~Kemurahan hati dan suka bersedekah menjadikanya dikasihi Allah~
بسم الله الرحمن الرحيم
IN THE NAME OF ALLAH
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL
Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat berkongsi sesuatu dengan semua yang selalu berkunjung ke blog saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua. Sudah seminggu blog ini menyepi memandangkan saya berada di musim peperiksaan.
Untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi satu sirah yang mungkin pernah dan tidak pernah didengar oleh orang lain. Kisah ini tentang seorang hamba Allah yang diberi nama Saudah binti Zam’ah yang juga merupakan isteri Rasulullah SAW. Saya amat tertarik dengan sirah ini, semoga anda juga begitu.
*********************
“Saudah binti Zam’ah merupakan isteri Rasulullah selepas Sayidatina Khadijah r.ha. beliau bukanlah seorang yang cantik atau kaya, bahkan seorang janda namun semangat beribadah dan jihad mengalir dalam tubuh hingga akhir hayatnya.”
Walaupun Saudah binti Zam’ah tidak begitu popular dibandingkan dengan isteri Rasulullah SAW yang lain, dia tetap termasuk wanita yang memiliki martabat yang mulia dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT dan Rasul-Nya. Rasulullah SAW menikahinya bukan kerana harta dan kecantikannya kerana memang dia tidak tidak tergolong dalam wanita yang cantik dan kaya. Sebaliknya Rasulullah SAW melihat semangat jihadnya di jalan Allah SWT, kecerdasan otaknya, perjalanan hidupnya yang sentiasa baik, keimanan serta keikhlasannya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.
*********************
Pendamping Setia Rasulullah
Dalam keadaan kesepian sesudah kewafatan Khadijah, berlakulah peristiwa Isra’ dan Mikraj’ dimana Baginda menyaksikan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT. Kaum musyrikin yang mendengar kisah itu tidak mempercayainya bahkan mengolok-olokkan Baginda. Dalam keadaan seperti itu, tampillah Saudah binti Zam’ah yang ikut berjuang dan sentiasa menyokong Rasulullah SAW, kemudian dia menjadi isteri Rasulullah SAW yang kedua setelah Khadijah.
Kisah bermula daripada Khaulah binti Hakim, salah seorang mujahidah wanita yang pertama masuk Islam. Khaulah ialah isteri Uthman bin Madh’um. Melalui kehalusan perasaan dan kelembutan fitrahnya, Khaulah sangat memahami keadaan Rasulullah SAW yang sangat mendambakan pendamping yang nantinya akan menjaga dan mengawasi urusan Baginda serta mengasuh Ummu Kathum dan Fatimah setelah Zainab dan Ruqaiyah menikah.
Kemudian Khaulah menemui Rasulullah SAW dan bertanya terus kepada Baginda tentang orang yang akan menguruskan rumah tangga Baginda. Baginda melihat apa yang diungkapkan oleh Khaulah mengandungi kebenaran, sehingga Baginda pun bertanya, “siapakah yang engakau pilih untukku?”
Dia menjawab, “Jika engkau menginginkan seorang gadis, dialah Aisyah binti Abu Bakar dan jika engkau inginkan seorang janda, dia adalah Saudah binti Zam’ah.”
Rasulullah mengingat nama Saudah binti Zam’ah yang sejak keislamannya begitu banyak memikul beban perjuangan menyebarkan Islam sehingga pilihan Baginda jatuh pada Saudah. Pernikahan Baginda dengannya tidak didorong oleh keinginan nafsu kehidupan tetapi lebih, kerana Rasulullah SAW yakin bahawa Saudah dapat turut serta menjaga keluarga dan rumah tangga Baginda setelah kewafatan Khadijah.
*********************
Keimanan Saudah Menawan Hati Rasulullah SAW
Saudah ialah seorang yang wanita yang tinggi besar, berbadan gemuk, tidak cantik juga tidak kaya. Dia seorang janda yang kematian suami. Pertama kali dia berkahwin dengan anak bapa saudaranya, Syukran bin Amr dan menjadi isteri yang setia dan telus. Suaminya, Syukran termasuk golongan awal yang menerima hidayah Allah SWT. Rasulullah SAW memilih Saudah sebagai isteri kerana kadar keimanannya yang kukuh dan mampu menjadi pemimpin di rumah ayahnya yang masih musyrik.
Khaulah menemui Saudah dan menyampaikan khabar gembira ini bahawa hanya beberapa orang wanita sahaja dianugerahkan Allah SWT untuk menjadi isteri Rasulullah SAW. Ketika bertemu dengan Saudah, Khaulah berbisik, “apakah gerangan yang engkau perbuat sehingga Allah SWT memberkatimu dengan nikmat yang sebesar ini? Rasulullah SAW mengutusku meminang engkau untuknya.” Sungguh, perkara itu merupakan khabar besar. Saudah tidak pernah mengimpikan kehormatan yang sebesar itu, terutama setelah orang mencampakkannya apabila ia kematian suami.
Saudah akhirnya menjadi salah seorang anggota dalam rumah tangga Rasulullah SAW. Dia menjaga Ummu Kalthum dan Fatimah seperti anaknya sendiri. Saudah memiliki kelembutan dan kesabaran yang dapat menghiburkan hati Rasulullah SAW, sekali gus memberi semangat kepada Baginda. Dia tidak terlalu mengharap dirinya sejajar dengan Khadijah di hati Rasulullah SAW. Namun, pada asasnya dia belum mampu mengisi kekosongan hati Rasulullah SAW walaupun dia memperoleh limpahan kasih daripada Baginda.
Keadaan demikian berlarutan sehingga tidak berapa lama kemudian turunlah wahyu Allah SWT yang memerintahkan Rasulullah SAW menikahi Aisyah binti Abu Bakar yang masih dialam kanak-kanak. Kemudian, bagaimanakah sikap Saudah pada ketika itu apabila mengetahui pernikahan tersebut? Dia rela dan tidak sedikit pun ada perasaan cemburu. Dia merelakan madunya berada di tengah keluarga Rasulullah SAW.
*********************
Disayangi Rasulullah SAW dan Aisyah r.ha.
Wajahnya sentiasa ceria dan tutur katanya tetap lemah lembut, bahkan dia sering membantu menyelesaikan urusan-urusan Aisyah, sehingga Aisyah sangat menyayangi Saudah. Saudah merelakan malam-malam gilirannya untuk Aisyah semata-mata untuk memperolehi keredhaan Rasulullah SAW.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Saudah terus tabah melalui sisa-sisa kehidupannya hingga era kekhalifahan Umar bin Al-Khattab. Saudah tetap menyendiri untuk beribadah hingga ajal menjemputnya. Sebahagian riwayat menyebut bahawa dia meninggal pada tahun ke-19 H.
Semoga rahmat Allah SWT sentiasa menyertai Sayidah Saudah binti Zam’ah dan semoga Allah SWT memberinya tempat yang terbaik di sisi-Nya.
p/s: Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan semua, semoga bermanfaat. Jika ada kelapangan, saya akan berkongsi lagi tentang sirah-sirah yang lain. Wallahu`alam. ^_^
~permata yang dicari~
17 SEPTEMBER 2011
-Kota Bharu, Kelantan-