Tuesday, March 13, 2012

::.Dua Rakaat Menghadapi Kesunyian Kubur.::

بسم الله الرحمن الرحيم
IN THE NAME OF ALLAH
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


~Muhasabah dan tingkatkan kualiti iman~



Sebelum madah diteruskan ucapan salam ditujukan buat para pembaca sekalian.
Assalamualaikum wbt.              

         
         Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Terima kasih Allah, I love You Allah, segala puji dan puja hanya dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin-Nya, jari ini masih laju menari di atas papan kekunci, menaip huruf demi huruf yang akhirnya menjadi bicara dari hati. Alhamdulillah!


Para pembaca yang dikasihi sekalian,

          Untuk kali, saya akan kongsikan satu tajuk iaitu “Menunaikan solat 2 rakaat untuk menghadapi kesunyian kubur.” Seperti yang kita tahu semua yang bernyawa dimuka bumi akan berhadapan dengan kematian sesuai dengan firman Allah di dalam surah Ali-`Imran ayat 185:  
 “Setiap yang bernyawa akan merasai kematian…”    


Jadi bagaimana dengan persiapan kita untuk berada di alam lain?  Adakah kita benar-benar bersedia menghadapinya dengan amalan yang hanya secebis?  Fikir dan renung-renungkan.


***************

Antara pesanan Rasulullah SAW kepada kita adalah:
Ø  Menggalakan umat solat malam (Qiyamullail).
Ø  Tunaikan solat 2 rakaat dalam kegelapan malam demi kesunyian di kubur.


Solat adalah penggerak utama. Solat malam ini tidak dapat ditandingi sebarang ibadah yang lain. Ganjarannya sangat besar di sisi Allah. Solat malam juga membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan betapa hebatnya.  


Firman Allah dalam surah al-Muzzammil ayat 6, yang bermaksud:
“Sesungguhnya, bangun malam (bersolat dan beribadah) itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan al-Quran pada waktu itu) lebih berkesan.”


***************

“Hendaklah kalian mengejarkan solat diwaktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang sebelum kamu dan yang mendekatkan kamu kepada Tuhanmu, ia penembus segala dosa, pencegah segala keburukan dan menghapuskan segala penyakit yang ada dalam badan seseorang.”  (HR Tabrani & Mizi)


Huraian ini jelas kepada kita bahawa solat malam dapat membentuk menjadi hamba Allah yang Rabbani (kerap berhubung dengan Allah), berjiwa cerah, hati yang peka dan berfikiran mantap.


Selain itu solat malam tidak dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu khasnya pada peringkat awal. 


***************

Apabila seseorang hendak tunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya “bangunlah hari telah pagi, solat dan ingatlah Allah”. Dalam masa yang sama syaitan pun datang memujuk, “malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau bangunlah”. Jika ia  bingkas bangun dari tempat tidurnya untuk solat maka badannya akan menjadi ringan, cergas dan sihat. Jika ia patuh pada syaitan tidur hingga siang, syaitan akan ketawakannya. 


Rasulullah SAW pernah membayangkan tentang kubur dan siksanya. Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika selamat, peringkat seterusnya lebih mudah tetapi jika tidak selamat maka akan mengalami kesulitan untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Rasulullah SAW juga mengaitkan antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Justeru, sama-samalah kita merebutnya.  


***************

Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda, marilah kita muhasabah diri bersama dan sama-sama mengamalkannya. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..


P/s : Perkongsian ini adalah catatan saya semasa di tingkatan 2 dulu. Saya telah pun berkongsinya dengan sahabat-sahabat dan adik-adik di MATRI dan di KTD. Kini saya tinggalkan catatan saya disini untuk anda. Saya berharap anda pula yang menyampaikan apa yang saya kongsikan ini dengan orang lain pula agar pahala itu tidak terputus begitu sahaja.(“,)


~Permata yang dicari~
14 March 2012
-Kota Bharu, Kelantan- 

Wednesday, March 7, 2012

::.Monolog Dari Hati.::

~Ya Allah, Let My Feet Stand Firm~


بسم الله الرحمن الرحيم
IN THE NAME OF ALLAH
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL


Wahai Allah! Tuhan Yang Maha Mengasihani.
Tiada siapa lagi tempat terbaik
Untuk hamba yang lemah dan dhaif ini menumpang kasih
Kecuali dari sisi-Mu.


