Tuesday, November 29, 2011

::.Kisah Tauladan-Uwais Al-Qarni.::

~Berjihad melawan nafsu~ 


بسم الله الرحمن الرحيم 
IN THE NAME OF ALLAH
THE MOST GRACIOUS THE MOST MERCIFUL 
                                                                                              

Assalamualaikum wbt, Alhamdulillah segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat berkongsi sesuatu dengan semua yang selalu berkunjung ke blog saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua.


Untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi satu sirah di zaman tabiin yang mungkin pernah dan tidak pernah didengar oleh orang lain. Kisah ini tentang seorang hamba Allah yang bernama Uwais al-Qarni. Saya kongsikan kisah ini khas untuk lima orang sahibah seperjuangan saya. Moga sirah ini juga berguna untuk anda yang rajin singgah di blog saya. Moga Allah kasih pada kalian semua. ^^ Jom kita menghayatinya.  


*********************

Nabi berpesan kepada Umar dan Ali :

“Akan lahir di kalangan Tabiin seorang insan yang doanya sangat makbul. Namanya Uwais al-Qarni dan dia akan lahir di zaman kamu. ”

Kita telah mengenali siapa dia Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali iaitu orang-orang yang telah disenaraikan sebagai "al-Mubasyirun bil Jannah iaitu mereka sudah dijamin masuk syurga. Nabi seterusnya berkata kepada Umar dan Ali :

“Di zaman kamu nanti akan lahir seorang insan yang doanya sangat makbul. Kamu berdua pergilah cari dia. Dia akan datang dari arah Yaman, dia dibesarkan di Yaman. Dia akan muncul di zaman kamu, carilah dia. Kalau berjumpa dengan dia minta tolong dia berdoa untuk kamu berdua.”

Umar dan Ali bertanya kepada Nabi s.a.w. soalan yang sama iaitu :

“Apakah yang patut saya minta daripada Uwais al-Qarni, Ya Rasulullah?”

Nabi menjawab :                                                                   

“Kamu minta kepadanya supaya dia berdoa kepada Allah agar Allah ampunkan dosa-dosa kalian.”

Banyak peristiwa sahabat yang berjumpa dengan Nabi s.a.w. , minta sesuatu yang baik kepada mereka, Nabi s.a.w. menjawab :

“Pohonlah al-Maghfirah daripada Allah swt.”                  

Maka topik al-Maghfirah (keampunan) ini menjadi topik yang begitu dicari, yang begitu relevan, hatta kepada orang yang telah disenaraikan sebagai ahli syurga. Kalau secara logiknya, ahli syurga seolah tidak perlu kepada pengampunan dosa daripada Allah s.w.t. kerana mereka sudah dijamin masuk syurga, namun tidak, Nabi s.a.w. masih menekankan supaya meminta Allah untuk mengampunkan dosa.

Memang benarlah firasat seorang Nabi, Uwais al-Qarni telah muncul di zaman Sayyidina Umar dan Sayyidina Ali. Mereka memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari arah Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu mereka dengan Uwais al-Qarni. Dengan pandangan mata kasar, tidak mungkin dia orang yang Nabi s.a.w. maksudkan. Kerana orang itu pada pandangan insan-insan biasa atau orang-orang yang datang bersama dengannya bersama kabilah menganggapkan dia seorang yang kurang berakal.
                                                                                   

*********************

Siapakah Uwais Al-Qarni?

Asalnya berpenyakit sopak, badannya putih, putih penyakit yang tidak digemari. Walaupun dia seorang berpenyakit sopak tetapi dia seorang yang soleh, terlalu mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Dia telah begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa dia meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Dia sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaga dia sampai dia dewasa.

Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais bahawa dia ingin sangat untuk pergi mengerjakan haji. Dia menyuruh Uwais supaya mengikhtiarkan dan mengusahakan agar dia dapat dibawa ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang untuk pergi haji dari Yaman ke Mekah mereka menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya “ Haudat ”. Haudat ini seperti rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi panas matahari dan hujan, selesa dan perbelanjaannya mahal. Uwais tidak mampu untuk menyediakan yang demikian, unta pun dia tidak ada, nak sewa pun tidak mampu.

