Monday, February 11, 2013

::.Mutiara Yang Perlu Dijaga.::


بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Mardhotillah Yang Perlu Di kejar dalam hidup~ 



Apa yang dimaksudkan dengan mutiara disini? Anda ingin tahu? Jom sama-sama kita membacanya. Mutiara yang dimaksudkan disini ialah ikhlas dan ianya sangat perlu dijaga. Ikhlas adalah satu perkataan yang sangat mudah kita lafazkan tapi bukan mudah untuk diaplikasikan dalam kehidupan. Terkadang keikhlasan itu hanya mampu dijaga diawal perbuatan, namun akhirnya jatuh juga ke lembah riyak dan ujub. Nauzubillah!! 


Keikhlasan adalah sebutir mutiara yang sangat mahal yang harus dimiliki oleh setiap Mukmin. Mutiara yang mesti digilap daripada pelbagai macam kotoran dan debu. Apatah lagi orang yang ikhlas akan sentiasa dibayangi oleh syaitan durjana yang ingin merosakkan amalan ikhlasnya. 


*       MAKSUD DI SEBALIKNYA  
Ikhlas dari segi bahasa ialah bersih daripada kekotoran, manakala dari segi istilah syarak membawa maksud: berniat mengharapkan keredhaan Allah dengan melakukan amal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun. Segala amal orang yang ikhlas dilakukan semata-mata kerana Allah.


Dalam Surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam.” Ikhlas dengan pengertian seperti itu merupakan salah satu hasil daripada kesempurnaan amalan kita kepada Allah s.w.t.  


*       KELEBIHAN ORANG YANG IKHLAS
Terdapat banyak fadhilat atau kelebihan orang yang ikhlas dalam amalannya yang disebut oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran. Di antaranya adalah, Allah akan menolong hamba-Nya yang ikhlas, menjaga hamba-Nya dengan Penglihatan-Nya yang tidak pernah tidur. Allah juga akan memperkenankan doa orang yang ikhlas walaupun kadang-kadang manusia sering lupa untuk bersyukur setelah dapat apa yang diminta.


Mari kita renungi firman Allah dalam surah Yunus ayat 22-23 yang bermaksud: “Dialah (Allah) Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di atas daratan, belayar di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurlah bahtera itu membawa penumpang-penumpang di dalamnya, dengan tiupan angin yang baik dan meraka bergembira kerana-Nya, tiba-tiba datanglah angin badai dan apabila gelombang dari segenap penjuru menimpanya dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung dengan bahaya, maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata seraya berkata: ‘Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pasti kami akan termasuk dalam kalangan orang yang bersyukur.’ Maka setelah Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa alasan yang munasabah.”


Setiap amalan yang disulami dengan keikhlasan akan membuatkan jiwa menjadi tenang, tenteram serta hatinya tidak terkesan dengan pujian atau cacian manusia. Ini adalah kerana setiap amalannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. semata-mata. Tanpa keikhlasan, amalan itu hanya akan menjadi sia-sia seperti firman Allah s.w.t di dalam surah al-Furqan ayat 23: 

﴿وَقَدِمْنَاإِلَى مَا عَمِلُواْ مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَهُ هَبَاۤءًمَنْثُورَا﴾
Maksudnya: “Kami hadapkan segala amal perbuatan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikannya bagai debu yang berterbangan.”


p/s: Jadi sama-sama kita renungi sejauh mana keikhlasan kita selama ini dalam melakukan sesuatu perkara, mudah-mudahan diterima-Nya. Setakat ini dahulu untuk perkongsian kali ini. Moga sedikit sebanyak kita mampu untuk aplikasikan dalam kehidupan kita. Wallahu’alam.  

     ~Permata yang dicari~
12 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -

Thursday, February 7, 2013

::.Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah.::




بسم الله الرحمن الرحيم

 
~Ringankan tulangmu~


Dalam institusi perkahwinan, Allah SWT telah memberikan amanah kepada pasangan suami isteri untuk membina sebuah keluarga yang harmoni. Tanggungjawab ini merupakan satu ibadah yang mesti dilaksanakan berlandaskan syariat yang telah digariskan. Kebahagiaan dalam rumahtangga memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pasangan. Sejarah Islam telah merakamkan kejayaan Rasulullah s.a.w. dalam pelayaran rumahtangga sehingga Baginda menjadi contoh kepada masyarakat dunia.   


