pelbagai macam kotoran dan debu. Apatah lagi orang yang ikhlas akan sentiasa dibayangi oleh syaitan durjana yang ingin merosakkan amalan ikhlasnya. 


*       MAKSUD DI SEBALIKNYA  
Ikhlas dari segi bahasa ialah bersih daripada kekotoran, manakala dari segi istilah syarak membawa maksud: berniat mengharapkan keredhaan Allah dengan melakukan amal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun. Segala amal orang yang ikhlas dilakukan semata-mata kerana Allah.


Dalam Surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam.” Ikhlas dengan pengertian seperti itu merupakan salah satu hasil daripada kesempurnaan amalan kita kepada Allah s.w.t.  


*       KELEBIHAN ORANG YANG IKHLAS
Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan orang yang ikhlas dalam amalannya yang disebut oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran. Di antaranya adalah, Allah akan menolong hamba-Nya yang ikhlas, menjaga hamba-Nya dengan Penglihatan-Nya yang tidak pernah tidur. Allah juga akan memperkenankan doa orang yang ikhlas walaupun kadang-kadang manusia sering lupa untuk bersyukur setelah dapat apa yang diminta.


Mari kita renungi firman Allah dalam surah Yunus ayat 22-23 yang bermaksud: “Dialah (Allah) Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di atas daratan, belayar di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurlah bahtera itu membawa penumpang-penumpang di dalamnya, dengan tiupan angin yang baik dan meraka bergembira kerana-Nya, tiba-tiba datanglah angin badai dan apabila gelombang dari segenap penjuru menimpanya dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung dengan bahaya, maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata seraya berkata: ‘Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pasti kami akan termasuk dalam kalangan orang yang bersyukur.’ Maka setelah Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa alasan yang munasabah.”


Setiap amalan yang disulami dengan keikhlasan akan membuatkan jiwa menjadi tenang, tenteram serta hatinya tidak terkesan dengan pujian atau cacian manusia. Ini adalah kerana setiap amalannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. semata-mata. Tanpa keikhlasan, amalan itu hanya akan menjadi sia-sia seperti firman Allah s.w.t di dalam surah al-Furqan ayat 23: 

﴿وَقَدِمْنَاإِلَى مَا عَمِلُواْ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَهُ هَبَاۤءًمَنْثُورَا﴾
Maksudnya: “Kami hadapkan segala amal perbuatan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikannya bagai debu yang berterbangan.”


p/s: Jadi sama-sama kita renungi sejauh mana keikhlasan kita selama ini dalam melakukan sesuatu perkara, mudah-mudahan diterima-Nya. Setakat ini dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga sedikit sebanyak kita mampu untuk aplikasikan dalam kehidupan kita. Wallahu’alam.  

     ~Permata yang dicari~
12 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -

Thursday, February 7, 2013

::.Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah.::




بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Ringankan tulangmu~


Dalam institusi perkahwinan, Allah SWT telah memberikan amanah kepada pasangan suami isteri untuk membina sebuah keluarga yang harmoni. Tanggungjawab ini merupakan satu ibadah yang mesti dilaksanakan berlandaskan syariat yang telah digariskan. Kebahagiaan dalam rumahtangga memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pasangan. Sejarah Islam telah merakamkan kejayaan Rasulullah s.a.w. dalam pelayaran rumahtangga sehingga Baginda menjadi contoh kepada masyarakat dunia.   


Islam menghendaki agar tiang-tiangnya dibangun di dalam dada individu, di dalam sebuah rumahtangga, dalam sebuah masyarakat, sebuah negara, sebuah khilafah, kemudian di atas seluruh permukaan bumi sebelum akhirnya tertegak di seluruh alam semesta ini.
Keluarga merupakan salah satu elemen yang akan membangun sebuah masyarakat yang bercita-cita tinggi.


Berikut adalah beberapa ciri untuk mendapat sebuah keluarga Sakinah, Mawaddah wa Rahmah:

*      KELUARGA RABBANI
Ertinya, di dalam keluarga atau masyarakat tersebut, setiap anggotanya berusaha untuk berlumba di dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah swt sebagai rujukan utama keluarga atau masyarakat. Mereka menyedari bahwa hanya Allah sahajalah yang mesti dijadikan tempat meminta bagi mewujudkan kebahagiaan bersama. Ini adalah kerana mereka meyakini firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan.”


*      KELUARGA YANG CINTA ILMU
Firman Allah dalam surah al-‘Alaq ayat 1 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” Ayat pertama yang turun kepada Rasulullah s.a.w adalah ayat di atas iaitu : “Bacalah!”, pelajarilah! Keluarga sakinah adalah keluarga yang cinta ilmu. Ringkasnya, keluarga sakinah atau rabbani terdiri dari anggota keluarga yang telah menghayati sabda Rasulullah saw berikut: “Barangsiapa ingin berjaya di dunia, tuntutlah ilmu. Barangsiapa ingin berjaya di akhirat, tuntutlah ilmu. Dan barangsiapa ingin berjaya di dunia dan di akhirat, tuntutlah ilmu.” 


*      KELUARGA YANG MENJAGA BERCAKAPAN
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (riwayat Bukhari dan Muslim). Pesanan yang ringkas dari Rasulullah s.a.w, tapi sangat mendalam. Tidak meletakkan keutamaan berkata baik kepada siapa, bermakna kita harus mengaplikasikannya terhadap orang di sekeliling kita samada keluarga, saudara mara, pensyarah, rakan-rakan, jiran tetangga, penjual ikan, pekedai. Cuma saya tertarik untuk mengaitkannya dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah. Komunikasi yang baik penting dalam sebuah rumahtangga.  


*      KELUARGA YANG SALING MEMBANTU DAN MENDOAKAN
Sikap ringan tulang adalah perkara yang disukai oleh orang sekeliling dalam membantu melakukan sesuatu kerja atu tugasan. Ini juga salah satu cara untuk mengambil hati keluarga, baik suami mahupun isteri. Disamping itu, ringan-ringankanlah mulut dan hati anda untuk sentiasa saling mendoakan kebaikan di dunia dan akhirat. Berdoa itu sangat penting dalam mengekalkan sebuah keluarga yang harmoni dan sentiasa dipayungan rahmat Allah.


Sesungguhnya, kebahagiaan sebuah keluarga terletak pada kebijaksanaan nakhodanya, iaitu suami atau ayah. Seandainya nakhoda ini sering bertelagah dengan anak-anak kapal, maka sukar untuk sampai ke destinasi utama, iaitu pantai keluarga sakinah. Kesannya, masalah sosial pasti tidak akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi keluarga yang bahagia.

p/s: Alhamdulillah, Allah telah memberi ruang kepada saya untuk menulis lagi. Hati saya tergerak untuk berkongsi tajuk ini. Moga ianya bermanfaat bagi yang telah mendirikan rumahtangga, yang sedang, dan yang akan datang. Wallahu’alam. ^_______^



~Permata yang dicari~
8 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -

  

Thursday, June 14, 2012

::.Senjata Orang Beriman.::


 ~Hati gembira. Jiwa senang hati. Kasih terus meniti~


Assalamualaikum wbt.
                             
Dengan nama Allah, apa khabar kalian? Moga bahagia dan tersenyum sentiasa.
Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya melayarkan tinta di laman ini. Pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan lebih laman ini menyepi dan terus menyepi.
        

Kemeriahan sedikit sebanyak pasti menurun. Tetapi para tetamu langsung tidak jemu menanti sesuatu untuk dibawa pulang. Apa pun saya sangat menghargai kehadiran kalian kesini. Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua atas kelewatan saya menghadirkan tajuk baru disini atas sebab-sebab tertentu. Saya mengharapkan doa dari kalian semua. Semoga kalian sentiasa beroleh manfaat yang banyak di laman tarbawi ini, InsyaAllah.  


********************   

Setiap kejadian yang dijadikan Allah pasti ada kelebihan pada diri masing-masing bagi mempertahankan diri, tidak kira yang dicipta itu manusia, tumbuhan atau haiwan sekalipun. Jika kucing, kukunya sebagai bantuan. Jika gajah, gadingnya sebagai senjata. Jika lembu, tanduknya sebagai pelindung. Bagaimana pula dengan manusia?  Ya, manusia dikurniakan akal bagi mempertahankan dirinya.  


Cuba kita perhatikan kejadian Allah seluruhnya. Pasti kita akan mendapati bahawa Dia Yang Maha Pemurah telah mengurniakan senjata untuk mempertahankan diri sebagai alat untuk memperoleh sesuatu. Dengan anugerah ini, manusia mampu mencipta pelbagai jenis ciptaan untuk manfaat diri dan orang sekeliling.


Namun, bagi hamba yang beriman, senjatanya adalah doa yang mampu melindungi diri dengan izin Allah s.w.t. Rasulullah SAW bersabda: 

الدعاء سلاح المؤمن، وعماد الدين، ونور السماوات والارض.
Maksudnya: Doa itu senjata orang beriman, tiang agama serta cahaya bagi langit dan bumi.
(Riwayat al-Hakim)


********************

Para pembaca sekalian,

Sentiasalah kita berdoa kepada Allah kerana doa itu adalah senjata dan bekal buat kita. Saya terfikir untuk berkongsi tajuk ini pun adalah kerana doa dari seseorang yang saya hormati yang tidak pernah jemu memberi sokongan agar terus mengharap dan berdoa kepada Allah. Moga Allah kekalkan kami di atas jalan ini. Ameenn.  