Ibu Uwais semakin uzur hari demi hari dan berkata kepada anaknya pada suatu hari :
“Anakku, mungkin ibu dah tak lama lagi akan bersama dengan kamu, ikhtiarkanlah agar ibu dapat mengerjakan haji.”


Uwais mendapat suatu ilham. Dia membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Dia membuat sebuah rumah kecil (pondok) di atas sebuah “Tilal” iaitu sebuah tanah tinggi (rumah untuk lembu itu di atas bukit). Apa yang dia lakukan, pada petang hari dia dukung anak lembu untuk naik ke atas “Tilal”. Pagi esoknya dia dukung lembu itu turun dari “Tilal” untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia beri lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang kata dirinya gila.

Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang bawa naik, pagi bawa turun bukit. Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas enam bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.


*********************

Selepas lapan bulan, telah sampai musim haji, rupa-rupanya perbuatannya itu adalah satu persediaan untuk dia membawa ibunya mengerjakan haji. Dia telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekkah dengan kedua tangannya. Di belakangnya dia meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang berat sekitar 50kg. Dia membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Dan dia juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.

Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya :
“ Uwais, apa yang kamu doa sepanjang kamu berada di Mekah? ”


Uwais menjawab :
“ Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.


Ibunya bertanya lagi :
“ Bagaimana pula dengan dosa kamu? ”


Uwais menjawab :
“ Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga, cukuplah ibu redha dengan saya maka saya juga masuk syurga. “


Ibunya berkata lagi :
“Ibu nak supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini."

Uwais berkata :
“ Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala. “


Ibunya menambah :
“ Kalau nak masuk syurga, kena taat kepada perintah ibu, ibu perintahkan engkau berdoa. ”


Akhirnya Uwais tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Uwais berdoa seperti yang ibunya minta supaya Allah sembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. Namun kerana dia takut masih ada dosa pada dirinya dia berdoa :
“ Tolonglah Ya Allah! Kerana ibuku, aku berdoa hilangkan yang putih pada badanku ini melainkan tinggalkan sedikit. ”

Allah s.w.t. menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais kerana permintaannya, kerana ini (sopak) adalah anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Nabi s.a.w. kepada Umar dan Ali.

"Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu dialah Uwais al-Qarni."

Tidak lama kemudian, ibunya telah meninggal dunia. Dia telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu dia telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Sayyidina Umar dan Sayidina Ali dapat berjumpa dengan Uwais dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. , mereka meminta supaya Uwais berdoa agar Allah swt. mengampunkan semua dosa-dosa mereka. Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Umar dan Ali, dia berkata :

“ Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Nabi kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku."


Maka Uwais pun telah mendoakan untuk mereka berdua.


*********************


Subnallah, Marilah sama-sama kita mendalami kisah Uwais al-Qarni ini untuk diambil segala ibrah yang ada didalamnya. Lagi banyak nikmat yang Allah berikan lagi tunduk dan patuh kepada-Nya. Jalan menuju ketaatan itu penuh berliku dan cabarannya, namun siapa yang sabar Allah akan sentiasa membantu. Wallahu`alam.


Setakat ini dahulu perkongsian sirah buat semua. Ambillah apa yang baik dari blog ini. Yang lemah dan kekurangan itu dari saya, hakikatnya kedua-duanya datang daripada Allah. Sekian.  


  ~Permata yang Dicari~
 29 November 2011  
-Kota Bharu, Kelantan-

Wednesday, November 23, 2011

::.Bicara Sekeping Hati.::


 ~Bersihkan hati~


“Hidup yang melalaikan bukanlah satu kehendak. Jiwa yang kontang tanpa basahan iman bukan yang dihajatkan. Ya Allah, pimpinlah hati ini ke jalan-Mu. Sungguh ku tidak mampu berdiri sendiri tanpa bantuan–Mu. Betapa lemahnya hati tanpa siraman iman.”  
                                                  

…. Kusingkapi sejarah  hidup ini, daripada setitis air mani yang hina – dipelihara Ar-Rahim – dalam kandungan insan berjasa (si ibu yang amatku sayangi). Itulah hakikat kejadianku, asalku begitu hina!!!


