Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Friday, February 17, 2012

::.Tarbiyah Mendidik Jiwa-(2).::

~Kesinambungan Tarbiyah Teras Generasi Berwawasan~


Sinar matahari yang menyimbah bumi memantulkan silau dan sangat memeritkan mata. Seketika Hanan duduk termenung jauh, pandangannya dilontarkan nun jauh ke hamparan padang rumput yang sedang menguning kerana sedang bermandi cahaya sang mentari. Dari jauh, rumput-rumput itu kelihatan seperti wang emas yang tinggi nilainya.


Namun, fatamorgana itu tidak mampu meredakan galau di hati Hanan Ibtisam. Husna Qistina yang sedang berjalan menuju ke arah Hanan perasan akan perubahan Hanan. Husna kemudian menyapa lembut, “Hanan, apa yang difikirkan tu?”


Hanan sedikit terkejut dengan panggilan itu segera mengesat kedua-dua belah matanya yang basah.

“Tak ada apa-apalah Husna. Hanan ok. Cuma teringat kenangan di sekolah dulu. Rindu sangat dengan sahibah-sahibah Hanan. Terasa cepat sangat masa berlalu, sekarang dah masuk IPT, umur pun makin meningkat.” tersenyum Hanan dihujung kata-katanya.


********************* 

 Pagi yang hening bersulam kabus sejuk nan salju. Siangnya panas membahang, malamnya mula sejuk menggigit kulit. Kedua-dua keadaan itu adalah resam hidup di bumi Allah. Kadang-kadang terkeluar keluahan daripada mulut dan gaya manusia. Bila muhasabah kembali, cepat-cepat istighfar dan bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya.


“Cepat dah dekat pukul 8 ni, nanti lewat masuk kelas pulak”, Asma’ mengingatkan sahabat-sahabatnya yang leka menjamah sarapan pagi di kafe.     

“Ok, kejap nak habis dah ni, tunggu jap ye”.. balas Hanan dan Husna serentak. Siti dan Asma’ hanya mampu tersenyum melihat gelagat Hanan dan Husna.


Dalam perjalanan menuju ke bilik kuliah, tiba-tiba Hanan disapa oleh Tuan Haji Musleh. Sahabatnya yang lain sudah berjalan kehadapan dulu kerana mahu cepat-cepat masuk ke kelas sebelum pensyarah masuk. Dalam masa yang sama, Tuan Haji Musleh macam berbincang sesuatu yang serius dengan Hanan.

“Ada masa free tak hari ini, saya nak jumpa kamu nanti, boleh?” tanya Tuan Haji Musleh.

“Saya rasa macam full saja hari ni, tapi saya cuba cari masa. Mungkin ada.” Jawab Hanan penuh hormat.

“Ok, kalau macam tu, nanti datang pejabat saya.” tambah Tuan Haji Musleh lagi.

“InsyaAllah.” balas Hanan ringkas.


Tuan Haji Musleh berlalu pergi menuju ke kafe. Hanan cepat-cepat melangkah kakinya ke bilik kuliah. Risau pensyarahnya masuk dahulu. Alhamdulillah, pensyarahnya tidak sampai lagi. Dalam pada itu, Hanan terfikir.

“Ish, kenapa Tuan Haji Musleh nak jumpa aku?” Keluh hanan dalam hatinya.

“Nak kata ada buat salah macam tak ada je.” Menolog Hanan sendirian.

“Hai cik puteri kita sorang ni fikir apalah tu?” Sapa Ida sekaligus mematikan lamunan Hanan.

“Eh, mana ada. Tak fikir apa pun.” Hanan cepat-cepat menafikan andaian Ida.

“Ye ke tak de apa-apa ni, lain macam je nampak.” Usik Munirah pula.

Hanan tersenyum sahaja melihat sahabat-sahabatnya yang sangat mengambil berat. Lagi pun mereka hanya berenam dalam kursus itu. Semuanya perempuan. Lagi bertambah seronoklah ketika belajar. Macam-macam boleh tanya, sama ada yang berkaitan dengan subjek atau terkeluar daripada itu. Bila seorang tidak hadir memang terasa kekurangan sangat. Senang cakap, memang rapatlah.