Hamba akui segala kelemahan
Kesilapan dan kobodohan diri ini
Hambalah manusia yang menzalimi diri sendiri
Pada setiap detik dan ketika
Hambalah juga selalu berlagak
Seperti tuan di bumi milik-Mu ini!!


Ya Allah.. Aku bermohon
Dengan keluasan rahmat dan maghfirah-Mu
Agar dosa-dosa yang aku usahakan
Saban detik dan waktu itu diampuni!!
Berat hati ini menanggungnya.


Ya Allah! Kusut sekali kehidupanku
Kerana dosa yang menggunung
Segala urusan hidupku tidak keruan
Lantaran dosa bertimpa-timpa
Yang kupikul menanggung derita.   


Sungguh Ya Allah,
Tiada ketenangan dengan dosa
Tiada keberkatan dengan dosa
Tiada keselamatan dengan dosa
Tiada kemuliaan dengan dosa


Ampunilah hamba yang bersalah ini
 Jauhilah daku daripada kehidupan yang penuh ranjau
Dan liku-liku dosa
Wahai Tuhan yang Maha Pengampun
Ampunkanlah daku…


Yang mengharap doa kalian,
-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
7 March 2012
-Kota Bharu, Kelantan-  

Thursday, March 1, 2012

::.Sinergi Wardah.::

~Segarkan iman, mantapkan ukhwah~



 “Wanita yang bijaksana pasti mampu mengubah sahara yang kering kontang menjadi sebuah taman bunga yang subur menghijau… insyaAllah.”


Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”  [surah al-Hujurat : 10]


Rasulullah s.a.w bersabda “ Daripada Nu’man bin Bashir r.a : Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Perbandingan orang-orang mukmin pada kasih sayang mereka adalah seperti tubuh badan yang satu , apabilah satu anggota berasa sakit seluruh badan akan turut merasainya.”  


***********************

Ukhuwwah atau persaudaraan di dalam Islam merupakan jalinan yang menghubungkan sebahagian dengan sebahagian umat Islam yang lain. Ia merupakan ikatan rabbani ikatan yang diikuti di atas dasar ketaatan kepada Allah yang mengikat hati-hati mereka dan ia merupakan jalinan yang mendekatkan mereka kepada Allah s.w.t.   


Ukhuwwah merupakan ikatan keimanan yang paling kukuh sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w:
“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang kerana Allah dan marah juga kerana Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).


Ukhwah yang baik ialah ukhwah yang mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t.  Jadi, pilihlah sahabat yang sentiasa boleh mengingatkan diri kita kepada-Nya. Sama-sama kita jadikan ukhwah itu sebagai satu generator untuk menuju Allah s.w.t.


***********************

Kenapa agak-agaknya saya menceritakan tentang ukhwah hari ini? Anda tahu kenapa? Adakah anda faham apa itu maksud sahabat? Maksud sahabat disini ialah, kita boleh berkongsi suka dan duka bersama, sama ada susah atau senang dan sentiasa mengingatkan kita kepada Allah.  Hebatkan, bukan hanya sekadar berkongsi suka, bahkan duka!


Mari saya kongsikan cerita dengan anda semua. Kelmarin, tepat jam 9.45 pagi saya mendapat panggilan daripada seorang staf di kolej saya merangkap sahabat baik saya juga. Sebelum itu, saya akan perkenalkan dahulu siapa orangnya. Saya memanggilnya Kak Mini. Nama penuhnya Kasmini Hammatang. Berasal dari Tawau, Sabah. Dahulunya dia juga seorang pelajar disini. Itulah serba sedikit tentang dirinya.

“Assalamualaikum, Fatin ada kat mana sekarang?” tanya kak Mini

“Wa`alaikumussalam wbt, Fatin dah ada di kolej sekarang. Dekat Medan Thaqafi ni, tengah siapkan laporan PESAT yang kak Mini mintak semalam tu?" tersenyum menerima panggilan itu.   