…. Kulihat tapak kakiku, hanya sebesar dua jari. Terlalu kecil dan terlalu lemah untukku bergerak sendiri. Aku hanya mampu tersenyum riang melihat dan merasa diri ini disayangi.


….. Semalam ku tersenyum bangga!! “Ahhh…. Istimewanya diri ini, tidak layaklah untuk aku menurut arahan sesiapapun, kerana aku langsung tidak layak untuk berada di bawah!!”


…... Tiba-tiba ada satu suara dari hati ini yang sergah, “Siapa dirimuيا ايها الناس  ??! sehingga begitu TAKBUR, dikau hanya dari setitis air yang hina!!! Adakah si Dia menerima amalanmu? Kau fikirlah wahai manusia.” Tersentak diri ini dengan sergahan itu, “kuyakini tidak, kerana kutelah ingkar pada Penciptaku. Ya Rabb, ampunkan aku.” Air mata mengalir dengan deras tanpa halangan. Ahhh!! 
 
  
….. Seandainya hari ini adalah hari terakhir buatku, hati yang bagaimana aku hendak persembahkan dihadapan Allah? Lidahku kelu. Hatiku membisu. Kerasnya memecah kerikil.

يا الله!!!!  
Pimpinlah hati ini ke jalan-Mu.


********************   


….. Kubangun dan terus bangun. Lembaran kasih-Nya kubelek. Surah ar-Nur ayat 52 menjadi pilihan untukku tatap. “Barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya, mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” 


….. Kucuba memujuk hati ini. Menangisi diri hina ini, tapi ku terjatuh. Kekerasan menghalang, hati terus terdetik, “wahai manusia, lihatlah diriku! BODOH dan BUTA jika dikau tidak terlihat kelebihanku!”


….. Ahhh!!! Pergilah kau dari hidup ku. Ya Allah, jauhkan aku daripada bisikan syaitan yang direjam ini. Kumohon Ya Allah.     Aku juga cuba untuk menangkis bisikan liar itu. Namun kugagal. Dimana? Dimana kelembutan hatiku yang selama ini kukecapi??!


….. Tidak ada sesuatu yang boleh merosakan hati kecuali hati yang dinodai dosa. Sekerap manakah aku memberi perhatian pada hati ini? Apabila hati mula membatu maka mata kering daripada titisan air mata.

“Di sini” hatiku menjawab. “Usahalah mencapaiku!”
                                          رب العلمين!! !!
                       BANTULLAH AKU…  


….. Wahai hati, tunduklah pada Penciptamu!! Celakalah daku jika aku diberikannya dari sebelah kiri, kugagahi diri ini untuk menjerit.. tapi kelu. Hatiku keras, mindaku mati. “PEMBANTUKU??” Ya, si Dia. “Mengapa aku perlu dibantu?” kerna dikau lemah, kerdil dan amat hina!!” Kutunduk memandang diri ini.


…. Ya Allah, bantulah aku untuk mengubah sahara yang kontang menjadi sebuah taman bunga yang subur menghijau dan mekar mewangi. Ya Allah, kumengharap agar Engkau memandangku dengan padangan kasih sayang dan jangan biarkan aku terkapai-kapai dalam menongkah arus kehidupan yang kian payah.  


********************    


Akhir sekali, saya mohon maaf jika perkongsian saya kali ini kurang menarik. Hanya ini yang mampu saya buat kerana ini merupakan luahan hati saya. Saya sedang berusaha untuk tingkatkan diri lagi untuk menjadi lebih baik setelah sekian lama saya menyepi mencari sekeping hati yang Allah mahukan.   
                                                        

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit atau berbangga diri, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)   


-Permata Yang Dicari-
23 November 2011
-Kota Bharu, Kelantan- 

Friday, November 4, 2011

::.Sifat Mahmudah.::


-"Ya Allah, abadikan hati ini dengan sifat mahmudah (terpuji)"-


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… Sebelum madah diteruskan, ucapan Assalamualaikum ditujukan buat para pembaca blog permata yang dicari sekalian yang dikasihi fillah. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW rasul Dakwah dan Tarbiyah.  Dengan rahmat kasih sayang-Nya, saya dapat lagi berkongsi sesuatu dengan semua. Saya terasa sudah lama tidak menulis bagi mengetuk hati sendiri. Mudah-mudahan perkongsian kali ini bermanfaat buat semua yang sudi ke sini.