*********************

Usai kelas Metodologi Penyelidikan, Hanan mendekati Siti untuk mengajaknya teman berjumpa dengan Tuan Haji Musleh di pejabatnya. Sampai di pejabat, Tuan Haji Musleh sedang berbual dengan seorang kakak senior yang telah mendirikan rumah tangga yang juga baru sahaja menamatkan pelajaran di sini. Mungkin meminta padangan dan nasihat dari Tuan Haji Musleh.


Hanan masuk seorang sahaja atas permintaan Tuan Haji Musleh. Siti hanya menanti di luar, manakala kakak tadi sudah berlalu pergi kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikanya. Tuan Haji Musleh memulakan bicaranya. Setiap kata-kata yang dibicarakan merupakan mutiara buat Hanan. Semuanya bermakna dan terlalu tinggi nilainya. Dengan butir bicara yang sentiasa mengingatkan diri remaja dan mahasiswa untuk sentiasa dekat kepada Allah. Hanan tekun mendengar apa yang disampaikan oleh Tuan Haji Musleh.

“Tujuan sebenar saya panggil kamu ke sini adalah untuk menyampaikan hajat seseorang,” bicara Tuan Haji Musleh tenang.

Hanan sedikit tersentak. Rasa malu mengelinap dan terus naik ke mukanya merona kemerahan. Hanan cepat-cepat beristighfar untuk membersihkan hati. Hanan terdiam seribu bahasa. Tuan Haji Musleh meneruskan bicaranya, menerangkan ciri-ciri orang itu dan bertanya pendapat Hanan.

“Adakah kamu setuju?” tanya Tuan Haji.

“Macam mana akhlaknya?” Hanan mahukan kepastian.

“Alhamdulillah, dia soleh dan sangat berkepimpinan. Dia juga konsisten dalam dakwah dan tarbiyah…” balas Tuan Haji bersungguh-sungguh.

Jauh di sudut hati Hanan, mahu sahaja cakap setuju. Namun apakan daya itu hanya luahan hati seorang gadis yang tidak wajar berkata-kata dalam urusan sebegitu. Harapan yang Hanan ada ialah ciksu. Mak saudara kepada orang yang berhajat itu. 


*********************


Apabila diamati, proses perjalanan hidup Hanan sangat mengagumkan. Allah telah memilih Hanan untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam dan syumul. Lima tahun dalam proses tarbiyah kini Allah memilihnya lagi berada di satu tempat yang mempunyai suasana yang soleh(biah solehah) bagi terus mendidik jiwa yang sentiasa dahagakan iman.


Manusia tidak boleh lari daripada ditarbiyah jika berhajatkan kepada kebaikan. Suasana hati juga perlu sentiasa diperbaiki. Kadang-kadang kita rasa lemah dan kadang-kadang kita rasa kuat, itu semua fitrah. Dalam proses memperbaiki diri, orang sekeliling jangan dilupakan. Ajaklah mereka untuk sama-sama dekat kepada Allah.


“Setiap makhluk ada kelemahan, yang tidak ada kelemahan hanya al-Khalik (Allah)”.. satu kata-kata yang memberi semangat dan menyedarkan Hanan yang diri manusia tidak ada yang sempurna dan kita sebagai manusia perlu terima kelemahan itu dan sentiasa cuba untuk perbaikinya. InsyaAllah.

::Tamat::

P/s: Coretan ini saya nukilkan buat semua dan sesiapa sahaja yang ingin mengambil ibrah darinya. Ianya adalah sambungan dari cerpen Tabiyah Mendidik Jiwa (klik disini). Moga mampu memberi suntikan buat hati untuk terus istiqamah dan sentiasa ingin meningkatkan mutu dan kualiti iman, InsyaAllah. Maafkan saya juga kerana sudah lama tidak menghadirkan post yang baru di sini, keterbatasan masa menyebabkan saya tidak dapat menghadirkan post disini. Apa-apa pun saya sentiasa mengharapkan doa dari kalian semua. Moga Allah kasih.  (",)

~Permata yang dicari~
17 February 2012
-Kota Bharu, Kelantan- 
 

Friday, October 21, 2011

::.Tarbiyah Mendidik Jiwa.::

