Tuesday, February 21, 2012

::.Kecintaan Rasulullah SAW.::

 
~Rasulullah SAW menanti umatnya disyurga yang kekal abadi~



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Terima kasih Allah, I love you Allah. Segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat menitipkan sesuatu disini. Dalam kesibukkan membuat persiapan untuk menghadapi peperkisaan akhir bagi semester ini, Allah masih memberi peluang untuk saya kongsikan sesuatu yang menyentuh jiwa. Alhamdulillah, Sama-sama kita menghayatinya.
                                      

Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya.


Pagi itu, walaupun langit telah mula menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberi khutbah:

“Wahai uamatku, kita semua di dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara kepada kalian, Al-Quran dan Sunnahku. Barang siapa yang mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”  


Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah SAW yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Uthman menghela nafas panjang, Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah hilang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah SAW akan meninggalkan kita semua,” keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.

Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menyambut Rasulullahyang berkeadaan lemah dan goyang ketika turun dari mimbar. Disaat itu, jika mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tetapi pintu rumah Rasulullah SAW masih tertutup. Sedang di dalamnya Rasulullah SAW sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seseorang yang berseru mengucapkan salam. Bolehkah saya masuk?” tanyanya. Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, “Maaflah, ayahku sedang demam,” kata Fatimah yang membalikkah badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya kepada Fatimah:

“Siapakah itu wahai anakku?” “Tak tahulah ayahku, orang sepertinya tidak pernah kulihat,” tutur Fatimah lembut. Lalu Rasulullah SAW menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenangnya.

“Ketahuilah, dia yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikat maut,” kata Rasulullah SAW.


Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampirinya tetapi Rasulullah SAW menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian panggillah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. “Jibril, jelaskan apa hakku di nanti di hadapan Allah?” Tanya Rasulullah SAW dengan suara yang sangat lemah. “Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,” kata Jibril. Tetapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah SAW lega, mata masih penuh kecemasan. “Engkau tidak senang mendengar khabar ini?” Tanya Jibril lagi. “Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?” “Jangan khuwatir, wahai Rasulullah aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: “Kuharamkan syurga bagi siapa sahaja, kecuali umat Muhammmad telah berada di dalamnya,” kata Jibril.


Detik itu semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah SAW ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah SAW bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. “Jibril betapa sakitnya sakaratul maut ini.” Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. “Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?” tanya Rasulullah SAW kepada Malaikat pengantar wahyu itu. “Siapakah yang sanggup melihat kekasih Allah direnggut ajal.” Kata Jibril.


Tidak lama kemudian, terdengar Rasulullah SAW memekik, kerana sakit yang tidak tertahan. Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua maut itu kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah SAW mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanukum, peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu. Di luar pintu, tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutup tangan ke wajahnya dan Ali kembali telinganya ke bibir Rasulullah SAW yang mula kebiruan. “Ummatii, ummatii, ummatii?” –umatku, umatku, umatku.” Maka berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?????”

TEPUK DADA TANYA IMAN……  

Yang mengharap doa kalian,
-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
21 February 2012
-Kota Bharu, Kelantan-  

Friday, February 17, 2012

::.Tarbiyah Mendidik Jiwa-(2).::

~Kesinambungan Tarbiyah Teras Generasi Berwawasan~


Sinar matahari yang menyimbah bumi memantulkan silau dan sangat memeritkan mata. Seketika Hanan duduk termenung jauh, pandangannya dilontarkan nun jauh ke hamparan padang rumput yang sedang menguning kerana sedang bermandi cahaya sang mentari. Dari jauh, rumput-rumput itu kelihatan seperti wang emas yang tinggi nilainya.


Namun, fatamorgana itu tidak mampu meredakan galau di hati Hanan Ibtisam. Husna Qistina yang sedang berjalan menuju ke arah Hanan perasan akan perubahan Hanan. Husna kemudian menyapa lembut, “Hanan, apa yang difikirkan tu?”


Hanan sedikit terkejut dengan panggilan itu segera mengesat kedua-dua belah matanya yang basah.

“Tak ada apa-apalah Husna. Hanan ok. Cuma teringat kenangan di sekolah dulu. Rindu sangat dengan sahibah-sahibah Hanan. Terasa cepat sangat masa berlalu, sekarang dah masuk IPT, umur pun makin meningkat.” tersenyum Hanan dihujung kata-katanya.


********************* 

 Pagi yang hening bersulam kabus sejuk nan salju. Siangnya panas membahang, malamnya mula sejuk menggigit kulit. Kedua-dua keadaan itu adalah resam hidup di bumi Allah. Kadang-kadang terkeluar keluahan daripada mulut dan gaya manusia. Bila muhasabah kembali, cepat-cepat istighfar dan bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya.


“Cepat dah dekat pukul 8 ni, nanti lewat masuk kelas pulak”, Asma’ mengingatkan sahabat-sahabatnya yang leka menjamah sarapan pagi di kafe.     

“Ok, kejap nak habis dah ni, tunggu jap ye”.. balas Hanan dan Husna serentak. Siti dan Asma’ hanya mampu tersenyum melihat gelagat Hanan dan Husna.


Dalam perjalanan menuju ke bilik kuliah, tiba-tiba Hanan disapa oleh Tuan Haji Musleh. Sahabatnya yang lain sudah berjalan kehadapan dulu kerana mahu cepat-cepat masuk ke kelas sebelum pensyarah masuk. Dalam masa yang sama, Tuan Haji Musleh macam berbincang sesuatu yang serius dengan Hanan.

“Ada masa free tak hari ini, saya nak jumpa kamu nanti, boleh?” tanya Tuan Haji Musleh.