Kita mempunyai banyak kelemahan dan mana mungkin kita mampu untuk melangkah setiap perjalanan hidup kita hari demi hari tanpa memanjatkan doa kepada-Nya. Jangan sombong menadah tangan untuk memohon pertolongan daripada-Nya agar setiap langkah perjuangan, setiap laluan jihad dapat diharungi dan ditemani rahmat serta kasih sayang Ilahi. Jadi siapa kita untuk tidak melakukannya???


Berdoalah walau dimana jua anda berada. Pintalah padanya setiap masa, keadaan dan tempat. Jangan jemu dan berputus asa jika Dia lambat menunaikan apa yang diinginkan. Mungkin apa-apa yang dipinta itu bukan yang terbaik untuk kita. Sedarilah Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui apa yang tersembunyi? Cuba kita perhatikan bait-bait dibawah yang saya petiknya dari sebuah buku.

 Kuminta kepada Allah setangkai bunga segar
Dia beriku kaktus berduri
Kuminta kupu-kupu
Diberi ulat berbulu
Aku sedih dan kecewa…
Namun, kemudian kaktus itu berbunga indah sekali
Dan ulat itu menjadi kupu-kupu yang sangat cantik
Itulah jalan Allah, indah pada masanya
Allah tidak selalunya memberikan apa yang kita harapkan
Tetapi Dia akan memberikan sesuatu yang kita perlukan
Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka
Tetapi jauh diatas sana
Dia mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita.


Allah juga berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
Tuhan kamu berkata: “Mintalah daripada-Ku nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada mengabdikan diri kepada-Ku, mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.”   
( Surah Ghafir: 60)

********************

 Jadi, sama-sama kita tingkatkan diri dan kualiti doa dalam kehidupan seharian. Moga Allah  memudahkan segala apa yang kita hajati, InsyaAllah. Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda, mungkin hati saya yang bermasalah, marilah kita muhasabah diri bersama dan sama-sama mengamalkannya. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam. 


P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit dan mengingatkan apa-apa  yang telah berlaku, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)


~Permata yang dicari~
15 June 2012
- Kota Bharu, Kelantan -

Sunday, April 1, 2012

::.Ikhlas Pembersih Kotoran Hati.::


~Jurus meraih kesaktian Ilahi~


  Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Pertama-tamanya marilah sama-sama kita merafakkan setinggi-tinggi  kesyukuran kerana kita masih bisa hidup dalam nikmat iman dan islam. Alhamdulillah. Sebelum saya meneruskan apa yang hendak disampaikan molek kiranya saya memohon maaf pada semua yang selalu singgah di blog saya, ini kerana saya sudah lama tidak “update” kerana ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Benarlah untuk istiqamah dalam menulis demi mencari redha Allah adalah lebih susah dari meniti sehelai rambut. Semoga Allah redha apa yang saya lakukan ini.


IKHLAS PEMBERSIH KOTORAN HATI. Apa yang dimaksudkan dengan menjaga kebersihan disini ialah bukan apa yang dapat dilihat oleh mata, misalnya seperti menjaga kebersihan anggota badan, pakaian tempat kediaman dan persekitaran. Menjaga kebersihan yang dimaksudkan ialah menjaga kebersihan hati yang jarang sekali diambil perhatian oleh sesetengah manusia.


Ramai di antara kita lebih mengutamakan kebersihan zahir daripada kebersihan hati. Ini kerana kebersihan zahir dapat dilihat kekotorannya manakala kekotoran hati tidak dapat dilihat dengan mata kasar kecuali apabila dapat dikesan melalui amal perbutan dan tindak tanduknya.


Hati didalam tubuh manusia ibarat kayu ukur untuk menilai sama ada baik atau buruk amal perbuatannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: 

لأ وإن في الجسد مضغة، إذا صلحت صلح الجسد كله، وإذا فسدت فسد الجسد كله، ألا وهي القلب. 

Maksudnya: “Ketahuilah, bahawa di dalam tubuh ada sekepal daging, apabila ia baik maka sekujur tubuh menjadi baik. Apabila ia rosak, maka sekujur tubuh turut rosak. Ketahuilah, ia adalah hati”.     
 (HR: Bukhari & Muslim)


Apabila hati berpenyakit, itulh yang dinamakan tidak bersih. Hati tidak bersih atau kotor berpunca dari banyak perkara seperti sombong, angkuh, dendam, dengki, iri hati, kedekut, tamak dan lain-lain perbuatan yang merugikan.  


Di dalam banyak kekotaran hati itu, penyakit syirik merupakan satu-satunya penyakit yang paling bahaya. Rasulullah SAW sering berpesan kepada umatnya agar menjauhi perasaan atau sifat syirik seperti ini.


Tidak dinafikan bahawa segala amal perbuatan yang dilakukan dan menjurus kepada penyakit kekotoran hati ini disebabkan tidak ada rasa ikhlas sewaktu melakukannya. Apabila tidak ikhlas, akan timbul satu perasaan riak iaitu melakukan sesuatu hanya kerana mahu mendapat pujian atau sanjungan semata.


Sebaik-baiknya segala amal kebajikan yang dilaksanakan dengan ikhlas akan menjadi penapis kepada perasaan negatif daripada terus meresap dan berkumpul di dalam hati yang menyebabkan kotornya hati.


Selain itu, ibadah kepada Allah SWT juga pelu diiringi rasa cinta dan kasih yang agung dengan mengharapkan pertemuan dengan-Nya pada hari akhirat kelak. Rasa cinta ini perlu sentiasa dipupuk agar terus kekal.  Firman Allah:

Maksudnya: “Maka hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadah kepada-Nya”.     (Surah al-Zumar:2)  


Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam.


~Permata yang dicari~
2 APRIL 2012
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

Tuesday, March 13, 2012

::.Dua Rakaat Menghadapi Kesunyian Kubur.::

بسم الله الرحمن الرحيم
IN THE NAME OF ALLAH
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


~Muhasabah dan tingkatkan kualiti iman~



Sebelum madah diteruskan ucapan salam ditujukan buat para pembaca sekalian.
Assalamualaikum wbt.              

         
         Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Terima kasih Allah, I love You Allah, segala puji dan puja hanya dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin-Nya, jari ini masih laju menari di atas papan kekunci, menaip huruf demi huruf yang akhirnya menjadi bicara dari hati. Alhamdulillah!


Para pembaca yang dikasihi sekalian,

          Untuk kali, saya akan kongsikan satu tajuk iaitu “Menunaikan solat 2 rakaat untuk menghadapi kesunyian kubur.” Seperti yang kita tahu semua yang bernyawa dimuka bumi akan berhadapan dengan kematian sesuai dengan firman Allah di dalam surah Ali-`Imran ayat 185:  
 “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian…”    


Jadi bagaimana dengan persiapan kita untuk berada di alam lain?  Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya dengan amalan yang hanya secebis?  Fikir dan renung-renungkan.


***************

Antara pesanan Rasulullah SAW kepada kita adalah:
Ø  Menggalakan umat solat malam (Qiyamullail).
Ø  Tunaikan solat 2 rakaat dalam kegelapan malam demi kesunyian di kubur.


Solat adalah penggerak utama. Solat malam ini tidak dapat ditandingi sebarang ibadah yang lain. Ganjarannya sangat besar di sisi Allah. Solat malam juga membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan betapa hebatnya.  


Firman Allah dalam surah al-Muzzammil ayat 6, yang bermaksud:
“Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.”


***************

“Hendaklah kalian mengejarkan solat diwaktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, ia penembus segala dosa, pencegah segala keburukan dan menghapuskan segala penyakit yang ada dalam badan seseorang.”  (HR Tabrani & Mizi)


Huraian ini jelas kepada kita bahawa solat malam dapat membentuk menjadi hamba Allah yang Rabbani (kerap berhubung dengan Allah), berjiwa cerah, hati yang peka dan berfikiran mantap.


Selain itu solat malam tidak dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu khasnya pada peringkat awal. 


***************

Apabila seseorang hendak tunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya “bangunlah hari telah pagi, solat dan ingatlah Allah”. Dalam masa yang sama syaitan pun datang memujuk, “malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau bangunlah”. Jika ia  bingkas bangun dari tempat tidurnya untuk solat maka badannya akan menjadi ringan, cergas dan sihat. Jika ia patuh pada syaitan tidur hingga siang, syaitan akan ketawakannya. 


Rasulullah SAW pernah membayangkan tentang kubur dan siksanya. Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika selamat, peringkat seterusnya lebih mudah tetapi jika tidak selamat maka akan mengalami kesulitan untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Rasulullah SAW juga mengaitkan antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Justeru, sama-samalah kita merebutnya.  


***************

Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda, marilah kita muhasabah diri bersama dan sama-sama mengamalkannya. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..


P/s : Perkongsian ini adalah catatan saya semasa di tingkatan 2 dulu. Saya telah pun berkongsinya dengan sahabat-sahabat dan adik-adik di MATRI dan di KTD. Kini saya tinggalkan catatan saya disini untuk anda. Saya berharap anda pula yang menyampaikan apa yang saya kongsikan ini dengan orang lain pula agar pahala itu tidak terputus begitu sahaja.(“,)


~Permata yang dicari~
14 March 2012
-Kota Bharu, Kelantan-