Saturday, May 28, 2011

::.Satu Perjuangan.::

~semoga kita semua sentiasa berada di atas jalan-Nya~


Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… sebelum madah diteruskan, ucapan Assalamualaikum ditujukan buat pembaca-pembaca blog saya sekalian yang dikasihi fillah. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW rasul dakwah dan tarbiyah.  Dengan rahmat kasih sayang-Nya, saya dapat lagi berkongsi sesuatu dengan semua. Sebelum itu saya ingin memohon maaf kerana sudah hampir seminggu saya tidak update blog. Maafkan saya.

Sebenarnya kalau diikutkan saya tidak ada idea untuk menulis, tapi dengan izin Allah hujung minggu ini 27-29 Mei saya terlibat dalam mengikuti Haluan Siswa zon utara(HaSiZu) yang bertempat di KTD. Bila ada saja program, saya akan terimbau dengan kenangan lalu bersama sahabat dan sahibah dalam melaksanakan program semasa tingkatan 3. Semoga semua generasi 15 berada dalam rahmat-Nya.

Balik kepada program tadi (HaSiZu), 28 Mei (sabtu) kami pergi rehlah di Pantai Perkasa, Sungai Dua, Bachok. Memang seronok sangat-sangat. Lautnya memang terbentang luas, airnya sangat jernih dan masih boleh nampak kaki walaupun saya masuk dalam air tu sehingga paras dada. Subhanallah, hebatnya Allah. Terimbau pula kenangan masa Kem Jati diri di Sri Pantai, Bachok yang tidak jauh dari tempat itu.

Sebenarnya satu nikmat bila kita memandang laut, kita akan rasa kerdilnya diri ini dan hebatnya Allah. Saya terkesan dengan satu kata-kata melalui penyampaian pak cik Mahmod masa di pantai tadi. “Apa yang ada di atas dunia ini adalah ayat-ayat Allah, bukan sekadar al-Quran bahkan pokok, laut, tanah dan semuanya adalah ayat-ayat Allah. Jadi, tidak ada alasan untuk kita lupa pada Allah malah kita perlu taat pada Allah.” Seperti firman Allah dalam surah Ali-`Imran ayat 32:
Katakanlah (Muhammad), “Taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”

Allah telah beri banyak nikmat kepada kita sama ada kita sedar atau tidak. Bersyukurlah kita kepada-Nya. Jadi apa yang saya hendak tekankan di sini. Kita hendaklah bersatu dalam setiap hal. Seperti ombak pada laut yang sentiasa setia. Begitu indah bukan? Ingatlah, jangan lupa mengajak orang lain sama dalam kebaikkan yang hendak kita lakukan. Teruskan perjuangan kita sebagai khalifah Allah di muka bumi ini yang menyeru kepada kebaikkan, insyaAllah.

Saya rasa setakat ini dahulu perkongsian saya yang tidaklah seberapa ini untuk kali ini. Semoga yang sedikit ini bermanfaat buat semua. . Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..=)

 P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Saya amat merindui kenangan lalu yang membawa diri saya kepada-Nya. Moga semua orang beroleh kenangan yang bermakna dalam hidup. ^^

-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
28 MEI 2011
Kota Bharu, Kelantan

Friday, May 20, 2011

::.Perihal Hati Yang Hidup.::

~SEMOGA KITA BEROLEH HATI YANG HIDUP~


Dalam hati manusia terdapat kekuatan,
Tidak terurai melainkan menerima kehendak Allah.


Dalam hati tedapat keganasan,
Tidak hilang melainkan berjinak dengan Allah.


Dalam hati terdapat kesedihan,
Tidak hilang melainkan seronok dengan Allah dan baik perhubungan dengan-Nya.


Dalam hati terdapat kegelisahan,
Tidak tenang dan damai melainkan berjumpa dengan-Nya dan berlari menuju-Nya.


Dalam hati ada api penyesalan,
Tidak padam melainkan redha dengan suruhan-Nya, larangan-Nya dan sentiasa sabar sehingga menemui-Nya.


Dalam hati terdapat hajat,
Tidak terbendung melainkan dengan kecintaan kepada-Nya,
Sentiasa bermohon kepada-Nya,
Berzikir kepada-Nya.


Dan keikhlasan kepada-Nya perlu,
Andai dunia dan seisinya diberi,
Tidak akan dapat membendung hajat hati si insan ini.