“Saya rasa macam full saja hari ni, tapi saya cuba cari masa. Mungkin ada.” Jawab Hanan penuh hormat.

“Ok, kalau macam tu, nanti datang pejabat saya.” tambah Tuan Haji Musleh lagi.

“InsyaAllah.” balas Hanan ringkas.


Tuan Haji Musleh berlalu pergi menuju ke kafe. Hanan cepat-cepat melangkah kakinya ke bilik kuliah. Risau pensyarahnya masuk dahulu. Alhamdulillah, pensyarahnya tidak sampai lagi. Dalam pada itu, Hanan terfikir.

“Ish, kenapa Tuan Haji Musleh nak jumpa aku?” Keluh hanan dalam hatinya.

“Nak kata ada buat salah macam tak ada je.” Menolog Hanan sendirian.

“Hai cik puteri kita sorang ni fikir apalah tu?” Sapa Ida sekaligus mematikan lamunan Hanan.

“Eh, mana ada. Tak fikir apa pun.” Hanan cepat-cepat menafikan andaian Ida.

“Ye ke tak de apa-apa ni, lain macam je nampak.” Usik Munirah pula.

Hanan tersenyum sahaja melihat sahabat-sahabatnya yang sangat mengambil berat. Lagi pun mereka hanya berenam dalam kursus itu. Semuanya perempuan. Lagi bertambah seronoklah ketika belajar. Macam-macam boleh tanya, sama ada yang berkaitan dengan subjek atau terkeluar daripada itu. Bila seorang tidak hadir memang terasa kekurangan sangat. Senang cakap, memang rapatlah.


*********************

Usai kelas Metodologi Penyelidikan, Hanan mendekati Siti untuk mengajaknya teman berjumpa dengan Tuan Haji Musleh di pejabatnya. Sampai di pejabat, Tuan Haji Musleh sedang berbual dengan seorang kakak senior yang telah mendirikan rumah tangga yang juga baru sahaja menamatkan pelajaran di sini. Mungkin meminta padangan dan nasihat dari Tuan Haji Musleh.


Hanan masuk seorang sahaja atas permintaan Tuan Haji Musleh. Siti hanya menanti di luar, manakala kakak tadi sudah berlalu pergi kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikanya. Tuan Haji Musleh memulakan bicaranya. Setiap kata-kata yang dibicarakan merupakan mutiara buat Hanan. Semuanya bermakna dan terlalu tinggi nilainya. Dengan butir bicara yang sentiasa mengingatkan diri remaja dan mahasiswa untuk sentiasa dekat kepada Allah. Hanan tekun mendengar apa yang disampaikan oleh Tuan Haji Musleh.

“Tujuan sebenar saya panggil kamu ke sini adalah untuk menyampaikan hajat seseorang,” bicara Tuan Haji Musleh tenang.

Hanan sedikit tersentak. Rasa malu mengelinap dan terus naik ke mukanya merona kemerahan. Hanan cepat-cepat beristighfar untuk membersihkan hati. Hanan terdiam seribu bahasa. Tuan Haji Musleh meneruskan bicaranya, menerangkan ciri-ciri orang itu dan bertanya pendapat Hanan.

“Adakah kamu setuju?” tanya Tuan Haji.

“Macam mana akhlaknya?” Hanan mahukan kepastian.

“Alhamdulillah, dia soleh dan sangat berkepimpinan. Dia juga konsisten dalam dakwah dan tarbiyah…” balas Tuan Haji bersungguh-sungguh.

Jauh di sudut hati Hanan, mahu sahaja cakap setuju. Namun apakan daya itu hanya luahan hati seorang gadis yang tidak wajar berkata-kata dalam urusan sebegitu. Harapan yang Hanan ada ialah ciksu. Mak saudara kepada orang yang berhajat itu. 


*********************


Apabila diamati, proses perjalanan hidup Hanan sangat mengagumkan. Allah telah memilih Hanan untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam dan syumul. Lima tahun dalam proses tarbiyah kini Allah memilihnya lagi berada di satu tempat yang mempunyai suasana yang soleh(biah solehah) bagi terus mendidik jiwa yang sentiasa dahagakan iman.


Manusia tidak boleh lari daripada ditarbiyah jika berhajatkan kepada kebaikan. Suasana hati juga perlu sentiasa diperbaiki. Kadang-kadang kita rasa lemah dan kadang-kadang kita rasa kuat, itu semua fitrah. Dalam proses memperbaiki diri, orang sekeliling jangan dilupakan. Ajaklah mereka untuk sama-sama dekat kepada Allah.


“Setiap makhluk ada kelemahan, yang tidak ada kelemahan hanya al-Khalik (Allah)”.. satu kata-kata yang memberi semangat dan menyedarkan Hanan yang diri manusia tidak ada yang sempurna dan kita sebagai manusia perlu terima kelemahan itu dan sentiasa cuba untuk perbaikinya. InsyaAllah.

::Tamat::

P/s: Coretan ini saya nukilkan buat semua dan sesiapa sahaja yang ingin mengambil ibrah darinya. Ianya adalah sambungan dari cerpen Tabiyah Mendidik Jiwa (klik disini). Moga mampu memberi suntikan buat hati untuk terus istiqamah dan sentiasa ingin meningkatkan mutu dan kualiti iman, InsyaAllah. Maafkan saya juga kerana sudah lama tidak menghadirkan post yang baru di sini, keterbatasan masa menyebabkan saya tidak dapat menghadirkan post disini. Apa-apa pun saya sentiasa mengharapkan doa dari kalian semua. Moga Allah kasih.  (",)

~Permata yang dicari~
17 February 2012
-Kota Bharu, Kelantan-