Para pembaca yang dikasihi sekalian,


Untuk kali, saya akan kongsikan satu tajuk iaitu “sifat-sifat mahmudah(terpuji)”. Seperti yang kita tahu sifat yang terpuji ini mestilah yang boleh mendatangkan pahala apabila kita melakukannya. Benarkan? Ya Allah, abadikan hati ini dengan sifat mahmudah (terpuji). Imam Ghazali menggariskan sifat mahmudah yakni terpuji kepada beberapa bahagian:

1.      Taubat

2.      Takut akan Allah SWT

3.      Mahabbah

4.      Zuhud

5.      Sabar

6.      Syukur

7.      Ikhlas dan benar

8.      Tawakal

9.      Redha dengan qada’ Allah


10.  Mengingati mati


********************

 Saya akan huraikan sedikit satu persatu untuk 10 sifat diatas. Semoga bermanfaat, insyaAllah.

1.        Taubat: Keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa besar, melalui jalan ilmu, penyesalan dan niat untuk tidak mengulanginya.

2.      Takut akan Allah SWT: Perasaan takut terhadap Allah akan membuatkan seseorang itu melipatgandakan amal soleh sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya. Untuk mewujudkan perasaan takut kepada Allah, kita perlu mengenal Allah dengan lebih dekat.


3.      Mahabbah: Mengasihi Allah dan Rasul-Nya melebihi segala yang lain akan melahirkan rasa cinta kepada agama dan rela berjuang kerana mempertahankan agama.
  

4.      Zuhud: Kehidupan insan mukmin yang mengekang jiwa daripada segala rupa kesenangan dunia yang berlebihan dan meninggalkan perkara yang tidak baik. Keperluan lebih diutamakan daripada kehendak.
  

5.      Sabar: Perasaan memujuk jiwa dengan keimanan. Ia merangkumi sabar atas ketaatan dan juga sabar dalam menjauhi maksiat.


6.      Syukur: Bersyukur kepada Allah atas apa yang dikurniakan, biarpun pada pandangan mata manusia ianya terlalu kecil atau sedikit seperti nikmat yang sering dilupai iaitu nikmat kesihatan, rezeki, kemudahan hidup, kurniaan pancaindera dan sebagainya.


7.      Ikhlas dan benar: Untuk mencapai tingkatan ikhlas ini, amat dituntut untuk mematahkan dorongan hawa nafsu dan kasih akan dunia. " Sehebat apapun suatu amal bila tidak ikhlas, tidak ada apa-apanya dihadapan Allah SWT, sedang amal yang sederhana saja akan menjadi luar biasa dihadapan Allah SWT bila disertai dengan ikhlas. "   


8.      Tawakal: Tawakal ialah meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT. Disamping tawakal itu, perlu ada usaha yang tinggi. Barulah akan membuahkan natijah yang memuaskan.


9.      Redha dengan qada’ Allah: Segala ketentuan Allah sama ada baik atau buruk diterima dengan syukur atau sabar oleh insan mukmin.


10.   Mengingati mati: Manusia yang bijak sering mengati mati dan sentiasa bersedia menghadapinya. Mereka itulah orang yang bijaksana. Klik sini.


  Semoga apa yang saya cuba sampaikan ini berbekas dihati saya dan kalian, insyaAllah, amin.


********************

Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..

p/s: "Ajaibnya orang beriman, apabila ditimpa musibah, mereka menyatakan itulah cinta Allah dan mereka bersabar. Apabila dilimpahi kesenangan, mereka berasakan itulah rahmat Allah dan mereka bersyukur."   


-Permata Yang Dicari-
4 November 2011  
[[Baling, Kedah]]