Petikan dari Madarij As-Salikin
-Ibn Qayyim-
 

~PERMATA YANG DICARI~ 
21 MEI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-  

Monday, May 16, 2011

Air mataku…

     -Ya Allah, jadikan air mata ini mampu memadamkan api neraka yang panas- 


Ya Allah dengarlah doaku ini. Aku hambamu yang sangat lemah. Aku memerlukan kekuatan untuk terus bangkit dari kelemahan ini.


….. Kusingkapi sejarah hidup ini, daripada setitis air mani yang hina – dipelihara Ar-Rahim – dalam kandungan insan berjasa (si ibu yang amatku sayangi). Itulah hakikat kejadianku, asalku begitu hina!!!


….. Kulihat tapak kakiku, hanya sebesar dua jari. Terlalu kecil dan terlalu lemah untukku bergerak sendiri. Aku hanya mampu tersenyum riang melihat dan merasa diri ini disayangi.


….. Semalam ku tersenyum bangga!! “Ahhh…. Istimewanya diri ini, tidak layaklah untuk aku menurut arahan sesiapapun, kerana aku langsung tidak layak untuk berada di bawah!!”


…... Tiba-tiba ada satu suara dari hati ini yang sergah, “Siapa dirimuيا ايها الناس   ??!   sehingga begitu TAKBUR, dikau hanya dari setitis air yang hina!!! Adakah si Dia menerima amalanmu? Kau fikirlah wahai manusia.” Tersentak diri ini dengan sergahan itu, “kuyakini tidak, kerana kutelah ingkar pada Penciptaku. Ya Rabb, ampunkan aku.” Air mata mengalir deras bak air di sungai yang mengalir tanpa halangan. Ahhh!!


….. Kubangun dan terus bangun untuk berubah. Lembaran kasih-Nya kubelek ditengah malam dimana orang sedang tidur nyenyak ketika itu. Cubaku memujuk hati ini. “Dikau hina! Hanya setitis air mani yang hina. Bagaimana dikau BEGITU ANGKUH?!!”… Namun tiada sebarang jawapan. Hatiku keras membisu, kerasnya memecahkan kerikil.


….. Aku cuba untuk bangun lagi, menangisi diri hina ini, tapi ku terjatuh. Kekerasan menghalang, hati terus terdetik, “wahai manusia, lihatlah diriku! BODOH dan BUTA jika dikau tidak terlihat kelebihanku!”


….. Ahhhhhh!!!! Tidak!! Cuba kuhindari bisikan itu, aku juga cuba untuk menangkis bisikan liar itu. Namun kugagal. Dimana? Dimana air mataku??! Dimana kelembutan hatiku yang selama ini kukecapi??

“Di sini” hatiku menjawab. “Usahalah mencapaiku!”
رب العلمين!!  
BANTULLAH AKU…


Wahai hati…pendorongku, penulisku, penulis buku catatanku!! Celakalah daku jika aku diberikannya dari sebelah kiri, kugagahi diri ini untuk menjerit.. tapi kelu. Hatiku keras, mindaku mati. “PEMBANTUKU??” Ya, si Dia. “Mengapa aku perlu dibantu?” kerna dikau lemah, kerdil dan amat hina!!” Kutunduk memandang diri ini.


Baruku sedar, “alangkah celakanya diri ini. Tidakku mengerti apakah ini??” Tiba-tiba terasa gelap, sakit, pedih yang amat.. “apakah yang melanda diriku ini?? “


********************    


Kulihat wajah hodoh, bengis penuh kebencian yang amat… Menghampiriku. Jantung berdegup kencang…
Seperti membawa satu perkhabaran buruk, diriku dijemput dengan penuh kenistaan menghadap illahi.
“Tidak!! Berilah daku sehari, nescaya akan kutebus segala dosaku!! “Namun, tiada berguna lagi. Seluruh langit telah membusuk kerana rohku yang hina..

Ya Allah tolonglah aku..!!


********************   


Aku hanya termenung di jendela, memerhatikan bulan yang hampir penuh, memandangkan semalam 14 Jamadil Akhir. Sangat cerah. Aku suka melihat bulan, suka yang amat sangat. Hatiku terasa tenang. Akhirnya mengalir lagi air mata ini, terasa sejuk bak salju.

Malam itu aku dapat melelapkan mata dengan hati yang berbunga-bunga. Aku yakin Allah telah memujukku.. Nikmatnya!! Aku perlu banyak bermuhasabah diri selepas ini, kalau tidak, beginilah jadinya.


