Monday, October 3, 2011

::.Mencari Erti Sebuah Kehidupan.::

~Kebahagian sebenar adalah apabila dapat meraih cinta Allah~



Berlinang air mataku: Adik…

“Mak, kenapa adik tak ada ayah? Kenapa ayah tinggalkan adik?”


Emak bingung, soalan itu sering adik ungkapkan. Macam mana emak nak jawab. Adik faham ke kalau emak katakan yang emak dan ayah dah berpisah dan ayah kahwin lain. Nanti adik mesti tanya kenapa emak dan ayah berpisah? Kenapa emak dan ayah Ee tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Najlah tak berpisah? Kenapa emak dan ayah Fifi pun tak berpisah? Kenapa mesti mak dan ayah adik berpisah?


Emak usap kepala adik.  “Adik ayah tak tinggalkan adik, ayah ada, suatu hari nanti ayah balik.” Emak pujuk adik dengan lembut. Adik senyum. Tak sabar rasanya untuk menunggu ‘suatu hari’ itu. Seingat adik, adik cuma lihat wajah ayah dalam gambar yang tergantung dalam bilik emak. Penat adik mengelamun, akhirnya adik terlelap.


Sedar saja, adik dengar laungan azan subuh. Merdu dan mendayu-dayu. Adik bingkas bangun. Lama adik termenung. “Sedapnya. Suatu hari adik pun nak nyanyi nasyid macam tu.” Adik tersengih di belakang emak yang sudah siap bertelekung. “Itu bukan nasyid sayang, itu azan. Laungan untuk menyeru semua umat Islam menunaikan solat,” emak memperbetulkan pengetahuan adik. Emak memimpin tangan adik ke bilik air. Emak mengajar adik berwudhuk. Mula-mula adik kena basuh tangan. Moga-moga dosa kecil yang dilakukan oleh tangan gugur bersama air sembahyang. Lepas tu adik berkumur dan begitulah seterusnya. Adik cari telekung, nak pakai cantik-cantik macam emak. Emak tersenyum, tapi adik lelaki.. orang lelaki tak payah pakai telekung. Emak mengajar adik bersolat. Setelah selesai adik tersenyum. “Mak, mesti Allah sayang kat adik kan?” Emak mengangguk. “Mesti lepas ni Allah bagi ayah dekat adik balikkan?” Emak mengangguk lagi sambil tersenyum. Adik tersenyum puas. Wahh.. Allah sayang kat adik, Allah tak sayang kat Ee, Allah tak sayang kat Najlah, Allah tak sayang kat Fifi. Allah sayang kat adik seorang saja. Adik tersenyum bangga.


*************************


Pagi itu seperti biasa, adik ikut emak pergi menjaja kuih. Keliling kampung adik berjalan mengikut emak. Ketika emak berhenti di kedai Long Gayah meletak kuih muih, adik berlari mendapatkan Ee, Najlah dan Fifi yang sedang bermain tepi longkang. “Nak main jugak,” adik tersengih menegur kawan-kawannya. “Boleh, tapi kami main rumah-rumah. Najlah jadi emak, Fifi jadi kakak, adik jadi ayah ye…” Najlah memberi cadangan. Adik tesengih dapat jadi ayah. Tapi macam mana nak jadi ayah, adik tak tahu apa peranan ayah. “Tak boleh, tak boleh. Adik tak boleh jadi ayah, sebab adik tak ada ayah. Biar Ee jadi ayah, Ee ada ayah..” Ee mula memberontak. Adik sekadar mengangguk.