“Ooo ye ke.. dah makan belum?” soalnya lagi.

“Alhamdulillah, dah. Sebelum datang kolej tadi Fatin dah minum susu dan makan roti.” Jawabku ringkas.

“Makan roti je, mai la datang HEP ni makan dengan akak ajak si kembar sekali ya.” sungguh-sungguh kak Mini mengajakku.

“InsyaAllah, nanti Fatin datang dengan si kembar.” balasku pula.  


Kak Mini memang sangat mengambil berat tentang saya dan si kembar. Siapa si kembar tu? Dia adalah sahabat sekelas dengan saya. Namanya Siti Nabilah binti Azman.  Kami banyak persamaan. Nama kami pun hampir serupa tapi tidak sama. Gelaran itu diberi oleh Kak Mini sendiri. ^_^.


~Bersama kak Mini di Lata Tembakah, Terengganu~



***********************

Malam itu lepas solat isya’ berjemaah disurau, saya naik ke bilik. Tiba-tiba perasaan sedih datang tetapi tidak tahu apa puncanya. Saya banyak diam. Tidak seperti biasa. Biasanya, sayalah yang selalu menceriakan suasana. Suka menggembirakan hati orang lain, itulah saya.


Saya terus berlalu menuju ke meja saya mencapai sebuah buku, “Agar Dijaga Allah” karya A’idh bin Abdullah al-Qarni. Hadiah pemberian seseorang. Sangat bermakna dan bernilai buat saya. Sedang khusyuk menelaah buku itu, ada satu panggilan. Tertera di skrin handset ‘Mak Tersayang’. Cepat-cepat menjawabnya. Rindunya dekat mak walaupun hari-hari telefon. Tidak pernah miss walaupun sehari. Lama juga berbual dengan mak.


Lama selepas itu, Kak Mini pula yang call. Rasa kesedihan tadi terubat sedikit sebanyak. Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Buat mak yang amat saya sayangi kerana-Nya ketahuilah anakmu ini amat merinduimu dan sentiasa mendoakan kesejahteraanmu di dunia dan akhirat.  Buat kak Mini yang disayangi juga kerana-Nya, terima kasih kerana selalu bagi semangat dekat Fatin dan bersusah payah untuk Fatin. Saya sangat-sangat hargainya. Semoga Ukhwah ini kekal hingga ke syurga-Nya, insyaAllah.

‘A friend is push when you’re stop, a world when you’re alone, a guide when you’re searching and a al-Quran when you’re sad.’


***********************

Ukhwah juga merupakan barometer pengukur pasang surutnya keimanan. Semakin teguh ikatan persaudaraan fillah, semakin hampirlah untuk menjadi mukmin yang sejati (mu'minul al haq). Maka sudah tentunya figure manusia yang berukhwah adalah figure insan yang hidupnya basah dengan limpahan iman.

“Sesungguhnya ikatan akidah itu adalah sekuat-kuat ikatan dan orang-orang yang hidup di bawah naungan cinta dan persaudaraan islam, persaudaraan kepada Allah dan lillahi ta`ala akan dapat merasai dan menikmati satu kebahagian yang hakiki, kepuasan jiwa yang tidak terperi di mana ia tidak dapat dikecapi oleh orang-orang yang menilai hidup dengan nilai-nilai keduniaan yang fana ini.”


Saya rasa setakat ini dahulu perkongsian saya dengan semua. Moga ada manfaat daripada perkongsian kali ini biarpun ianya hanyalah perkongsian yang santai. Impian saya, saya ingin memperoleh cinta Allah dan redha-Nya.  Jika saya seorang sahabat kepada sahabat yang lain, saya akan jadi sahabat yang sejati. Saya adalah seorang anak kepada mak dan abah saya, akan saya berusaha menjadi anak yang solehah yang sentiasa membahagiakan hati mak dan abah saya.^^. Jika saya seorang isteri suatu hari nanti, akan saya berusaha membahagiakan hati suami dan berusaha menjadi isteri yang solehah, insyaAllah.


P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit atau berbangga diri, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi.  


Yang mengharap doa kalian,
-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
2 March 2012
-Kota Bharu, Kelantan-