********************


Akhir sekali, saya mohon maaf jika perkongsian saya kali ini kurang menarik. Hanya ini yang mampu saya buat kerana ini merupakan luahan hati saya. Saya sedang berusaha untuk tingkatkan diri lagi untuk menjadi lebih baik.   

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit atau berbangga diri, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)  

Luahan hati,
~permata yang dicari~
17 MEI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Wednesday, May 11, 2011

PARA MALAIKAT BERMOHON UNTUK KESELAMATAN MUHAMMAD BIN HIMYAR

                                                                                                                     
 ~sentiasalah istiqamah dalam melakukan kebaikan~

Assalamualaikum wbt.
         Dengan nama Allah, untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi satu kisah yang mungkin tidak pernah didengar oleh orang lain. Kisah ini tentang seorang hamba Allah yang diberi nama Muhammad bin Himyar. Saya amat tertarik dengan kisah ini, semoga anda juga begitu.   
                                    
         Bermulalah kisah Muhammad bin Himyar yang merupakan seorang ahli ibadah. Dia seorang yang warak, selalu bangun beribadah dimalam hari, berpuasa, suka menolong dan berbuat baik sesama makhluk. Suatu hari Muhammad bin Himyar pergi berburu seorang diri seperti kebiasaannya. Semasa berada di tengah hutan, tiba-tiba dia dihalang oleh seekor ular yang nampak keletihan. Maka, bermulalah perbualan diantara mereka.

Ular: Hai Muhammad bin Himyar! Tolonglah aku, semoga Allah menolong engkau kembali.
Muhammad: Untuk apa engkau meminta tolong?
Ular: Aku sedang dikejar oleh musuhku.
Muhammad: Di mana musuhmu?
Ular: Dia sedang mengejar aku sekarang ini.
Muhammad: Engkau ini umat siapa?
Ular: Aku umat Muhammad SAW.

***************

         Muhammad bin Himyar yang suka menolong sesama makhluk itu sangat kasihan pada ular itu. Dia pun membuka serbannya untuk menyembunyikan ular itu.

Muhammad: Engkau masuklah kedalam serban ini.
Ular: Aku akan dapat dikesan oleh musuhku nanti.

         Lalu Muhammad bin Himyar membuka tali pinggangnya dan mempersilakan ular bersembunyi didalamnya. Tetapi ular tetap memberikan alasannya.

Ular: Aku masih dapat dikesan oleh musuhku nanti.
Muhammad: Kalau begitu, engkau bersembunyilah di dalam bajuku.
Ular: Aku akan dapat dikesan juga.

         Hairan juga Muhammad dibuatnya. Seekor ular yang meminta pertolongan tetapi setelah hendak ditolong, jadi cerewet dan banyak pula alas an yang dikemukakan.

Muhammad: Jadi apa yang aku boleh buat terhadapmu?
Ular: Jika engkau betul-betul mahu menolongku, sila buka mulutmu dan aku akan masuk kedalamnya.

          Muhammad bin Himyar sangat terkejut dengan permintaan ular itu. Dia terdiam seketika.

Ular: Apa lagi yang engkau fikirkan?
Muhammad: Aku khuatir engkau akan membunuhku.
Ular: Aku bersumpah, demi Allah. Aku tidak akan membunuhmu, Allah dan malaikat-Nya menjadi saksi.

***************

          Disebabkan ular  itu telah bersumpah dengan nama Allah, Muhammad bin Himyar tidak merasa ragu-ragu lagi dan terus membuka mulutnya untuk menyembunyikan ular itu. Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang lelaki dalam keadaan termengah-mengah sambil membawa pedang. Pemuda itu bertanya sesuatu kepada Muhammad bin Himyar.

Pemuda: Apakah engkau nampak musuhku?
Muhammad: Siapa musuhmu?
Pemuda: Ular.
Muhammad: Tidak.             

         Lelaki itu pun terus pergi. Muhammad terus beristighfar sebanyak seratus kali kerana menyatakan ‘tidak’ itu.
         Apabila musuh telah tiada, ular pun mengeluarkan kepalanya sambil melihat ke kanan dan ke kiri kemudian terus masuk semula ke dalam perut.

