Wednesday, May 11, 2011

PARA MALAIKAT BERMOHON UNTUK KESELAMATAN MUHAMMAD BIN HIMYAR

                                                                                                                     
 ~sentiasalah istiqamah dalam melakukan kebaikan~

Assalamualaikum wbt.
         Dengan nama Allah, untuk kali ini saya hanya ingin berkongsi satu kisah yang mungkin tidak pernah didengar oleh orang lain. Kisah ini tentang seorang hamba Allah yang diberi nama Muhammad bin Himyar. Saya amat tertarik dengan kisah ini, semoga anda juga begitu.   
                                    
         Bermulalah kisah Muhammad bin Himyar yang merupakan seorang ahli ibadah. Dia seorang yang warak, selalu bangun beribadah dimalam hari, berpuasa, suka menolong dan berbuat baik sesama makhluk. Suatu hari Muhammad bin Himyar pergi berburu seorang diri seperti kebiasaannya. Semasa berada di tengah hutan, tiba-tiba dia dihalang oleh seekor ular yang nampak keletihan. Maka, bermulalah perbualan diantara mereka.

Ular: Hai Muhammad bin Himyar! Tolonglah aku, semoga Allah menolong engkau kembali.
Muhammad: Untuk apa engkau meminta tolong?
Ular: Aku sedang dikejar oleh musuhku.
Muhammad: Di mana musuhmu?
Ular: Dia sedang mengejar aku sekarang ini.
Muhammad: Engkau ini umat siapa?
Ular: Aku umat Muhammad SAW.

***************

         Muhammad bin Himyar yang suka menolong sesama makhluk itu sangat kasihan pada ular itu. Dia pun membuka serbannya untuk menyembunyikan ular itu.

Muhammad: Engkau masuklah kedalam serban ini.
Ular: Aku akan dapat dikesan oleh musuhku nanti.

         Lalu Muhammad bin Himyar membuka tali pinggangnya dan mempersilakan ular bersembunyi didalamnya. Tetapi ular tetap memberikan alasannya.

Ular: Aku masih dapat dikesan oleh musuhku nanti.
Muhammad: Kalau begitu, engkau bersembunyilah di dalam bajuku.
Ular: Aku akan dapat dikesan juga.

         Hairan juga Muhammad dibuatnya. Seekor ular yang meminta pertolongan tetapi setelah hendak ditolong, jadi cerewet dan banyak pula alas an yang dikemukakan.

Muhammad: Jadi apa yang aku boleh buat terhadapmu?
Ular: Jika engkau betul-betul mahu menolongku, sila buka mulutmu dan aku akan masuk kedalamnya.

          Muhammad bin Himyar sangat terkejut dengan permintaan ular itu. Dia terdiam seketika.

Ular: Apa lagi yang engkau fikirkan?
Muhammad: Aku khuatir engkau akan membunuhku.
Ular: Aku bersumpah, demi Allah. Aku tidak akan membunuhmu, Allah dan malaikat-Nya menjadi saksi.

***************

          Disebabkan ular  itu telah bersumpah dengan nama Allah, Muhammad bin Himyar tidak merasa ragu-ragu lagi dan terus membuka mulutnya untuk menyembunyikan ular itu. Tidak berapa lama kemudian datanglah seorang lelaki dalam keadaan termengah-mengah sambil membawa pedang. Pemuda itu bertanya sesuatu kepada Muhammad bin Himyar.

Pemuda: Apakah engkau nampak musuhku?
Muhammad: Siapa musuhmu?
Pemuda: Ular.
Muhammad: Tidak.             

         Lelaki itu pun terus pergi. Muhammad terus beristighfar sebanyak seratus kali kerana menyatakan ‘tidak’ itu.
         Apabila musuh telah tiada, ular pun mengeluarkan kepalanya sambil melihat ke kanan dan ke kiri kemudian terus masuk semula ke dalam perut.

Muhammad: Sila keluar! Musuhmu telah pergi.
Ular: Hai Muhammad! Engkau boleh pilih yang mana satu yang engkau mahu. Samaada aku akan koyak hatimu atau aku tebuk-tebuk jantungmu ataupun akan ku biarkan tubuhmu tanpa nyawa. 
Muhammad: Subhanallah, mana sumpah dan janjimu? Mengapa begitu cepat engkau melupakannya.
Ular: Hai Muhammad, apakah telah engkau lupa permusuhanku dengan Adam, sehingga gara-gara aku, dia keluar dari syurga? Mengapa engkau berbuat baik kepada orang yang curang dan tidak mengenang budi?

***************              

       Kini Muhammad bin Himyar pun sedar bahawa ular yang meminta tolong itu sebenarnya adalah syaitan. Dia teringat bahawa jin dan syaitan itu memang suka menjelma menjadi anjing dan ular. Barulah dia sedar bahawa dirinya telah ditipu oleh syaitan yang hendak membunuhnya.
Muhammad hanya bertawakal kepada Alah kerana sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

Muhammad: Jika benar engkau hendak membunuhku, berilah aku kesempatan untuk mencari tempat kematianku.
Ular: Boleh.       

         Sambil mencari tempat, Muhammad berdoa kepada Allah: “Ya Allah yang maha halus tolonglah aku, berilah aku kurnia-Mu yang samar itu. Ya Latiff, aku mohon dengan kekuasaan-Mu yang meliputi Arasy sehingga Arasy pun tidak tahu dimana Engkau, elakkanlah aku dari kejahatan ular ini.”

***************

         Dipendekkan cerita, tidak lama selepas itu datang seorang lelaki yang baunya sangat harum dan pakaiannya sangat bersih telah memberikan sehelai daun hijau kepada Muhammad. Orang itu menyuruh Muhammad membuka mulut untuk memasukkan daun itu kedalam mulutnya.
Setelah mengunyah daun itu, tiba-tiba perutnya terasa sangat sakit dan ular itu keluar dari duburnya dalam keadaan menjadi sepotong-sepotong. Kini Muhammad telah bebas dari bahaya. Muhammad sempat memegang tangan orang itu dan bertanya sesuatu.

Muhammad: Siapa engkau sebenarnya? Allah telah menolongku dengan berantaraan engkau.
Hamba Allah: Apakah engkau tidak mengenalku?
Muhammad: Tidak kenal.
Hamba Allah: Wahai Muhammad bin Himyar, semasa engkau berdoa kapada Allah, gemuruhlah para Malaikat. Mereka mohon kepada Allah untuk keselamatanmu. Lalu Allah menyuruhku pergi ke dalam syurga dan mengambil daun hijau itu untuk diberikan kepadamu. Namaku Al-Ma’ruf dan tempatku di langit yang ke-4.

         Sebelum berpisah ia berpesan: “Hai Muhammad bin Himyar! Tetaplah engkau berbuat baik kerana berbuat baik itu dapat mengelakkan dari kejahatan dan kebinasaan, meskipun tidak dibalas oleh yang ditolong, Allah tetap tidak akan mensia-siakannya.”

p/s: Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan semua, semoga bermanfaat. Ambillah iktibar dari cerita diatas dan tetaplah kita dalam melakukan kebaikan(istiqamah). Wallahu`alam. ^_^

~permata yang dicari~
12 Mei 2011
-Pengkalan Chepa, Kelantan-

8 comments:

  1. alhamdulillah....perkongsian yang menarik...first time dengar nih...may Allah bless you..pray for my mid-year exam..

    ReplyDelete
  2. kak Fatin..
    Muhammad bin Himyar ni.
    zaman mana??sahabat ka??lepas sahabat?

    ReplyDelete
  3. terima kasih,
    menambah lg koleksi kisah org yg hebat2,
    selamat berkarya. (",)

    ReplyDelete
  4. > Atief

    Jazakillah atip. Cerita Muhammad bin Himyar mmg x famous. Tapi jalan cerita dia mmg best..

    Semoga kita boleh ambil iktibar dari jalan ceritanya.
    InsyaAllah, k.Fatin akan doakan untuk semua adik2 dkt Matri, GOOD LUCK.
    Kalian sentiasa dihati k.Fatin ^_^

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  5. > Little Mashitah

    Kisah Muhammad bin Himyar ni, k.Fatin rasa zaman selepas sahabat, insyaAllah.

    Menarikkan kisah dia? ^^
    Semoga dapat mendalaminya.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  6. > ~mQ~

    Sama2.. Semoga dapat mengambil isi dalam
    cerita diatas. (",)

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum wbt..

    Saya mohon maaf kd semua..untuk tajuk ini ramai yang meninggalkan jejak di sini(komen)..
    Tapi saya x tahu mana pergi komen yang ada kt sini
    entah hilang ke mana..

    Mungkin ada masalah ketika itu..
    Apa2 pun semoga dapat mengambil manfaat di blog saya.

    Wallahu`alam.

    insan kerdil,
    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
  8. Akum,
    Ada tak doa/munajat Muhammad Himyar tu dlm bahasa Arab? Sy mencari doa itu dlm bahasa arab. Boleh tlg mailkan ke mundzirrozhan83@gmail.com jika ada?

    ReplyDelete