 
-Mutiara di lubuk Tarbiyah-



Suasana angin petang di pondok rehat menyapa lembut. Matahari yang tadi terpacak tinggi di kaki langit mulai menyusur membenamkan wajahnya. Deru angin yang mendesis terus dirasai oleh para pelajar puteri di aspuri itu. Kebun-kebun kecil dikeliling padang menyegarkan padangan bagi siapa sahaja yang menatapnya. Sesuai dengan fitrah yang telah Allah ciptakan untuknya. Inilah uniknya ciptaan Allah.
                                                         

Riuh rendah dengan suara pelajar puteri bermain melepaskan segala kepenatan setelah penat di dalam kelas. Memandangkan asrama puteri dan asrama putera sangat jauh jaraknya. Jadi pelajar puteri bebas untuk bermain. Terasa lebih terjaga. Kelas pun tidak bercampur. Dalam suasana yang riuh-rendah itu, kelihatan Hanan Ibtisam,  Nur Bahijah dan Farah Zahirah sedang rancak berbual.


“Bahijah, ana rasa tenang dan bahagia menuntut ilmu disini. Syukur sangat Allah telah memilih ana berada disini.” Luahan Hanan membuatkan Bahijah dan Farah tersenyum. Sudah tiga tahun rupanya menuntut ilmu disitu. Ada baki lagi dua tahun untuk tamat pengajian disitu. “Banyak lagi ‘mutiara’ yang belum kita gali untuk menghadapi suasana luar yang akan menjadi bekalan kita dalam menyebarkan dakwah,” tambah Farah.


*********************


Jauh disudut hati Hanan, dia sangat risau. Adakah tahun depan kakinya akan menjejak lagi ke bumi yang telah banyak mengajarnya erti kehidupan yang Islam kehendaki. Mengenangkan nasib keluarganya yang bukanlah orang senang. Hatinya dirundung serba salah untuk terus menuntut ilmu disitu. Berjauhan dengan keluarga meninggalkan negeri memerlukan banyak pengorbanan yang besar. Hampir menitis air matanya mengenangkan semua itu. Lamunannya mati disitu apabila Bahijah menepuk bahunya mengajak bersiap-siap untuk solat maghrib malam itu. Mereka perlu bergerak ke surau dengan segera untuk menunaikan solat jemaah.


Usai solat maghrib, Hanan memanggil adik-adik halaqahnya berkumpul dalam satu bulatan untuk tasmi’ bacaan al-Quran. Seorang demi seorang menghafalnya dengan baik. Terasa lega sedikit melihat adik-adik halaqahnya mampu menghafal ayat-ayat suci al-Quran. “Inilah yang dapat menenangkan jiwaku dan semua orang,” Hanan berbisik dalam hatinya.


Azan solat Isya’ berkumandang dengan merdu sekali. Selesai solat berjemaah, semua pelajar bergegas ke kelas masing-masing untuk mengulang kaji dan tak kurang juga ada yang perlu menyiapkan kerja sekolah yang tertangguh. Begitulah rutin harian di lubuk tarbiyah ini.


“Apa yang direnung tu?” sapa Bahijah tatkala melihat Hanan yang sedang seronok melihat bintang di kaki langit dari balkoni bilik. Hanan menoleh kearah Bahijah sambil menguntum senyuman. Bahijah terus menghampiri Hanan.


“Cantikkan bintang kat langit. Malam yang gelap nampak meriah dengan kehadiran bintang dan bertambah seri dengan adanya bulan.” Hanan mengalihkan padangannya semula ke langit. Terasa tenang sekali. Hilang semua kesedihannya selama ini.


“Itulah antara kebesaran Allah. Dia dirikan langit tanpa tiang. Cahaya bulan dan kerdipan bintang tanpa tenaga elektrik,” Hanan tertawa kecil. Terselit rasa lucu dalam butir bicara Bahijah.


“Kalau cahaya bulan dan kerdipan bintang memerlukan tenaga elektrik, bukan bulan dan bintang namanya,” balas Hanan. Barulah Bahijah faham kenapa Hanan tertawa tadi. Bahijah tersenyum.


“Tahu pun, itulah kuasa Allah. Tiada siapa mampu menandingi-Nya. Dia tidak memerlukan medan sokongan seperti elektrik tu. Kalau manusia, lain sikit. Kena cari alternatif nak nyalakan sesuatu benda,” terang Bahijah.


Kata-kata Bahijah, membuatkan Hanan berfikir. “aku mesti kuat, dan berusaha untuk kekal dalam medan ini,” bisik Hanan dalam hatinya. Siang malam Hanan berdoa agar dimurahkan rezeki ibu dan ayahnya untuk dia terus menyambung pelajarannya hingga tamat di lubuk tarbiyah itu. Sungguh sayang untuk meninggalkan tempat itu.  

  
*********************  


PMR semakin hampir, semua pelajar sibuk menelaah. Hanan Ibtisam, Farah Zahirah dan Nur Bahijah turut mengambil peluang untuk menelaah. Begitu bersungguh-sungguh. Solat hajat secara jemaah sering dilakukan setelah selesai solat Isya’. Begitulah persiapan yang dapat dilakukan untuk sebelum, semasa dan selepas Peperiksaan.


“Macam mana persediaan untuk menghadapi peperiksaan ni?” tanya ustaz Syahid kepada semua calon PMR. “InsyaAllah, doakan kami semua.” bergema surau dengan suara calon-calon PMR yang begitu bersemangat.


Peperiksaan selama seminggu berjalan dengan baik. Semua calon tidak melakukan sebarang masalah sepanjang peperiksaan itu. Kelihatan Hanan, Farah dan Bahijah tersenyum lega apabila melangkah keluar dari dewan setelah tamat peperiksaan selama seminggu itu.


“Hai senang hati nampak, macam mana boleh buat tadi?” sapa Nadiah Sakinah mematikan langkah Hanan, Farah dan Bahijah. “Alhamdulillah, semua tu Allah yang bantu, kita dah berusaha, natijahnya Allah yang tentukan,” balas Hanan sambil senyum tidak lekang dari bibirnya.


Bersambung…  

 ~Permata yang Dicari~
22 oktober 2011
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

Monday, October 3, 2011

::.Mencari Erti Sebuah Kehidupan.::

~Kebahagian sebenar adalah apabila dapat meraih cinta Allah~



Berlinang air mataku: Adik…

“Mak, kenapa adik tak ada ayah? Kenapa ayah tinggalkan adik?”


Emak bingung, soalan itu sering adik ungkapkan. Macam mana emak nak jawab. Adik faham ke kalau emak katakan yang emak dan ayah dah berpisah dan ayah kahwin lain. Nanti adik mesti tanya kenapa emak dan ayah berpisah? Kenapa emak dan ayah Ee tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Najlah tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Fifi pun tak berpisah? Kenapa mesti mak dan ayah adik berpisah?


Emak usap kepala adik.  “Adik ayah tak tinggalkan adik, ayah ada, suatu hari nanti ayah balik.” Emak pujuk adik dengan lembut. Adik senyum. Tak sabar rasanya untuk menunggu ‘suatu hari’ itu. Seingat adik, adik cuma lihat wajah ayah dalam gambar yang tergantung dalam bilik emak. Penat adik mengelamun, akhirnya adik terlelap.


Sedar saja, adik dengar laungan azan subuh. Merdu dan mendayu-dayu. Adik bingkas bangun. Lama adik termenung. “Sedapnya. Suatu hari adik pun nak nyanyi nasyid macam tu.” Adik tersengih di belakang emak yang sudah siap bertelekung. “Itu bukan nasyid sayang, itu azan. Laungan untuk menyeru semua umat Islam menunaikan solat,” emak memperbetulkan pengetahuan adik. Emak memimpin tangan adik ke bilik air. Emak mengajar adik berwudhuk. Mula-mula adik kena basuh tangan. Moga-moga dosa kecil yang dilakukan oleh tangan gugur bersama air sembahyang. Lepas tu adik berkumur dan begitulah seterusnya. Adik cari telekung, nak pakai cantik-cantik macam emak. Emak tersenyum, tapi adik lelaki.. orang lelaki tak payah pakai telekung. Emak mengajar adik bersolat. Setelah selesai adik tersenyum. “Mak, mesti Allah sayang kat adik kan?” Emak mengangguk. “Mesti lepas ni Allah bagi ayah dekat adik balikkan?” Emak mengangguk lagi sambil tersenyum. Adik tersenyum puas. Wahh.. Allah sayang kat adik, Allah tak sayang kat Ee, Allah tak sayang kat Najlah, Allah tak sayang kat Fifi. Allah sayang kat adik seorang saja. Adik tersenyum bangga.


*************************


Pagi itu seperti biasa, adik ikut emak pergi menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletak kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain tepi longkang. “Nak main jugak,” adik tersengih menegur kawan-kawannya. “Boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak, adik jadi ayah ye…” Najlah memberi cadangan. Adik tesengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, adik tak tahu apa peranan ayah. “Tak boleh, tak boleh. Adik tak boleh jadi ayah, sebab adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..” Ee mula memberontak. Adik sekadar mengangguk.


Jauh disudut hatinya, adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat adik teringat, pagi tadi adik solat subuh, Allah sayang kat adik, Allah tak sayang kat Ee. “Adik jadi mamak roti, sebab adik hitam macam mamak roti,” Ee memberi cadangan. “Adik tak mahu jadi mamak roti, adik nak jadi orang yang laung azan.” “Mana boleh.” Ee memberontak. Ee tolak adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ke tanah. Adik tak mengalah, adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak. “Ee bagi tau kat ayah!” Ee gertak adik. Adik diam. Adik nak bagi tau kat sapa? Adik hanya boleh bagi tau emak, tapi emak adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat. “Adik bagi tau mak!” Adik melawan. “Ayah Ee kuat, mak adik tak kuat!” Ee mengamuk. “Adik bagi tau Allah! Mak kata Allah kuat, tak ada siapa bole lawan Allah!” Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.


Adik menangis teresak-esak. “Kenapa?” Soal emak lembut. “Mak, kenapa adik hitam macam mamak roti?” “Mana ada hitam, kulit adik kan sama macam kulit emak, kalau adik hina kulit adik maknanya adik hina kulit emak juga, Allah marah tau..” Emak memujuk adik. Memanglah kulit adik macam emak sebab emak dan adik bukan orang melayu, emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyang demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah, biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah emak kenal agama Islam dan kenal Allah. Kerana ayah jugalah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah emak ada adik. Biarlah ayah tinggalkan emak, tapi mak tidak akan meninggalkan Allah. Allah yang Esa.


*************************


“Emak, kenapa adik tak ada ayah?”


Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak cuma diam merenung tanah. “Adik…,” Long Gayah menghampiri adik dan emak. “Walaupun adik tak ada ayah, tapi adik ada emak, betul tak?” Emak boleh jaga adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee, kan??” Long Gayah memujuk adik. Air mata adik disapu. Wajah adik dielus lembut. Kepala adik diusap dengan penuh kasih sayang. “Mungkin kalau adik ada ayah, adik tak ada emak. Mana satu adik nak?” Long Gayah sambung lagi. “Adik nak dua-dua sekali.” Jawab adik tersekat-sekat. Long Gayah terdiam. Tak tahu nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah.


“Adik tau ayah tak sayang adik, tapi adik tau Allah sayang adik sebab adik sembahyang subuh pagi tadi, kan Long?”


Long Gayah mengangguk. Tersenyum dengan linangan air mata. Berlinang air mata mengenangkan adik. Anak kecik yang terlalu ridukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menepuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan adik sebagai muslim sejati. “Adik nak balik, adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Allah sayang adik banyak-banyak.” Lamunan Long Gayah terhenti dengan suara kecil adik. Long Gayah tertawa kecil dengan telatah adik. Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas.


*************************


Sedang adik dan emak hendak melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan adik. Adik kaget. Emak memeluk adik erat-erat. Tiga lelaki yang berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-segalanya garang, tiga lelaki itu mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dalam bahasa yang adik tak faham sepatah pun. Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adik menangis dalam pelukan emak.


Rangkulan emak semakin erat. Raungan adik semakin kuat. Rasa takut, marah dan benci dengan tiga lelaki itu menyelubungi seluruh jiwa adik. Allah Maha Penyayang. Ketika itu adik nampak Long Gayah membawa batang penyapu di tangannya. Ayah Ee juga turut menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan di gerai Long Gayah. Apalagi, tiga lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelopok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih dalam bahasa yang adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu. Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah.


Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long Gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkn agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak. “Kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita kan mak..” Adik merungut lagi. “Tak apalah adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita. Allah lagi kuat dari ayah,” adik mengangguk lemah.


Emak merangkul adik dengan penuh kasih sayang.


“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih adik. Biarlah hidup kita miskin, asalkan ibadah kita kaya dan biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasih dan sayangkan kita.” Adik terlelap dipangkuan emak.