Muhammad: Sila keluar! Musuhmu telah pergi.
Ular: Hai Muhammad! Engkau boleh pilih yang mana satu yang engkau mahu. Samaada aku akan koyak hatimu atau aku tebuk-tebuk jantungmu ataupun akan ku biarkan tubuhmu tanpa nyawa. 
Muhammad: Subhanallah, mana sumpah dan janjimu? Mengapa begitu cepat engkau melupakannya.
Ular: Hai Muhammad, apakah telah engkau lupa permusuhanku dengan Adam, sehingga gara-gara aku, dia keluar dari syurga? Mengapa engkau berbuat baik kepada orang yang curang dan tidak mengenang budi?

***************              

       Kini Muhammad bin Himyar pun sedar bahawa ular yang meminta tolong itu sebenarnya adalah syaitan. Dia teringat bahawa jin dan syaitan itu memang suka menjelma menjadi anjing dan ular. Barulah dia sedar bahawa dirinya telah ditipu oleh syaitan yang hendak membunuhnya.
Muhammad hanya bertawakal kepada Alah kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Muhammad: Jika benar engkau hendak membunuhku, berilah aku kesempatan untuk mencari tempat kematianku.
Ular: Boleh.       

         Sambil mencari tempat, Muhammad berdoa kepada Allah: “Ya Allah yang maha halus tolonglah aku, berilah aku kurnia-Mu yang samar itu. Ya Latiff, aku mohon dengan kekuasaan-Mu yang meliputi Arasy sehingga Arasy pun tidak tahu dimana Engkau, elakkanlah aku dari kejahatan ular ini.”

***************

         Dipendekkan cerita, tidak lama selepas itu datang seorang lelaki yang baunya sangat harum dan pakaiannya sangat bersih telah memberikan sehelai daun hijau kepada Muhammad. Orang itu menyuruh Muhammad membuka mulut untuk memasukkan daun itu kedalam mulutnya.
Setelah mengunyah daun itu, tiba-tiba perutnya terasa sangat sakit dan ular itu keluar dari duburnya dalam keadaan menjadi sepotong-sepotong. Kini Muhammad telah bebas dari bahaya. Muhammad sempat memegang tangan orang itu dan bertanya sesuatu.

Muhammad: Siapa engkau sebenarnya? Allah telah menolongku dengan berantaraan engkau.
Hamba Allah: Apakah engkau tidak mengenalku?
Muhammad: Tidak kenal.
Hamba Allah: Wahai Muhammad bin Himyar, semasa engkau berdoa kapada Allah, gemuruhlah para Malaikat. Mereka mohon kepada Allah untuk keselamatanmu. Lalu Allah menyuruhku pergi ke dalam syurga dan mengambil daun hijau itu untuk diberikan kepadamu. Namaku Al-Ma’ruf dan tempatku di langit yang ke-4.

         Sebelum berpisah ia berpesan: “Hai Muhammad bin Himyar! Tetaplah engkau berbuat baik kerana berbuat baik itu dapat mengelakkan dari kejahatan dan kebinasaan, meskipun tidak dibalas oleh yang ditolong, Allah tetap tidak akan mensia-siakannya.”

p/s: Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan semua, semoga bermanfaat. Ambillah iktibar dari cerita diatas dan tetaplah kita dalam melakukan kebaikan(istiqamah). Wallahu`alam. ^_^

~permata yang dicari~
12 Mei 2011
-Pengkalan Chepa, Kelantan-

Friday, May 6, 2011

Mak, abah redhailah anakmu..

                                                                 
 
~JADILAH ANAK SOLEH DAN SOLEHAH YANG SENTIASA MENDOAKAN IBU BAPA~

Assalamualaikum ditujukan kepada semua pembaca blog ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberikan saya sedikit masa untuk tulis sesuatu kali ini. Untuk perkongsian kali ini saya tidak dapat melakarnya dengan panjang. Hari ini 6 Mei 2011. Saya terlalu sibuk pada hari ini kerana hari ini cuti terakhir saya. Hati ini ada bermacam perasaan, sedih, gembira, takut, rindu, gelisah dan semuanyalah.

Pagi tadi, saya cuba untuk menahan perasaan saya. Tapi tidak Berjaya. Akhirnya menitis juga air mata ini. Melihat wajah mak dan abah lagilah terasa macam tidak mahu pulang ke Kelantan lagi (tempat pengajian saya). Sepatutnya saya ada masa lagi seminggu lagi untuk duduk dirumah. Minggu depan 12 Mei baru bermula hari pendaftaran dan 15 Mei baru mula kuliah, tapi saya perlu pergi lebih awal untuk sumbangkan tenaga saya di KTD, adik-adik lepasan SPM 2010 akan masuk ke KTD pada 8 Mei ini.