Jauh disudut hatinya, adik sedih. Adik nak menangis, tapi cepat-cepat adik teringat, pagi tadi adik solat subuh, Allah sayang kat adik, Allah tak sayang kat Ee. “Adik jadi mamak roti, sebab adik hitam macam mamak roti,” Ee memberi cadangan. “Adik tak mahu jadi mamak roti, adik nak jadi orang yang laung azan.” “Mana boleh.” Ee memberontak. Ee tolak adik. Bedebukkk!! Adik jatuh ke tanah. Adik tak mengalah, adik bangun tolak Ee kuat-kuat. Bedebukkkk!!! Ee jatuh. Ee menangis teresak-esak. “Ee bagi tau kat ayah!” Ee gertak adik. Adik diam. Adik nak bagi tau kat sapa? Adik hanya boleh bagi tau emak, tapi emak adik tak boleh lawan ayah Ee. Ayah Ee kuat. “Adik bagi tau mak!” Adik melawan. “Ayah Ee kuat, mak adik tak kuat!” Ee mengamuk. “Adik bagi tau Allah! Mak kata Allah kuat, tak ada siapa bole lawan Allah!” Adik berlari meninggalkan Ee termanggu sendiri.


Adik menangis teresak-esak. “Kenapa?” Soal emak lembut. “Mak, kenapa adik hitam macam mamak roti?” “Mana ada hitam, kulit adik kan sama macam kulit emak, kalau adik hina kulit adik maknanya adik hina kulit emak juga, Allah marah tau..” Emak memujuk adik. Memanglah kulit adik macam emak sebab emak dan adik bukan orang melayu, emak orang bangsa lain. Emak tinggalkan keluarga dan amalan nenek moyang demi sayangkan ayah. Sebab itu, emak tak pernah membenci ayah, biarpun ayah meninggalkan emak sendiri. Kerana ayahlah emak kenal agama Islam dan kenal Allah. Kerana ayah jugalah emak keluar dari kegelapan. Dan kerana ayahlah emak ada adik. Biarlah ayah tinggalkan emak, tapi mak tidak akan meninggalkan Allah. Allah yang Esa.


*************************


“Emak, kenapa adik tak ada ayah?”


Emak pening. Soalan itu lagi diulang-ulang. Emak cuma diam merenung tanah. “Adik…,” Long Gayah menghampiri adik dan emak. “Walaupun adik tak ada ayah, tapi adik ada emak, betul tak?” Emak boleh jaga adik lebih baik dari ayah Ee jaga Ee, kan??” Long Gayah memujuk adik. Air mata adik disapu. Wajah adik dielus lembut. Kepala adik diusap dengan penuh kasih sayang. “Mungkin kalau adik ada ayah, adik tak ada emak. Mana satu adik nak?” Long Gayah sambung lagi. “Adik nak dua-dua sekali.” Jawab adik tersekat-sekat. Long Gayah terdiam. Tak tahu nak jawab apa lagi. Adik ternganga menanti jawapan Long Gayah.


“Adik tau ayah tak sayang adik, tapi adik tau Allah sayang adik sebab adik sembahyang subuh pagi tadi, kan Long?”


Long Gayah mengangguk. Tersenyum dengan linangan air mata. Berlinang air mata mengenangkan adik. Anak kecik yang terlalu ridukan kasih ayah. Mengenangkan emak, saudara baru yang ditinggalkan terkontang-kanting menepuh ranjau hidup sendirian. Mengenangkan segala rencah hidup manusia zaman sekarang. Memikirkan bagaimana agaknya emak akan membesarkan adik sebagai muslim sejati. “Adik nak balik, adik nak sembahyang subuh lagi, nak sembahyang banyak-banyak kali, biar Allah sayang adik banyak-banyak.” Lamunan Long Gayah terhenti dengan suara kecil adik. Long Gayah tertawa kecil dengan telatah adik. Adik mengheret tangan emak. Nak balik rumah lekas-lekas.


*************************


Sedang adik dan emak hendak melintas jalan, sebuah kereta menderu laju memintas lalu berhenti betul-betul dihadapan emak dan adik. Adik kaget. Emak memeluk adik erat-erat. Tiga lelaki yang berkulit lebih kurang emak keluar dari kereta. Dengan wajah garang, suara garang dan segala-segalanya garang, tiga lelaki itu mengheret emak masuk ke dalam kereta. Emak menjerit dan meronta dalam bahasa yang adik tak faham sepatah pun. Dengan kudrat yang ada, emak melawan bersungguh-sungguh. Adik menangis dalam pelukan emak.