Islam menghendaki agar tiang-tiangnya dibangun di dalam dada individu, di dalam sebuah rumahtangga, dalam sebuah masyarakat, sebuah negara, sebuah khilafah, kemudian di atas seluruh permukaan bumi sebelum akhirnya tertegak di seluruh alam semesta ini.
Keluarga merupakan salah satu elemen yang akan membangun sebuah masyarakat yang bercita-cita tinggi.


Berikut adalah beberapa ciri untuk mendapat sebuah keluarga Sakinah, Mawaddah wa Rahmah:

*      KELUARGA RABBANI
Ertinya, di dalam keluarga atau masyarakat tersebut, setiap anggotanya berusaha untuk berlumba di dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Allah swt sebagai rujukan utama keluarga atau masyarakat. Mereka menyedari bahwa hanya Allah sahajalah yang mesti dijadikan tempat meminta bagi mewujudkan kebahagiaan bersama. Ini adalah kerana mereka meyakini firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan peliharalah hubungan kekeluargaan.”


*      KELUARGA YANG CINTA ILMU
Firman Allah dalam surah al-‘Alaq ayat 1 yang bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan.” Ayat pertama yang turun kepada Rasulullah s.a.w adalah ayat di atas iaitu : “Bacalah!”, pelajarilah! Keluarga sakinah adalah keluarga yang cinta ilmu. Ringkasnya, keluarga sakinah atau rabbani terdiri dari anggota keluarga yang telah menghayati sabda Rasulullah saw berikut: “Barangsiapa ingin berjaya di dunia, tuntutlah ilmu. Barangsiapa ingin berjaya di akhirat, tuntutlah ilmu. Dan barangsiapa ingin berjaya di dunia dan di akhirat, tuntutlah ilmu.” 


*      KELUARGA YANG MENJAGA BERCAKAPAN
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam.” (riwayat Bukhari dan Muslim). Pesanan yang ringkas dari Rasulullah s.a.w, tapi sangat mendalam. Tidak meletakkan keutamaan berkata baik kepada siapa, bermakna kita harus mengaplikasikannya terhadap orang di sekeliling kita samada keluarga, saudara mara, pensyarah, rakan-rakan, jiran tetangga, penjual ikan, pekedai. Cuma saya tertarik untuk mengaitkannya dalam usaha mewujudkan sebuah keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah. Komunikasi yang baik penting dalam sebuah rumahtangga.  


*      KELUARGA YANG SALING MEMBANTU DAN MENDOAKAN
Sikap ringan tulang adalah perkara yang disukai oleh orang sekeliling dalam membantu melakukan sesuatu kerja atu tugasan. Ini juga salah satu cara untuk mengambil hati keluarga, baik suami mahupun isteri. Disamping itu, ringan-ringankanlah mulut dan hati anda untuk sentiasa saling mendoakan kebaikan di dunia dan akhirat. Berdoa itu sangat penting dalam mengekalkan sebuah keluarga yang harmoni dan sentiasa dipayungan rahmat Allah.


Sesungguhnya, kebahagiaan sebuah keluarga terletak pada kebijaksanaan nakhodanya, iaitu suami atau ayah. Seandainya nakhoda ini sering bertelagah dengan anak-anak kapal, maka sukar untuk sampai ke destinasi utama, iaitu pantai keluarga sakinah. Kesannya, masalah sosial pasti tidak akan menjadi ‘duri dalam daging’ bagi keluarga yang bahagia.

p/s: Alhamdulillah, Allah telah memberi ruang kepada saya untuk menulis lagi. Hati saya tergerak untuk berkongsi tajuk ini. Moga ianya bermanfaat bagi yang telah mendirikan rumahtangga, yang sedang, dan yang akan datang. Wallahu’alam. ^_______^



~Permata yang dicari~
8 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -

  

Saturday, February 2, 2013

::.Berbicara yang dilarang.::




 بسم الله الرحمن الرحيم

 
Diam itu lebih baik


“Kerana mulut, badan binasa”. Itulah satu pepatah Melayu yang sesuai untuk tajuk kali ini. Lidah yang dikurniakan Allah ini terlalu besar nikmatnya. Namun ia sering disalah digunakan untuk tujuan yang salah. Lidah adalah satu anggota yang tidak namun ia akan bisa bila tersalah bicara. Lidah juga akan membuatkan berlakunya pergaduhan, permusuhan, perkelahian dan berbagai-bagai lagi kesan negatif yang lain.  