*************************


“Adik.. bangun”, adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa mak kejut adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanya bunyi pintu kayu rumahnya yang diketuk bertalu-talu. Bagai nak runtuh. Emak mencium adik berkali-kali, kelam kabut emak menolak adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali adik tanya kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak sempat berpesan kepada adik supaya tidak keluar selagi emak tidak memanggil. Adik mengangguk. Selepas itu, adik tidak nampak apa yang berlaku. Yang adik dengar hanyalah suara lelaki yang bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang adik tidak faham. Yang adik dengar hanyalah suara emak yang menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang adik faham. “Allah... Allah… Allah…” Emak terus menyebut kalimah itu biar pun suara lelaki yang berbahasa pelik itu menjerit menengking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar. Adik menggigil di bawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong mak. Adik kan lelaki! Tapi adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh pada mak, kalau tak nanti Allah marah.


“Allahuakbarrr! !!!!!!!!!!”    


Suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik cuba menggamati apa yang berlaku. “Allah... Allah… Allah.” Kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelamaan adik tidak lagi mendengar kalimah itu. Suara emak telah terhenti. Begitu juga suara lelaki yang berbahasa pelik tidak lagi kedengaran. Kenapa emak diam? Adik terus menuggu emak memanggil adik keluar. Menunggu dan terus menunggu. Sehinggalah laungan azan subuh kedengaran.


*************************


Adik serba salah. Tapi adik perlu keluar untuk solat subuh supaya Allah sayang adik. Mahu tidak mahu, adik merangkak keluar. Ketika adik meraba-raba, tangan adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat adik, adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih. Mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah adik. Adik merangkak berhati-hati. Tatkala adik mengangkat kepala. Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku dengan berlumuran darah dengan pisau panjang yang terpacak didadanya. Namun al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya. Dunia adik terasa berpusing. Gelap. Masa terhenti.


“Emakkkkkkk!!!!!! !!!!!!” Laungan adik memecah keheningan subuh.


Selepas ini tidak ada lagi emak yang akan wudhukkan adik. Tak ada lagi emak yang akan membentangkan sejadah untuk adik. Tak ada lagi emak tempat adik mengadu, dan tak ada lagi emak yang satu-satunya manusia dalam hidup adik. Adik memandang sayu pusara emak. Melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang harumnya seharum kasih emak pada adik.


Terngiyang ditelinga adik akan kata-kata mak, “Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih adik. Biarlah hidup kita miskin, asalkan ibadah kita kaya dan biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasih dan sayangkan kita…”



p/s: Moga kisah diatas sedikit sebanyak mencuit hati kita untuk bersungguh-sungguh dalam mempertahankan deen Allah. Moga Allah kasih dengan kita semua.


~Permata yang Dicari~
4 OKTOBER 2011
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

Monday, September 19, 2011

::.Bersyukurlah dengan nikmat itu.::

    ~Bersyukurlah dengan nikmat-Nya~  


Assalamualaikum wbt buat para pembaca sekalian.Apa khabar kehidupan kita? Moga bahagia dan tersenyum sentiasa ya. ^^ Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya mengukirkan tinta yang bermanfaat dipermata ini. Harapnya kemeriahan di blog ini kekal dan semakin meningkat bagi yang ingin menatapnya.  


Untuk kali ini saya hanya bercerita sahaja. Cerita ni memang menarik, sedang saya sibuk mengemas rak buku, saya terjumpa sehelai kertas. Permukaan kertas itu tertulis satu kisah yang amat menyentuh jiwa. Jadi di sini saya kongsikan dengan semua. Moga beroleh manfaat bagi yang menatapnya. 


***********************

Seorang pemuda yang sedang berada di tahun akhir pengajiannya mengharapkan sebuah kereta sport daripada ayahnya. Lantas, si pemuda memberitahu hajat tersebut kepada ayahnya, seorang hartawan yang ternama. Si ayah hanya tersenyum. Si anak bertambah yakin, andai keputusan peperiksaannya begitu cemerlang, pasti kereta itu akan menjadi miliknya.


Beberapa bulan berlalu, ternyata si anak dengan berkat kesungguhannya, telah beroleh kejayaan yang cukup cemerlang, hatinya berbunga keriangan.