Rangkulan emak semakin erat. Raungan adik semakin kuat. Rasa takut, marah dan benci dengan tiga lelaki itu menyelubungi seluruh jiwa adik. Allah Maha Penyayang. Ketika itu adik nampak Long Gayah membawa batang penyapu di tangannya. Ayah Ee juga turut menggenggam parang panjang. Dibelakangnya diikuti beberapa orang pakcik yang sedang makan di gerai Long Gayah. Apalagi, tiga lelaki berbahasa pelik itu membuka langkah seribu meninggalkan emak terjelopok ditanah. Emak menangis teresak-esak. Merintih dalam bahasa yang adik tak faham. Adik menendang-nendang angin melepaskan geram pada lelaki yang menyebabkan emak bertukar bahasa itu. Hampir sejam emak mengumpul kudrat untuk pulang ke rumah.


Adik tanya emak siapa lelaki berbahasa pelik itu. Tapi emak tak jawab. Long Gayah tanya, emak jawab pula. Emak kata mereka mahu emak balik ke pangkuan keluarga dan amalan asal nenek moyang emak. Mereka mahu emak meninggalkan cahaya Allah. Emak bertekad tidak akan meninggalkn agama Allah. Tidak akan meninggalkan cahaya Allah yang sentiasa menyinari hidup emak. “Kalau ada ayah, mesti ayah lindungi kita kan mak..” Adik merungut lagi. “Tak apalah adik, Allah ada, Allah akan lindungi kita. Allah lagi kuat dari ayah,” adik mengangguk lemah.


Emak merangkul adik dengan penuh kasih sayang.


“Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih adik. Biarlah hidup kita miskin, asalkan ibadah kita kaya dan biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasih dan sayangkan kita.” Adik terlelap dipangkuan emak.


*************************


“Adik.. bangun”, adik terkejut apabila emak menepuk-nepuk tubuh adik. Kenapa mak kejut adik? Adik tak dengar pun azan subuh. Yang adik dengar hanya bunyi pintu kayu rumahnya yang diketuk bertalu-talu. Bagai nak runtuh. Emak mencium adik berkali-kali, kelam kabut emak menolak adik masuk ke bawah katil. Berkali-kali adik tanya kenapa, tapi emak tidak menjawab. Emak sempat berpesan kepada adik supaya tidak keluar selagi emak tidak memanggil. Adik mengangguk. Selepas itu, adik tidak nampak apa yang berlaku. Yang adik dengar hanyalah suara lelaki yang bercampur baur dengan tangisan emak. Sekali lagi mereka berbicara dalam bahasa yang adik tidak faham. Yang adik dengar hanyalah suara emak yang menyebut kalimah Allah. Itu sahaja yang adik faham. “Allah... Allah… Allah…” Emak terus menyebut kalimah itu biar pun suara lelaki yang berbahasa pelik itu menjerit menengking kepada emak. Emak terus menyebut kalimah suci itu tanpa rasa gentar. Adik menggigil di bawah katil. Adik nak keluar, nak tengok apa yang berlaku pada emak. Nak tolong mak. Adik kan lelaki! Tapi adik ingat pesan emak. Adik perlu patuh pada mak, kalau tak nanti Allah marah.


“Allahuakbarrr! !!!!!!!!!!”    


Suara jeritan emak memecah suasana. Adik menggigil lagi. Adik cuba menggamati apa yang berlaku. “Allah... Allah… Allah.” Kalimah suci itu kedengaran semakin perlahan. Lama kelamaan adik tidak lagi mendengar kalimah itu. Suara emak telah terhenti. Begitu juga suara lelaki yang berbahasa pelik tidak lagi kedengaran. Kenapa emak diam? Adik terus menuggu emak memanggil adik keluar. Menunggu dan terus menunggu. Sehinggalah laungan azan subuh kedengaran.


*************************


Adik serba salah. Tapi adik perlu keluar untuk solat subuh supaya Allah sayang adik. Mahu tidak mahu, adik merangkak keluar. Ketika adik meraba-raba, tangan adik tersentuh cecair. Adik diam. Seingat adik, adik tak tumpahkan air semalam. Adik tersengih. Mungkin adik kencing malam. Habislah emak marah adik. Adik merangkak berhati-hati. Tatkala adik mengangkat kepala. Adik kaget lagi. Didepannya, tubuh emak kaku dengan berlumuran darah dengan pisau panjang yang terpacak didadanya. Namun al-Quran di tangan emak, tetap erat digenggamannya. Dunia adik terasa berpusing. Gelap. Masa terhenti.


“Emakkkkkkk!!!!!! !!!!!!” Laungan adik memecah keheningan subuh.


Selepas ini tidak ada lagi emak yang akan wudhukkan adik. Tak ada lagi emak yang akan membentangkan sejadah untuk adik. Tak ada lagi emak tempat adik mengadu, dan tak ada lagi emak yang satu-satunya manusia dalam hidup adik. Adik memandang sayu pusara emak. Melangkah longlai meninggalkan harum seroja yang harumnya seharum kasih emak pada adik.


Terngiyang ditelinga adik akan kata-kata mak, “Adik, biarlah kulit kita hitam, asalkan hati kita putih adik. Biarlah hidup kita miskin, asalkan ibadah kita kaya dan biarlah ayah tak sayangkan kita, asalkan Allah sentiasa kasih dan sayangkan kita…”



p/s: Moga kisah diatas sedikit sebanyak mencuit hati kita untuk bersungguh-sungguh dalam mempertahankan deen Allah. Moga Allah kasih dengan kita semua.


~Permata yang Dicari~
4 OKTOBER 2011
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang-

10 comments:

  1. Terima kasih utk cerpen ini..sungguh ia mampu memberi keyakinan terutama bagi hati yg tdk tahu bersyukur..

    ReplyDelete
  2. > hisyam

    Moga dapat banyak manfaat dalam cerpen diatas..
    Ya, benar.. Manusia perlu selalu diingatkan supaya sentiasa bersyukur kepada-Nya.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  3. Berlinangan air mata membaca dan menatapnya diringi soundtrack mendayu-dayu

    BH

    ReplyDelete
  4. > brohamzah

    Apabila dihayatinya sahaja dapat melunakkan hati...

    'Si Emak' lebih sanggup dimarah dan dibunuh kerana mahu mempertahankan Islam dan keimanan yang telah terpatri dalam hatinya.. Kita bagaimana pula?

    Jazakallah abang Ali kerana sudi kesini..
    Moga blog ini blh manfaat kepada siapa sahaja yang singgah disini..
    Wallahu`alam.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  5. Sangat menarik dan terkesan, mmg minat tulis cerita ke dik? Jemput baca cerpen kt blog akak ye. Salam ukhuwwah...

    http://nuribtisam-nimas.blogspot.com/2011/09/cerpen-kerana-itu-takdirnya-bhg-1.html

    tp ni yg bhgn 1, baca hgga bhgn 3 ye =)

    ReplyDelete
  6. > Izzah Ibtisam

    Alhamdulillah, akak.. Allah beri sedekit kelebihan untuk saya menulis..

    Minat tu sejak kecik lagi. ^_^
    Salam ukhwah fillah aidhon..

    InsyaAllah, nnt saya akan baca cerpen di blog akak.. =)

    Jemput lagi ke blog saya yang sederhana ini ya.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  7. salam 'alaik.

    Terima kasih atas perkongsian yang menarik ini. Sangat tersentuh.
    Teruskan menulis ye!!!

    ReplyDelete
  8. > Al-Mu`allim

    Wa`alaikumsalam wbt..

    Sama2, Alhamdulillah.. ambillah apa2 saja yang baik disini..

    Wallahu`alam..

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  9. assalamualaikum w.b.t,
    kisah ini memang mencuit hatiku. begitu sedih dan byk pengajaran y boleh d ambil.. keep it u p, muslimah..!!!!

    ReplyDelete
  10. > atheer

    Wa`alaikumsalam wbt..

    Terima kasih, moga dapat manfaat apabila datang datang ke sini..

    Ya, banyak pengajaran dalam kisah ini.. moga mampu melembutkan hati kita semua.. Wallahu`alam..


    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete