Tuesday, July 26, 2011

::.Seindah Fajar Ramadhan.::


       ~Ramadhan sebagai madrasah menyucikan hati~

           
           Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah… Sebelum madah diteruskan, ucapan Assalamualaikum ditujukan buat para pembaca blog permata yang dicari sekalian yang dikasihi fillah. Selawat serta salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW rasul Dakwah dan Tarbiyah.  Dengan rahmat kasih sayang-Nya, saya dapat berkongsi sesuatu dengan semua di blog permata yang dicari ini, bagi mengisi ruangan hati-hati yang berhajatkan kepada kebaikan. 

        
           Sebelum kita pergi lebih jauh, saya ada berapa soalan untuk hati-hati anda. Berapa hari lagi ya kita akan menghadapi Ramadhan? Adakah anda bersedia untuk menghadapi Ramadhan dan adakah anda benar-benar merindui Ramadhan yang akan menjelma tidak lama lagi? Adakah kita bersungguh-sungguh dalam berdoa supaya kita sampai ke dalam bulan Ramadhan yang dirindui? Jawab dalam hati itu sudah memadai.

        
           Untuk kali ini saya hanya hendak berkongsi secebis tentang ramadhan di bawah tajuk saya “Seindah Fajar Ramadhan”. Apa yang kita lakukan bila datangnya bulan Ramadhan? Sudah tentulah kita berpuasa bukan? Jadi apa yang anda faham apa itu puasa? Jika anda kurang mengetahui mengenainya, mari saya bawa anda belayar untuk kita sama-sama lebih faham. Semoga dapat manfaat.


Apa Itu Puasa?
      
         Puasa ialah menahan diri daripada makan minum dan daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbitnya fajar hinggalah terbenam matahari disertai dengan niat. Selain itu, kita perlu menahan dari menipu, berkata-kata buruk atau sia-sia dan daripada bertengkar atau bergaduh.

            
            Ini kerana puasa adalah medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Semasa saya disekolah dulu, ada seorang ustaz berkata bahawa Ramadhan adalah madrasah bagi orang-oarang beriman. Ini kerana apabila kita keluar sahaja dari bulan Ramadhan itu, kita akan membawa sikap yang baik kesan dari bulan Ramadhan tadi. Subhanallah, hebat bukan? =)


Bulan Al-Quran 
               
             Pada bulan ini al-Quran diturunkan. Justeru itu, Ramadhan adalah bulan al-Quran sebelum ia dipanggil bulan puasa. Ia sangat berharga, bukan sekadar berpuasa. Setiap tahun, umat Islam menyambut ketibaan hari nuzul al-Quran, namun sejauh manakah penghayatan kita mengenai al-Quran. Adakah sekadar membacanya sahaja? Atau sekadar merebut pahala semata-mata?

Firman Allah: “Bulan Ramadhan padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Surah al-Baqarah: Ayat 185)
               
                Jom kita sama-sama muhasabah diri supaya Ramadhan kali ini lebih baik dan bererti buat kita bersama, insyaAllah. ^^


Lailatul Qadar
               
               Dalam bulan Ramadhan juga terdapat Lailatul Qadr yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. Inilah yang termaktub dalam al-Quran:

“Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran ini pada Lailatul Qadr. Dan apakah kamu mengetahui apakah kebesaran Lailatul Qadr? Lailatul Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu diturunkan malaikat dan jibril dengan izin Allah tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut, sejahteralah malam berkat itu sehingga terbit fajar.”  (Surah al-Qadr: 1-5)
              
               
               Bila sebut pasal Lailatul Qadr, saya teringat sesuatu yang diperkatakan oleh ustaz saya dalam kelas saya tadi. Orang melayu ni selalu semangat diawal ramadhan dan diakhirnya sahaja. Sepatutnya kita bersungguh-sungguh sepanjang bulan Ramadhan untuk mencari Lailatu Qadr. Betul juga apa yang diperkatakan oleh ustaz itu. Terima kasih ustaz. ^^


Bulan Pengampunan
               
             Seperti yang kita tahu bulan Ramadhan ini adalah bulan maghfirah, dimana pintu neraka ditutup serapatnya dan pintu syurga dibuka seluasnya. Subhanallah, untungnya kita sebagai umat islam. Janganlah kita persiakan Ramadhan kali ini. Manfaatkan bersunggguh-sungguh. Mudah-mudahan Allah sudi untuk memilih kita merasai betapa manisnya Ramadhan ini.
              
                 
                Harap-harapnya juga kita keluar daripada Ramadhan sebagai graduan yang bertakwa, InsyaAllah. Bulan Ramadhan ini juga dikata sebagai pesta Ibadah. Selain itu, Ramadhan juga diibaratkan seperti hujan lebat yang penuh dengan kebaikan didalamnya, maka kebaikan yang kita perolehi itu bergantung sebesar mana bekas yang kita tadah. Jika sebesar cawan yang kita tadahkan maka kebaikannya sebanyak itu sahaja yang kita peroleh dan jika sebesar tasik yang kita tadahkan maka begitulah seumpamanya. Jika kita lihat, betapa ramainya orang akan berlumba-lumba untuk mengumpul pahala dari setiap apa yang dilakukan. Jadi jangan lepaskan peluang ini.



Akhir Sekali 
                
           Saya ingin mengajak hati-hati kita untuk sentiasa bersedia dalam menghadapi Ramadhan yang penuh kebaikan di dalamnya. Sebelum saya matikan bicara ini, ingin sekali saya berkongsi satu ayat al-Quran yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan keatas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”.  (Surah al-Baqarah: 183)     
              
               
          Jangan kita sia-siakan Ramadhan yang akan datang sebagai tetamu kita. Mudah-mudahan Allah terima amalan anda dan saya. Saya doakan anda sempat merasai ramadhan kali ini dengan penuh penghayatan dan penyerahan hati. ^^
               
                
              Saya rasa setakat itu dahulu untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk kita semua. Bagi yang dah membaca apa yang saya tuliskan ini, molek kiranya jika anda sampaikan kepada orang lain pula. Ini hanya secebis sahaja tentang Ramadhan. Mudah-mudahan Allah berkati.

P/S: SEMOGA ALLAH SAMPAIKAN KITA KE STESEN TAKWA YANG KITA HAJATI ^_^  INSYALLAH, AMIN.

-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
^^Permata yang dicari^^
27 JULAI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Thursday, July 21, 2011

::.Jibril Berpesan Kepada Rahib Supaya Jangan Mengeluh.::

~manisnya sabar itu daripada mengeluh~   


“Kenapalah hari ini terasa letih sangat? Penatlah nak buat kerja ni? Ishh, malasnya.. banyaknyaaa, kenapalah Allah uji macam ni?”
                                 

Itulah keluhan-keluhan yang pernah kita dengar dan tidak terlepas kita sendiri pernah berkata sedemikian rupa. Petang tadi saya mundar mandir di dalam bilik sambil berfikir apa yang saya hendak kongsikan dengan anda semua untuk kali ini. Terasa buntu seketika. Sunyi sahaja bilik.


“Alhamdulillah, jumpa pun!” Saya telah memecah kesunyiaan itu dengan nada suara yang sangat gembira. Adik-adik junior tersenyum sahaja melihat telatah saya. Terasa malu pula.^^  Manisnya sabar itu daripada mengeluh. Apa yang saya jumpa ya? Jom saya coretkan untuk anda, menjadi santapan hati buat semua. Semoga beroleh manfaat.


*************************

Bermulalah kisah seorang rahib dari Bani Israil yang sangat rajin beribadah. Sehinggakan setiap hari malaikat datang untuk bertanyakan jika si rahib ini berhajatkan pada sesuatu. Allah telah menumbuhkan anggur di sekitar rumahnya sehingga setiap hari ia dapat mengutip anggur itu sebagai makanannya. Jika dia dahaga, dia hanya menadah tangan ke udara, maka tertuanglah air dari udara.


Itulah keistimewaan yang Allah anugerahkan kepadanya. Sungguh luar biasa. ^^ Selang beberapa hari kemudian ada seorang pelacur yang sangat cantik datang ke rumahnya dan bertanyakan sesuatu kepada Rahib:
“Hai Rahib aku mohon pertolongan kepadamu, demi Tuhan yang disembah, berilah aku tempat bermalam kerana rumahku sangat jauh.”

Jawabnya si rahib: “Naiklah ke dalam.”



*************************

Ketika berhadapan dengan si rahib, tiba-tiba sahaja wanita itu menanggalkan pakaiannya untuk memperlihatkan kecantikannya. Melihat kejadian itu, si rahib terpaksa menutup mukanya sambil berkata:  “Tutuplah badanmu.”   

Pelacur itu pun berkata: “Aku ingin bersuka-suka denganmu malam  ini.”

Kemudian si rahib bertanya dirinya: “Bagaimana pendapatmu?”

Jawab dirinya: “Bertakwalah kepada Allah.”

Kemudian si rahib bertanya kepada nafsunya pula: “Bagaimana pendapatmu?” 

Jawab nafsunya: “Lakukanlah.”


Lalu si rahib berkata kepada nafsunya: “Celakalah kamu yang akan menghilangkan ibadahku dan akan mengenakan padaku pakaian neraka dan aku khuatir padamu dari jilatan api neraka yang tidak akan padam itu dari seksa yang tidak akan berhenti bahkan aku takut pada murka Allah.”


Tetapi nafsu tetap merayu, kemudian si rahib menjawab: Kini engkau akan kucuba dengan api yang kecil, jika kamu kuat menghadapinya maka akan kupuaskan keinginanmu malam ini.”


Lalu si rahib mengisi lampunya dengan minyak dan dibesarkan sumbunya, sementara wanita pelacur itu mengetahui akan maksud si rahib itu iaitu sedang berdialog dengan nafsunya.


*************************

Kemudian setelah dinyalakan apinya, segera si rahib memasukkan hujung jarinya ke dalam api itu. Maka terbakarlah ibu jari tangannya ke dalam api itu dan seterusnya jari –jari yang lain pun turut terbakar! Melihat kejadian itu, pelacur itu menjerit sekuatnya sehingga mati ketika itu juga. Si rahib menutup pelacur itu dengan kain dan berdiri menunaikan solat.


Dengan kejadian yang luar biasa itu, iblis mengambil kesempatan dalam menjerumuskan manusia seraya berkata: “Rahib telah berzina dan sekaligus telah membunuh wanita yang dizina.”


Dipendekkan cerita, tersebarlah kisah itu sampai ke telinga raja. Raja menjatuhkan hukuman pada Rahib. Ketika gergaji diletakkan diatas kepalanya, dia mengeluh, tiba-tiba Allah mewahyukan kepada Jibril:
“Hai Jibril, katakanlah kepadanya, jangan mengeluh buat kali kedua kerana aku melihat semua kejadian itu dan engkau(rahib) menangiskan peduduk langit dan Hamalatul Arsy, demi kemuliaanKu dan kebesaranKu jika mengeluh kali keduanya, Aku akan binasakan langit dan aku longsorkan bumi ini”


************************* 

Tiba-tiba Allah telah mengembalikan roh kepada wanita pelacur itu dan pelacur itu berkata: “Demi Allah, rahib ini teraniaya, dia tidak berzina padaku dan tidak pula membunuhku.” Wanita itu pun menceritakan perkara yang sebenar dari awal hinggalah akhir. Kemudian dia menyuruh orang ramai memeriksa jari rahib yang terbakar itu sehingga mereka terharu dan berkata: “Seandainya, kami mengetahui, maka tidak akan kami menggergaji kamu.”



Kemudian wanita itu kembali mati dan kedua-dua kubur itu berbau minyak kasturi sesudah dikafan dan disolatkan serta dikubur, terdengar oleh mereka satu suara dari langit:
“Allah telah menegakkan mizan/timbangan dan mempersaksikan para malaikat-Nya. Dan Aku persaksikan pada kamu sekalian bahawa aku telah mengahwinkan (si rahib) dengan lima puluh ribu bidadari di syurga Firdaus. Demikianlah pembalasanKu terhadap orang yang selalu waspada terhadapKu.”
  

p/s: Itu sahaja yang dapat saya kongsikan dengan semua, semoga bermanfaat. Ambillah iktibar dari cerita diatas dan tetaplah kita dalam melakukan kebaikan(istiqamah). Wallahu`alam. ^_^  


~permata yang dicari~
22 JULAI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Saturday, July 16, 2011

::.Ukhwah yang benar membawa ingatan kepada Allah.::

 
~ bersahabatlah hingga ke syurga~ 


“Ya Allah dengarlah doaku ini. Berilah kekuatan kepadaku dan sahabat-sahabatku yang amat aku sayangi kerana-Mu, InsyaAllah.”
                                                                    

Kuimbau kenangan lalu, membuat air mata ini mengalir dengan deras sekali. Bak air sungai yang  mengalir deras tanpa ada halangan. Ahhh!! Ya Allah betapa manisnya ukhwah ini, aku syukuri nikmat-Mu kerana ini adalah satu nikmat yang sangat besar bagiku selepas nikmat Iman dan Islam.  


“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.” ~ Saidina Umar Al-Khattab.


***********************

Ukhwah adalah satu hubungan yang boleh diklasifikasikan sebagai satu hubungan yang luar biasa. Ia boleh membuatkan kita rasa gembira dan kadangkala boleh membuatkan kita rasa gundah atau resah.


Ukhwah juga boleh menjadi pembakar semangat untuk kita meneruskan kerja-kerja yang berat atau menjadi obor kepada azam yang kita bina. Ada satu kata-kata yang hendak saya kongsikan, “ukhwah yang baik ialah ukhwah yang mendekatkan diri kepada Allah,” dan ada pujangga pernah berkata, “kamu adalah sahabat kamu”.


Justeru, kita perlu pandai memilih sahabat, agar sahabat itu mampu membawa kita untuk sentiasa dekat dengan Allah. Saling berpesan-pesanan kearah kebenaran. 

~Pimpinlah tangan sahabatmu untuk bersama masuk ke syurga~


***********************


Kenapa agak-agaknya saya menceritakan tentang ukhwah hari ini? Anda tahu kenapa? Adakah anda faham apa itu maksud sahabat? Maksud sahabat disini ialah, kita boleh berkongsi suka dan duka bersama, sama ada susah atau senang. Hebatkan, bukan hanya sekadar berkongsi suka, bahkan duka!


Jom, saya kongsikan dengan anda. Hari ini hari yang sangat menyedihkan saya. Pagi tadi saya ikuti satu program iaitu Seminar Memperkasakan Personaliti Hawa. Alhamdulillah, seminar itu berjalan dengan lancar. Selepas solat zohor sahaja, saya terus masuk ke dewan untuk mengikuti slot yang seterusnya, tiba-tiba sahaja ada mesej masuk, dengan pantasnya saya mebuka inbox. Tergamam. Lidah kelu tidak mampu berkata-kata. Menitis air mata ini.

“salam, al-Fatihah buat pak cik Farid (ayah Aniqah syafifah) yang telah kembali ke rahmatullah, jam 2 petang tadi, solat jenazah pukul 6 petang di Changkat Ming,Perak(kg Zaujah).. sebarkan.”  -Izzati-



Semoga Aniqah tabah menghadapi ujian ini. Saya dapat banyangkan betapa sedihnya dia, dia satu kolej dengan saya dan satu sekolah menengah juga. Aku sangat mengenalinya sejak tingkatan 1 lagi. Dia merupakan anak bongsu daripada 5 orang adik beradik. Moga Allah mencampakkan rasa tenang dan tabah di hatimu duhai sahabatku. Takziah diucapkan.

 ~Dia sahabatku dunia akhirat, Aniqah~

***********************

Ukhwah juga merupakan barometer pengukur pasang surutnya keimanan. Semakin teguh ikatan persaudaraan fillah, semakin hampirlah untuk menjadi mukmin yang sejati (mu'minul al haq). Maka sudah tentunya figure manusia yang berukhwah adalah figure insan yang hidupnya basah dengan limpahan iman. 


Satu lagi yang menyedihkan saya, 2 orang junior yang mengambil diploma komunikasi disini, turut akan berpindah. Kedua-dua junior ini memang rapat dengan saya, ukhwah yang terbina ini tidak sampai 3 bulan, membuatkan saya lebih menghargai sahabat itu. Apa-apa pun perjuangan itu mesti diteruskan tidak kira dimana kita berada sekalipun. Moga Allah redha.


Buat kak Nur dan rabiah yang berpurdah ^^, ketahuilah saya amat menyayangi kalian kerana Allah. Kita bertemu kerana Allah dan kita berpisah jua kerana-Nya. Semoga redha Allah sentiasa mengiringi langkah-langkah kalian. Ambillah sebanyak-banyaknya kebaikan yang ada di KTD ini buat bekalan dalam perjalanan yang masih panjang ini. Jazakillah, kerana sudi bersahabat dengan saya.


“Sesungguhnya ikatan akidah itu adalah sekuat-kuat ikatan dan orang-orang yang hidup di bawah naungan cinta dan persaudaraan islam, persaudaraan kepada Allah dan lillahi ta`ala akan dapat merasai dan menikmati satu kebahagian yang hakiki, kepuasan jiwa yang tidak terperi di mana ia tidak dapat dikecapi oleh orang-orang yang menilai hidup dengan nilai-nilai keduniaan yang fana ini.”

~Persahabatan yang terjalin hanya kerana-Nya~


**********************

“Ada tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya, iaitu dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, bertemu dan berpisah hanya kerana-Nya.”


Harap-harap saya dan para pembaca tergolong dalam kalangan orang yang Allah naungi pada hari tiada naungan selain naungan Allah SWT, insyaAllah.


Ya Allah, pujuklah hati ini agar tabah seperti sahabat-sahabatku yang lain. Kuatkanlah kami untuk terus berdiri teguh dalam memperjuangkan agama-Mu. Jadikanlah air mata yang mengalir ini tidak sia-sia, bahkan yang kami harapkan air mata ini mampu memadamkan api neraka yang panasnya tiada tandingan, amin.”
  

Akhir sekali, saya mohon maaf jika perkongsian saya kali ini agak emosi. Hanya ini yang mampu saya buat kerana ini merupakan luahan hati saya. Mudah-mudahan memberi kesan pada hati kita.


P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit atau berbangga diri, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi.  


Luahan hati,
- permata yang dicari
17 JULAI 2011
Kota Bharu, Kelantan

Tuesday, July 12, 2011

::.Ilmu Itu.::

~carilah ilmu yang bermanfaat sebagai bekalan untuk bertemu Allah~ 


Ilmu bermanfaat benteng buat diri
Menjadi jurang yang berbeza
Antara bijaksana dan kejahilan
Antara kemuliaan dan kehinaan



Kau ibarat permata yang bermakna
Kau kepunyaan dah milik semua
Hadirmu bagai cahaya kepada manusia
Anugerah Sang Pencipta



Tanpa ilmu apa ada pada rupa
Tanpa ilmu apalah ertinya harta
Ilmu pentadbir diri sempurna
Masyarakat berilmu negara sentosa.


p/s: ilmu tanpa amal sia-sia, amal tanpa ilmu gila.

-Permata yang dicari-
13 JULAI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-

Saturday, July 9, 2011

::.Nilai Diri Kita.::

~Nilailah diri kita sebelum Allah menilainya~


بسم الله الرحمن الرحيم

In The Name Of Allah 
Most Beneficent Most Compassionate…


Alhamdulillah, segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat menitipkan sedikit tinta yang lahir dari hati yang hina serta kerdil ni.
                                   

Pembaca yang dikasihi sekalian,


Saya ingin sekali mengajak hati-hati kalian untuk menilai diri kita. Berapa nilai diri kita ini untuk balik bertemu Allah. Sebenarnya saya terfikir hal ini semasa menaiki bas dari Penang pulang ke Kelantan tempat saya menuntut ilmu.


Jika Allah mentakdirkan saya mati pada ketika itu, apa yang saya bawa pulang untuk bertemu Allah SWT. Terasa banyak lagi yang saya perlu lakukan sebelum pulang bertemu Allah kerana syurga Allah itu terlalu mahal untuk orang yang sambil lewa.


Walaupun kepenatan kerana baru sekejap tadi sampai di sini, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sesuatu dengan semua. Mudah-mudahan terisi hati saya dan hati-hati kalian. insyaAllah.


********************  


Hasan al-basyri pernah berkata: “Jangan tentukan harga dirimu kecuali dengan syurga. Jiwa orang yang beriman itu mahal tetapi sebahagian daripada mereka menjualnya dengan harga yang murah.”


Remaja adalah makhluk yang paling mulia yang telah diciptakan oleh Allah. Makhluk yang paling kuat kerana di antara ratusan ribu sel sperma, remaja berjaya memenangi perjuangan untuk terus hidup.


Pernahkah remaja berfikir bahawa harga diri kita ibarat dunia yang ingin dikuasai, emas dan perak yang ingin dimiliki? Sayangnya, hanya sebahagian kecil sahaja yang menyedari jiwa kalian adalah makhluk yang beriman dan harta yang paling mahal.


Pembaca yang dikasihi sekalian,


Sebaliknya, lebih ramai yang berfikir bahawa harta dan dunia itu lebih berharga, lebih mahal berbanding sebuah jiwa yang beriman. Minda sebegini menyebabkan kita sering menangis pada saat kesempitan wang.


Kita tidak pernah menangis ketika hati sudah mati dan semakin jauh dengan Allah. Tidak pernah ada air mata ketika mengingat semua dosa-dosa yang telah kita lakukan. Dalam hal ni Rasulullah SAW ada bersabda: “Dunia ini terkutuk, semua yang ada di dalamnya terkutuk kecuali zikir kepada Allah, hal-hal yang bersangkutan dengan zikir, seorang `alim dan seorang pelajar.”


********************  

 Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua dan marilah kita muhasabah diri bersama. Moga Allah redha dengan kita semua. Wallahu`alam..
                               

P/s : Coretan ini adalah luahan pengalaman penulis yang ingin berkongsi dengan pembaca. Bukan untuk mengungkit dan mengingatkan apa-apa kenangan lalu, tetapi untuk mengambil manfaat dari apa yang telah terjadi. (",)

~PERMATA YANG DICARI~ 
9 JULAI 2011
-Kota Bharu, Kelantan-  

Wednesday, July 6, 2011

::.Litar kehidupan.::

~perjuangan ini masih belum selesai~


Assalamualaikum para pembaca yang dikasihi sekalian.

 
Apa khabar hati-hati kita? Moga bahagia dan senyum sokmo deh. ^^

 
Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya melakar sesuatu di teratak ini. Pejam celik pejam celik hampir tujuh hari permata yang dicari tidak digilap dengan tinta yang menyentuh kalbu.


Kemeriahan sedikit sebanyak pasti menurun. Mungkin para pelawat yang ingin mendapatkan sesuatu di teratak ini tidak ada hasil yang mampu dibawa pulang. Kesannya, berkuranglah para pelancong, para pekunjung dan pendatang asing yang ingin bersantai dan berehat di sini.


Apa yang hendak dikongsikan? ^^


Sebenarnya, saya ingin mengajak hati saya dan hati-hati kalian untuk sentiasa behubung dengan Allah. Apa yang dikatakan litar kehidupan?


Seperti yang kita tahu litar itu satu benda yang lurus. Tetapi tidak diduga, kadang-kadang di atas sesuatu yang lurus itu pasti ada kecacatannya, seperti lubang yang dalam, jalan yang berlopak, jalan yang punah dipenuhi duri.


Begitulah kehidupan kita jika kita hendak menuju ke syurga. Pasti banyak sahaja halanganya. Dipenuhi onak dan duri. Sedangkan jalan ke neraka begitu mudah, jalan yang dihiasi dengan warna warni oleh syaitan untuk memperdayakan manusia. Moga Allah sentiasa pelihara kita dalam menongkah arus kehidupan ini.  


Buah tangan untuk anda.. ^^ 


Dalam diari pejuang

Tiada masalah yang merumitkan

Ujian yang melemahkan

Dugaan yang menyusahkan

Bahkan itu semua dijadikan batu loncatan untuk lebih hebat

Mereka tepu dengan dugaan

Cuma sesekali air mata mengalir dipipi

Lambang kekerdilan kudrat hamba

Berdepan dengan ‘belaian’ Pencipta

Sebagai tanda ingat-Nya

Kepada mereka yang dikasihi.



Akhir: Takutlah kepada Allah ^^


Orang yang takut kepada Allah akan sentiasa meninggalkan apa yang dilarang-Nya, kerana bimbang akan siksaan Allah. Rasulullah SAW ada bersabda; “ Sesiapa yang takut kepada Allah nescaya semua orang takut kepadanya, akan tetapi barang siapa yang takut selain Allah nescaya Allah akan takutkan dia kepada segala-segalanya.”

 
Saya rasa setakat itu dahulu untuk kali ini, semoga bermanfaat untuk kita semua. Bagi yang sudah membaca apa yang saya tuliskan ini, molek kiranya jika anda kongsi dengan orang lain pula. Memang berat amanah ini, tapi itulah hakikat Dakwah dan Tarbiyah. Beramallah kita seikhlas yang mungkin kerana ganjaran-Nya sangat-sangatlah besar, insyaAllah.

 
p/s: Saya mohon maaf jika perkongsian kali ini tidak dapat mengetuk hati-hati kalian, moga Allah sentiasa bersama. ^^

~Permata yang dicari~
7 JULAI 2011
-Bukit Mertajam, Pulau Pinang -