Thursday, November 15, 2012

::.Sesal Lewat Peluk Islam.::



 ~Peluang itu hanya datang sekali, jangan sia-siakan~


Trivia 
Soalan: Siapakah sahabat Rasulullah yang dilahirkan di dalam kaabah?
Jawapan: Hakim bin Hizam.

Ibu Hakim bin Hizam yang sedang sarat mengandung masuk ke dalam Kaabah bersama-sama wanita lain untuk melihat suasana di dalamnya. Pada hari itu, Kaabah dibuka untuk orang ramai kerana penduduk Makkah sedang merayakan salah satu hari kebesaran mereka.Tiba-tiba ibu Hakim bin Hizam dapat merasakan kontraksi seolah-olah dia hampir bersalin, namun dia masih berada di dalam Kaabah. Beberapa orang cuba memberikan bantuan. Ada yang mengambil sekeping kulit kering dan menghamparkannya.

Setelah itu, si ibu melahirkan bayi di atasnya. Bayi yang lahir itu diberi nama Hakim bin Hizam bin Khuwailid. Dia merupakan anak saudara seorang wanita agung iaitu Khadijah binti Khuwailid r.ha. Hakim bin Hizam dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang terhormat dan kaya raya. Atas sebab itu, kaumnya sangat menghormatinya dan menyerahkan Jabatan Rifadah {mengelola urusan haji} kepadanya. Semasa menjalankan tugas, Hakim mengeluarkan harta miliknya untuk membantu jemaah haji yang kekurangan bekalan pada zaman jahiliah.

HUBUNGAN ERAT DENGAN RASULULLAH..
Hakim erat dan rapat dengan Rasulullah sebelum Baginda diutus menjadi Nabi. Meskipun beliau senior Rasulullah iaitu berusia lima tahun lebih tua daripada Baginda, Hakim sangat suka bersahabat dengan Rasulullah. Rasulullah pula seperti biasa, mesra dengan sesiapa sahaja. Dulu bersahabat, kini bersaudara. Kenapa? Ini kerana Rasulullah berkahwin dengan Khadijah binti Khuwailid; ibu saudara Hakim bin Hizam.
Namun sayang sekali, walaupun Hakim bersahabat dan bersaudara dengan Rasulullah, dukacitanya Hakim sukar menerima agama Islam. Barangkali hidayah belum menapak dalam hatinya.

20 TAHUN KEMUDIAN..
Setelah hampir dua dekad Rasulullah diutus menjadi Nabi, barulah Hakim bin Hizam terbuka hati melafazkan syahadah. Itu pun setelah peristiwa Fath Makkah (pembukaan Kota Makkah).

Ramai yang meramalkan Hakim termasuk dalam kategori sahabat terawal memeluk Islam memandangkan beliau begitu akrab, apatah lagi bersaudara dengan Rasulullah. Namun apakan daya, perancangan Allah mengatasi kudrat manusia. Pasti ada hikmahnya.

AIR MATA HAKIM..
Hakim benar-benar menyesali setiap detik dalam hidupnya yang dilalui dalam keadaan dia mensyirikkan Allah dan mendustakan Nabi-Nya. Suatu hari setelah Hakim memeluk Islam, putera-putera Hakim melihatnya sedang menangis tersedu-sedu. Mereka segera bertanya: “Ayah, kenapa ayah menangis?” Hiba hati si anak melihat ayah sendiri menangis tanpa diketahui puncanya.

Kenapa beliau menangis? Apa yang menyedihkan hatinya itu? Sebenarnya tiada apa yang dikesali Hakim melainkan dia terlambat memeluk Islam. 20 tahun bukan tempoh yang pendek. Bayangkan, berapa banyak kesempatan untuk melakukan kebaikan dilepaskannya? Malah dosa pula yang mengisi akaun amalannya.

Penyesalannya itu dizahirkan lagi dengan kata-kata ini: “Sekiranya aku menebusnya dengan menyedekahkan emas sebesar gunung pun,tetapi tidak akan sebanding dengannya!”

Bukan itu sahaja, Hakim turut menyesal kerana telah memungkiri janji dengan dirinya sendiri. Setelah Allah menyelamatkannya dalam perang Badar dan Uhud, dia berjanji untuk tidak lagi membantu Quraisy menyerang Rasulullah. Dia juga berjanji tidak akan keluar dari Makkah.

Janji tinggal janji. Tidak lama selepas itu, Hakim kembali membantu Quraisy. Setiap kali timbul hasrat memeluk Islam, dia melihat tokoh-tokoh Quraisy yang sudah lanjut usia dan terhormat masih tetap mempertahankan keyakinan jahiliah mereka. Dengan alasan itu, dia membatalkan hasratnya menukar agama.

Seterusnya Hakim berpesan kepada anak-anaknya : “Sesungguhnya yang membuat kita binasa adalah kerana kita mengikuti nenek moyang dan para pembesar. Bagaimana mungkin aku tidak menangis kerana semua itu, wahai anak-anakku!”

p/s: Inilah sirah yang saya dapat kongsikan untuk kali ini, setelah berbulan-bulan menyepikan diri. Semoga ianya bermanfaat.

~Permata yang dicari~
15 November 2012
- Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

5 comments:

  1. Assalamualaikum wbt fatin ^_^

    Alhamdulillah,kongsikan lagi fatin(bila kelapangan).. Kta xpernah dengar kisah Hakim bin Hizan ni (",)

    Fatin minat sirah ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam wbt munirah... ^_^

      InsyaAllah, akan fatin kongsikan bila ada saja peluang... :)
      Alhamdulillah, kita sama2 gali lagi sirah2 para sahabat dan nabi2, bukan untuk kebanggaan tp sebagai contoh untuk dihayati dan kuat lagi dijalan-Nya... :)

      ~permata yang dicari~

      Delete
  2. ASsalamualaikum shbtku..
    Alhamdulillah..dpt tambahkan ilmu sirah kali ini..
    perkongsian yang bermanfaat..
    moga teruskan cite pasai sirah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam wbt Nabilah.

      Alhamdulillah, kisah ni membuatkan fatin nak kongsikan kt sini...
      InsyaAllah, harap terusakan doa untuk fatin.. :)

      ~permata yang dicari~

      Delete
  3. jzkk atas perkongsian sirah ni :)
    saya pun baru first time dengar kisah hakim .teruskan bercerita :)

    ReplyDelete