Impaknya besar kepada keharmonian dalam masyarakat, organisasi, rumah tangga, negara dan sebagainya. Islam melarang keras kepada kita untuk menggunakan lidah bagi merosakkan atau memutuskan silaturahim. Larangan-larangan ini banyak dijelaskan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah s.a.w. seperti berikut: 

*       BERDEBAT
Ramai orang suka bertikam lidah apabila berlakunya perselisihan pendapat. Mungkin akan timbul situasi menyerang, menentang dan saling mencela antara mereka. Islam tidak membenarkan kita berdebat walaupun kebenaran itu memang di pihak kita. Sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Aku ialah pemimpin di sebuah tempat di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar.” (Riwayat Abu Daud) Diam itu lebih baik.

*       MENGUMPAT
Pada hari ini kita lebih seronok berbicara tentang keburukan orang lain. Umpat mengumpat sudah menjadi perkara biasa pada era ini. Hampir setiap tempat dan ruang ada sahaja orang hendak membuka keaiban orang lain. Perasaan sedar yang Allah sedang memerhati kita itu tidak lagi dirasai di dalam hati. Paling menyedihkan lagi perbuatan ini turut berlaku di dalam majlis ilmu, masjid, surau dan tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Firman Allah yang penuh ancaman dalam Surah al-Humazah ayat 1 yang bermaksud “Celaka bagi pengumpat lagi pencela.” Di akhirat nanti balasan bagi si pengumpat adalah memakan daging saudaranya sendiri. Perkara ini ada disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w.

*       MENGADU DOMBA
Perbuatan ini besar impaknya dalam masyarakat sehingga ia boleh menyebabkan perpecahan dan saling benci-mmbenci. Oleh itu, jauhkanlah diri daripada mereka yang berperangai begini. Ancaman bagi si pengadu domba telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang mengadu domba.” (Riwayat al-Bukhari). Perbuatan “talam dua muka” ini merupakan perbuatan keji dan berniat jahat.

*       MEMBANGGA DIRI  
Hal ini bertujuan untuk meninggikan darjat diri tetapi dengan cara menghina orang lain. Bercakap tanpa menghiraukan perasaan orang sekeliling sehingga menggores hati orang lain. Sifat sombong dan bongkak ini mendorong mereka memperkecil-kecilkan orang lain dan tidak kurang juga suka mencari kesalahan orang. Terdapat juga yang menunjukkan kelebihan diri tetapi hanya sekadar bercakap sahaja. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Celaka bagi orang yang berkata kemudian berbohong supaya orang ketawa, maka celakalah baginya.” (Riwayat Abu Daud). Lihatlah betapa kerasnya ancaman dalam hadith ini.

*       PERKATAAN YANG DITEGAH  
Kita dilarang berbicara dengan menggunakan sumpah, menyumpah orang, mengkafirkan orang, perkataan lucah dan lain-lain perkataan  buruk. Perkara ini amat ditegah oleh Allah bertepatan dengan firman Allah dalam surah al-Qalam ayat 10-11 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu turuti setiap orang yang suka bersumpah yang hina. Yang banyak mencela, yang suka menyebar fitnah.” Daripada kita mengeluarkan perkataan yang tidak elok, lebih baik kita cakap sesuatu yang baik, pahala turut kita perolehi.


Jadi, gunakanlah mulut dan lidah yang Allah anugerahkan ini untuk kebaikan. Sahamnya kita yang akan perolehi di akhirat nanti. Ingatlah bahawa kita akan dipertanggungjawabkan setiap kata-kata yang kita tuturkan. Wallahu’alam.


p/s: Maafkan saya kerana telah lama tidak aktif dalam laman ini. Ada hal yang tidak dapat dielakkan untuk saya terus menulis. Perkongsian ini saya semadikan di sini bagi semua yang suka berkunjung ke laman ini. Ini juga merupakan perkongsian saya dengan adik-adik halaqah pada minggu lepas. Moga bermanfaat buat semua. ^_____^   

~Permata yang dicari~
2 February 2013
- Kota Bharu, Kelantan -