Suatu hari si ayah memanggil si anak ke bilik bacaannya. Si ayah memuji si anak, sambil menyatakan betapa bangga hati seorang bapa sepertinya dengan melihat kejayaan si anak yang cukup cemerlang. Si anak tersenyum puas. Di ruangan matanya terbayang kilauan kereta sport merah yang selama ini menjadi idamannya itu. Si ayah bagaikan mengerti kehendak si anak sambil menghulurkan sebuah kotak yang berbungkus rapi dan cantik.


Si anak terkesima, sungguh bukan itu yang dihajatkan. Dengan hati yang berat, kotak itu bertukar tangan. Matanya terarah kepada riak wajah ayahnya yang tidak menunjukkan sebarang perubahan, seolah-olah tidak dapat membaca tanda tanya yang bersarang di hatinya.


Dalam pada itu, si anak membuka pembalut yang membungkus kotak itu, penutup kotak dibuka. Apa makna semua ni??? Sebuah al-Quran kecil, comel dengan cover kulit, tinta emas menghiasi tulisan khat di muka hadapan. Si anak memandang ayahnya, terasa dirinya dipermainkan. Amarahnya membuak dan nafsu mudanya bergelojak.


“Ayah sengaja mempermainkan saya, ayah bukannya tahu betapa saya menyukai kereta itu. Bukankah ayah mampu membelikannya?! Sudahlah ayah, bukan al-Quran ini yang saya mahukan!” Keras sekali kata-kata si anak. Al-Quran itu dihempasnya ke atas meja bacaan. Si anak terus meninggalkan si ayah tanpa memberi ruang untuk ayahnya berkata-kata. Pakaiannya disumbat ke dalam beg. Lantas dia meninggalkan banglo mewah ayahnya. Memulakan kehidupan baru dengan segulung ijazah yang dimilikinya.


***********************

Sepuluh tahun berlalu. Si anak kini merupakan seorang anak yang berharta. Mempunyai syarikat sendiri dengan isteri yang cantik dan anak-anak yang sihat. Cukup membahagiakan. Namun hatinya tersentuh. Sudah sepuluh tahun dia tidak menjenguk ayahnya selepas peristiwa itu. Lamunannya termati disitu apabila telefonnya berdering. Panggilan dari peguam ayahnya. Ayahnya meninggal dunia semalam, dengan mewariskan semua harta ayahnya kepada si anak. Si anak diminta pulang untuk menyelesaikan segala yang berkaitan pewarisan itu.


Buat pertama kalinya setelah dia bergelar bapa, si anak pulang ke banglo ayahnya. Memerhati banglo yang menyimpan 1001 nostalgia dalam hidupnya. Hatinya sebak. Bertambah sebak apabila dia memasuki bilik bacaan ayahnya, dia mendapati al-Quran yang dihempasnya di atas meja suatu ketika dahulu masih setia disitu. Tidak terusik. Bagaikan setianya hati si ayah mengharap kepulangan si anak selama ini.


Perlahan-lahan si anak menuju ke situ, mengambil al-Quran itu. Membelek-beleknya dengan penuh keharuan. Tiba-tiba, terjatuh sesuatu dari al-Quran itu. Segugus kunci. Dibelakang al-Quran itu terdapat sekeping sampul surat yang disalotepkan di situ. Kunci itu segera dipungut. Hatinya tertanya-tanya. Nyata sekali, di dalam sampul surat itu terdapat resit pembelian kereta idamannya. Dibeli pada hari konvokesyennya dengan bayaran yang telah dilunaskan oleh si ayah. Sepucuk warkah. Tulisan tangan orang yang amat dikenalinya selama ini. “Hadiah teristimewa untuk putera kesayanganku.” Air mata si anak menitis deras. Hatinya bagaikan ditusuk sembilu. Penyesalan mula bertandang. Namun, semuanya sudah terlambat. Si ayah telah pergi buat selama-lamanya.


p/s: Sekadar renungan bersama: Berapa banyak kita mensyukuri nikmat Allah?? Hanya kerana nikmat itu tidak “dibungkus”, didatangkan atau diberikan dalam keadaan yang kita hajati, kita terus mengeluh. Marilah kita muhasabah diri sebentar mengingatkan kembali nikmat-nikmat yang Allah berikan buat kita semua. Wallahu`alam.


~Permata yang dicari~
 20 SEPTEMBER 2011
-Kota Bharu, Kelantan-