Tuesday, July 26, 2011

::.Seindah Fajar Ramadhan.::


       ~Ramadhan sebagai madrasah menyucikan hati~

           
           Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… Sebelum madah diteruskan, ucapan Assalamualaikum ditujukan buat para pembaca blog permata yang dicari sekalian yang dikasihi fillah. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW rasul Dakwah dan Tarbiyah.  Dengan rahmat kasih sayang-Nya, saya dapat berkongsi sesuatu dengan semua di blog permata yang dicari ini, bagi mengisi ruangan hati-hati yang berhajatkan kepada kebaikan. 

        
           Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ada berapa soalan untuk hati-hati anda. Berapa hari lagi ya kita akan menghadapi Ramadhan? Adakah anda bersedia untuk menghadapi Ramadhan dan adakah anda benar-benar merindui Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi? Adakah kita bersungguh-sungguh dalam berdoa supaya kita sampai ke dalam bulan Ramadhan yang dirindui? Jawab dalam hati itu sudah memadai.

        
           Untuk kali ini saya hanya hendak berkongsi secebis tentang ramadhan di bawah tajuk saya “Seindah Fajar Ramadhan”. Apa yang kita lakukan bila datangnya bulan Ramadhan? Sudah tentulah kita berpuasa bukan? Jadi apa yang anda faham apa itu puasa? Jika anda kurang mengetahui mengenainya, mari saya bawa anda belayar untuk kita sama-sama lebih faham. Semoga dapat manfaat.


Apa Itu Puasa?
      
         Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbitnya fajar hinggalah terbenam matahari disertai dengan niat. Selain itu, kita perlu menahan dari menipu, berkata-kata buruk atau sia-sia dan daripada bertengkar atau bergaduh.

            
            Ini kerana puasa adalah medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Semasa saya disekolah dulu, ada seorang ustaz berkata bahawa Ramadhan adalah madrasah bagi orang-oarang beriman. Ini kerana apabila kita keluar sahaja dari bulan Ramadhan itu, kita akan membawa sikap yang baik kesan dari bulan Ramadhan tadi. Subhanallah, hebat bukan? =)


Bulan Al-Quran 
               
             Pada bulan ini al-Quran diturunkan. Justeru itu, Ramadhan adalah bulan al-Quran sebelum ia dipanggil bulan puasa. Ia sangat berharga, bukan sekadar berpuasa. Setiap tahun, umat Islam menyambut ketibaan hari nuzul al-Quran, namun sejauh manakah penghayatan kita mengenai al-Quran. Adakah sekadar membacanya sahaja? Atau sekadar merebut pahala semata-mata?

Firman Allah: “Bulan Ramadhan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah: Ayat 185)
               
                Jom kita sama-sama muhasabah diri supaya Ramadhan kali ini lebih baik dan bererti buat kita bersama, insyaAllah. ^^


Lailatul Qadar
               
               Dalam bulan Ramadhan juga terdapat Lailatul Qadr yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. Inilah yang termaktub dalam al-Quran:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran ini pada Lailatul Qadr. Dan apakah kamu mengetahui apakah kebesaran Lailatul Qadr? Lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan jibril dengan izin Allah tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam berkat itu sehingga terbit fajar.”  (Surah al-Qadr: 1-5)
              
               
               Bila sebut pasal Lailatul Qadr, saya teringat sesuatu yang diperkatakan oleh ustaz saya dalam kelas saya tadi. Orang melayu ni selalu semangat diawal ramadhan dan diakhirnya sahaja. Sepatutnya kita bersungguh-sungguh sepanjang bulan Ramadhan untuk mencari Lailatu Qadr. Betul juga apa yang diperkatakan oleh ustaz itu. Terima kasih ustaz. ^^


Bulan Pengampunan
               
             Seperti yang kita tahu bulan Ramadhan ini adalah bulan maghfirah, dimana pintu neraka ditutup serapatnya dan pintu syurga dibuka seluasnya. Subhanallah, untungnya kita sebagai umat islam. Janganlah kita persiakan Ramadhan kali ini. Manfaatkan bersunggguh-sungguh. Mudah-mudahan Allah sudi untuk memilih kita merasai betapa manisnya Ramadhan ini.
              
                 
                Harap-harapnya juga kita keluar daripada Ramadhan sebagai graduan yang bertakwa, InsyaAllah. Bulan Ramadhan ini juga dikata sebagai pesta Ibadah. Selain itu, Ramadhan juga diibaratkan seperti hujan lebat yang penuh dengan kebaikan didalamnya, maka kebaikan yang kita perolehi itu bergantung sebesar mana bekas yang kita tadah. Jika sebesar cawan yang kita tadahkan maka kebaikannya sebanyak itu sahaja yang kita peroleh dan jika sebesar tasik yang kita tadahkan maka begitulah seumpamanya. Jika kita lihat, betapa ramainya orang akan berlumba-lumba untuk mengumpul pahala dari setiap apa yang dilakukan. Jadi jangan lepaskan peluang ini.



Akhir Sekali 
                
           Saya ingin mengajak hati-hati kita untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi Ramadhan yang penuh kebaikan di dalamnya. Sebelum saya matikan bicara ini, ingin sekali saya berkongsi satu ayat al-Quran yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan keatas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.  (Surah al-Baqarah: 183)     
              
               
          Jangan kita sia-siakan Ramadhan yang akan datang sebagai tetamu kita. Mudah-mudahan Allah terima amalan anda dan saya. Saya doakan anda sempat merasai ramadhan kali ini dengan penuh penghayatan dan penyerahan hati. ^^
               
                
              Saya rasa setakat itu dahulu untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk kita semua. Bagi yang dah membaca apa yang saya tuliskan ini, molek kiranya jika anda sampaikan kepada orang lain pula. Ini hanya secebis sahaja tentang Ramadhan. Mudah-mudahan Allah berkati.

P/S: SEMOGA ALLAH SAMPAIKAN KITA KE STESEN TAKWA YANG KITA HAJATI ^_^  INSYALLAH, AMIN.

-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
^^Permata yang dicari^^
27 JULAI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

1 comment: