Friday, August 5, 2011

::.Bersahurlah Walaupun Seteguk Air.::

~marilah kita mengimarahkan ramadhan ini dengan bersahur~            

Malam ini agak sejuk udaranya. Langit yang hanya bertemankan bintang tanpa kehadiran bulan membuatkan suasana tenang sahaja. Terasa rindu sangat-sangat untuk melihat bulan penuh lagi. Memandang langit, bintang dan bulan di malam hari menjadi kegemaran saya setiap hari. Terasa begitu tenang sekali dan betapa kerdilnya diri ini. Subhanallah, hebatnya Allah menciptakan semua ini. Semuanya dalam rangka untuk hampir pada-Nya.


Sudah seminggu, blog ini tidak terusik. Terasa usang pula. Bukan tidak mahu hadirkan post yang baru. Cuma tidak berkesempatan sahaja. Hari-hari sibuk. Maafkan saya.  Alhamdulillah, hari ini jari-jemari ini mampu mencoretkan sesuatu buat semua. Apa yang saya kongsikan ini, tidaklah sehebat mana pun, tetapi harapnya ada juga manfaat buat semua.


*******************

Amalan bangun sahur ini membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli kitab). Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.”


Bila diceritakan pasal sahur ni, membuatkan saya teringat di sekolah saya dahulu (MATRI). Masa hari pertama hendak berpuasa, bukan main ramai lagi orang turun untuk bersahur di dewan makan. Putera puteri sama sahaja.


Tetapi, lama kelamaan makin berkurang pula. Manalah perginya. Makanan yang disediakan tidak sedapkah? Bukan makanan tu tak sedap, tapi ramainya malas nak bangun. Ruginya. Bukankah dalam sahur itu ada keberkatan? Jom bermuhasabah kembali. 


*******************

Sahur adalah satu rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah kepada kita. Anjuran bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Nabi yang membawa maksud: “Makanlah sahur, sekalipun seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Hadis tadi menunjukkan kepentingan bersahur kepada orang-orang yang berpuasa walaupun hanya makan atau minum sedikit sahaja. 


Selain disunatkan bersahur, kita juga disunatkan untuk melewatkan waktu bersahur kerana amalan itu dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam keadaan kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.” Melewatkan sahur bermaksud, bersahur ketika waktu menghampiri Subuh dan bukan ketika subuh atau selepas subuh ya. Jangan salah faham. ^^


Sayangnya Allah kepada kitakan? Jadi tidak ada alasanlah untuk kita tidak bangun bersahur bukan? ^^


p/s: Ayuh imarahkanlah Ramadhan kita dengan bangun bersahur walaupun hanya seteguk air. Moga Allah mudahkan kita semua untuk bangun bersahur.  

-Permata Yang Dicari-
6 OGOS 2011
Kota Bharu, Kelantan

2 comments:

  1. Assalamualaikum..
    alhmduluillah..bgos coretan kali ini..
    moga hati2 yg menbaca lebih rsa nk bersahur..^_^

    ReplyDelete
  2. > Srikandi Permata

    Wa`alaikumsalam wbt.

    Mudah2an begitulah.. ^^
    Jazakillah nabilah kerana sudi meninggalkan jejak di sini.
    Dah lama kotak komentar ni usang tanpa peninggalan jejak yang membina..

    Jemput datang lagi.. ^_^

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete