Sunday, June 24, 2012

::.Tutuplah Keaiban Orang Lain.::


~Peliharalah Lidahmu~


Setiap umat muslim adalah bersaudara. Mereka yang mengakui saudara dilarang menyusahkan atau menzalimi sesama sendiri malah digalakkan supaya saling membantu apabila dalam kesusahan. Mereka yang memberi kelapangan kepada saudaranya, maka Allah akan memberi kelapangan kepada mereka yang membantu melapangkan hidupnya dari pelbagai masalah.


Menurut Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW berkata, “Seorang muslim itu adalah saudaranya bagi muslim yang lain. Mereka tidak boleh menzalimi dan menyusahkan. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya, Allah akan penuhi hajatnya pula. Sesiapa yang melapangkan sesuatu kesusahan kepada seorang muslim, Allah akan melapangkan kesusahannya di akhirat nanti. Sesiapa yang menutup aib seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di akhirat nanti”.  (HR. Al-Bukhari dan Muslim)   


Apa yang berlaku pada hari ini, hadis di atas tidak dijadikan iktibar. Umat islam tanpa memikirkan kesannya gemar membuka aib orang lain dan menyusahkan orang lain asalkan diri sendiri mencapai kesenangan dan hajatnya tertunai. Bagi mereka yang diaib atau disusahkan, sudah tentu berasa kecewa tetapi mereka digalakkan supaya bersabar kerana ini merupakan satu ujian.   


Oleh itu, janganlah kita sewenang-wenangnya membuka keaiban orang lain. Fikirlah kesannya yang pastinya akan membinasakan diri sendiri. Semoga ada iktibar dan pengajaran buat sidang pembaca sekalian. Wallahu`alam. Assalamualaikum wbt.


~Permata yang dicari~
24 June 2012
- Kota Bharu, Kelantan -

Thursday, June 14, 2012

::.Senjata Orang Beriman.::


 ~Hati gembira. Jiwa senang hati. Kasih terus meniti~


Assalamualaikum wbt.
                             
Dengan nama Allah, apa khabar kalian? Moga bahagia dan tersenyum sentiasa.
Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya melayarkan tinta di laman ini. Pejam celik pejam celik sudah hampir sebulan lebih laman ini menyepi dan terus menyepi.
        

Kemeriahan sedikit sebanyak pasti menurun. Tetapi para tetamu langsung tidak jemu menanti sesuatu untuk dibawa pulang. Apa pun saya sangat menghargai kehadiran kalian kesini. Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua atas kelewatan saya menghadirkan tajuk baru disini atas sebab-sebab tertentu. Saya mengharapkan doa dari kalian semua. Semoga kalian sentiasa beroleh manfaat yang banyak di laman tarbawi ini, InsyaAllah.  


********************   

Setiap kejadian yang dijadikan Allah pasti ada kelebihan pada diri masing-masing bagi mempertahankan diri, tidak kira yang dicipta itu manusia, tumbuhan atau haiwan sekalipun. Jika kucing, kukunya sebagai bantuan. Jika gajah, gadingnya sebagai senjata. Jika lembu, tanduknya sebagai pelindung. Bagaimana pula dengan manusia?  Ya, manusia dikurniakan akal bagi mempertahankan dirinya.  


Cuba kita perhatikan kejadian Allah seluruhnya. Pasti kita akan mendapati bahawa Dia Yang Maha Pemurah telah mengurniakan senjata untuk mempertahankan diri sebagai alat untuk memperoleh sesuatu. Dengan anugerah ini, manusia mampu mencipta pelbagai jenis ciptaan untuk manfaat diri dan orang sekeliling.


Namun, bagi hamba yang beriman, senjatanya adalah doa yang mampu melindungi diri dengan izin Allah s.w.t. Rasulullah SAW bersabda: 

الدعاء سلاح المؤمن، وعماد الدين، ونور السماوات والارض.
Maksudnya: Doa itu senjata orang beriman, tiang agama serta cahaya bagi langit dan bumi.
(Riwayat al-Hakim)


********************

Para pembaca sekalian,

Sentiasalah kita berdoa kepada Allah kerana doa itu adalah senjata dan bekal buat kita. Saya terfikir untuk berkongsi tajuk ini pun adalah kerana doa dari seseorang yang saya hormati yang tidak pernah jemu memberi sokongan agar terus mengharap dan berdoa kepada Allah. Moga Allah kekalkan kami di atas jalan ini. Ameenn.  


Kita mempunyai banyak kelemahan dan mana mungkin kita mampu untuk melangkah setiap perjalanan hidup kita hari demi hari tanpa memanjatkan doa kepada-Nya. Jangan sombong menadah tangan untuk memohon pertolongan daripada-Nya agar setiap langkah perjuangan, setiap laluan jihad dapat diharungi dan ditemani rahmat serta kasih sayang Ilahi. Jadi siapa kita untuk tidak melakukannya???


Berdoalah walau dimana jua anda berada. Pintalah padanya setiap masa, keadaan dan tempat. Jangan jemu dan berputus asa jika Dia lambat menunaikan apa yang diinginkan. Mungkin apa-apa yang dipinta itu bukan yang terbaik untuk kita. Sedarilah Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui apa yang tersembunyi? Cuba kita perhatikan bait-bait dibawah yang saya petiknya dari sebuah buku.

 Kuminta kepada Allah setangkai bunga segar
Dia beriku kaktus berduri
Kuminta kupu-kupu
Diberi ulat berbulu
Aku sedih dan kecewa…
Namun, kemudian kaktus itu berbunga indah sekali
Dan ulat itu menjadi kupu-kupu yang sangat cantik
Itulah jalan Allah, indah pada masanya
Allah tidak selalunya memberikan apa yang kita harapkan
Tetapi Dia akan memberikan sesuatu yang kita perlukan
Kadang-kadang kita sedih, kecewa dan terluka
Tetapi jauh diatas sana
Dia mengatur yang terbaik untuk kehidupan kita.


Allah juga berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:
Tuhan kamu berkata: “Mintalah daripada-Ku nescaya Aku perkenankan permohonan kamu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada mengabdikan diri kepada-Ku, mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina.”   
( Surah Ghafir: 60)

********************

 Jadi, sama-sama kita tingkatkan diri dan kualiti doa dalam kehidupan seharian. Moga Allah  memudahkan segala apa yang kita hajati, InsyaAllah. Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda, mungkin hati saya yang bermasalah, marilah kita muhasabah diri bersama dan sama-sama mengamalkannya. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam. 


P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit dan mengingatkan apa-apa  yang telah berlaku, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)


~Permata yang dicari~
15 June 2012
- Kota Bharu, Kelantan -