Sebenarnya saya mula bercuti hari tu, 26 Februari 2011 sehingga 11 Mei ini. Lamakan? Saya banyak habiskan masa di rumah sahaja jadi suri rumah sepenuh masa. ^^. Memandangkan saya seorang sahaja anak perempuan mak dan abah saya, jadi semua kerja rumah sayalah yang kena buat ^_^.

Sepanjang duduk dirumah pasti ada banyak kesilapann saya terhadap mak dan abah. Lagilah terasa hiba sahaja hati ini. Mak, abah redhailah anakmu ini..

Saya tahu, jauh di sudut hati mak dan abah, mereka sentiasa risau akan saya. Kalau boleh saya hendak hati mak dan abah sentisa tenang. Anda pun pasti mempunyai hasrat seperti saya bukan? Jadi sama-samalah kita mendoakan ibu bapa kita. Ingat, sehari kita tidak mendoakan mereka, kita dikira anak derhaka. Jadi, doakanlah mereka.

Kalau ikutkan, banyak lagi saya nak kongsikan dengan semua. Tapi masa tidak mengizin, saya ada banyak lagi kerja tidak siap. Saya terpaksa berundur dulu. Malam ini saya akan bertolak ke Kelantan, daokan saya selamat sampai.

Akhir kata saya ingin memohon maaf jika perkongsian saya kali ini langsung tidak memuaskan dan tidak tersusun. Saya akan berkongsi sesuatu yang lebih tersusun di lain masa. Jangan lupa doakan ibu bapa anda setiap hari, “keredhaan Allah pada seorang anak terletak pada keredhaan ibu bapa”. Baiklah, Yang lemah semuanya dari saya dan yang baik-baik itu semuanya dari Allah.  Wallahu`alam… 

Sekian,
~FNSA92~
6 MEI 2011

Tuesday, May 3, 2011

Syaitan yang menyesatkan

                                                                     
    ~ya Allah peliharalah kami daripada bisikan syaitan yang direjam~    
          

          Sebelum madah diteruskan ucapan salam ditujukan buat para pembaca sekalian.
Assalamualaikum wbt.              

          Alhamdulillah, segala puji dan puja hanya dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin-Nya, jari ini masih laju menari di atas papan kekunci, menaip huruf demi huruf yang akhirnya menjadi bicara dari hati. Alhamdulillah!

Para pembaca yang dikasihi sekalian,

          Untuk kali, saya akan kongsikan satu tajuk iaitu “syaitan yang menyesatkan”. Seperti yng kita tahu syaitan ini dia telah berjanji kepada Allah yang dia akan mengganggu anak-anak Adam kecuali oang yang benar-benar beriman. Syaitan ini juga adalah musuh manusia yang nyata. Kalau tidak, masakan kita boleh melakukan dosa dan kesilapan, benarkan?

Allah ada berfirman dalam surah Fathir ayat 6, yang bermaksud;
“Sungguh syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia sebagai musuh, kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya agar mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala”.

Sabda Rasulullah SAW pula;
“Sesungguhnya syaitan itu meresap dalam diri anak Adam persis seperti mengalirnya darah dalam tubuh”.    

***************

BAGAIMANA SYAITAN MASUK KEDALAM DIRI MANUSIA?

Jalan yang dilalui oleh syaitan sangat banyak. ( Dalam kitab ihya’ juzuk 3 ada dijelaskan oleh imam Al-Ghazali)
1.       Marah
2.       Nafsu syahwat
3.       Tergesa-gesa
4.       Hasad dengki
5.       Kikir (kedekut)
6.       Takabbur
7.       Buruk sangka terhadap muslim yang lain

Jika diikutkan sebenarnya banyak lagi, tapi cukup dulu setakat ini untuk kita mengikis tujuh sifat diatas.

***************

Saya akan huraikan sedikit satu persatu untuk 7 sifat diatas. Semoga bermanfaat, insyaAllah.
1.        Marah: adalah satu punca yang menyebabkan seseorang itu menjadi sasaran serangan syaitan. Akal yang waras ini mestilah dijaga dengan baik.

Disini ada satu kisah tentang marah, ada seorang wali Allah bertanya kepada iblis:

Wali Allah: Cuba engkau terangkan bagaimana engkau menawan anak Adam?

Iblis: Aku menawannya ketika ia marah dan ketika ia bernafsu.

2.       Nafsu syahwat: merupakan satu pintu paling terdedah bagi syaitan mengelinap masuk kedalam diri seseorang. Berkait dengan kecenderungan terhadap makanan. Rasulullah SAW telah mengingatkan supaya jangan terlalu keterlaluan sehingga perut penuh dengan makanan. Nafsu syahwat ini terlalu luas untuk dirungkaikan, jadi selagimana kita tahu sesuatu itu salah, cepat-cepatlah kita tingggalkannya.

3.       Tergesa-gesa: sifat ini boleh menyebabkan kita terjebak dalam kesusahan. Sifat gelabah juga boleh menjadi pangkal tercetusnya fitnah dan tragedi dalam jemaah dan pergerakkan. Lakukanlah semua kerja kita itu dengan tenang dan sabar, insyaAllah ganjarannya besar lagi hebat.

4.       Hasad dengki: sifat ini juga boleh menyebabkan seseorang itu hilang segala-galanya. Ia mendorong manusia untuk melakukan apa sahaja dan mampu memudarkan kewarasan dan kebijaksanaan. Penyakit ini terlalu bahaya, jika tidak dirawat secepat mungkin, jadi al-Quran adalah penawarnya.

5.       Kikir (kedekut): antara peluang yang diambil oleh syaitan untuk menguasai anak Adam ialah melalui SIFAT KIKIR dan TAKUT JATUH MISKIN.  Kedua-dua sifat ini menghalang seseorang itu dari berkorban harta dan tenaga untuk berjuang di jalan Allah. Dalam surah al-Baqarah ayat 268,Allah berfirman; Syaitan menakut-menakutkanmu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat keji(kikir) sedangkan Allah menjanjikan keampunan dan kurnia-Nya kepadamu. Dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui”.  

6.       Takabbur (bangga diri): sifat yang merupakan penyakit inilah yang telah menggugurkan darjat iblis ketika Allah meminta iblis sujud pada Nabi Adam a.s. inilah dialog iblis dengan Allah: “aku(iblis) lebih baik daripadanya(Adam), Engkau(Allah) jadikan aku dari api sedangkan Adam itu engkau jadikan dari tanah”. Lihatlah, kerana sifat takabbur itu, Allah murka kepadanya.

7.       Buruk sangka terhadap muslim yang lain: ini juga laluan syaitan yang mencantas tali mahabbah dan silaturahim. Sebab itulah al-Quran melarang buruk sangka ini. Dalam surah al-Hujurat ayat 12 Allah berfirman: “ wahai orang-orang yang beriman, hindarilah daripada sifat banyak berprasangka, kerana sebahagian daripada berprasangka tu adalah dosa….”

Semoga apa yang saya cuba sampaikan ini berbekas dihati saya dan kalian, insyaAllah, amin.

***************    

BAGAIMANA PULA UNTUK MENUTUP LALUAN SYAITAN INI?

Dalam surah al-A’raf ayat 201:
“Sesungguhnya orang–orang yang bertakwa apabila mereka dibayangi berbuat dosa dari syaitan, maka mereka pun segera ingat kepada Allah dan ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya(muhasabah)”.
1.       Bertakwalah kepada Allah
2.       Berlindung diri dengan-Nya
3.       Selalu ingat Allah
4.       Muraqabahtullah (sentiasa rasa diperhatikan Allah)
5.       Sempurna ibadah dan banyakkan berdoa

Rasulullah SAW bersabda:
“ Apabila seseorang mengingati Allah, syaitan akan lumpuh dan berundur tetapi apabila ia lalai syaitan itu akan mengganggunya dengan was-was”.

***************  
Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua jika apa yang saya sampaikan ini tidak sampai ke hati anda dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..

P/s : Perkongsian ini adalah catatan saya semasa di tingkatan 2 dulu. Saya telah pun berkongsinya dengan sahabat-sahabat dan adik-adik di MATRI. Kini saya tinggalkan catatan saya disini untuk anda. Saya berharap anda pula yang menyampaikan apa yang saya kongsikan ini dengan orang lain pula agar pahala itu tidak terputus begitu sahaja.(“,)

Yang sangat berharap,
-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
3/5/2011