Saturday, January 28, 2012

::.Berwudhuk Untuk Sihat.::


 
~Jom berwudhuk dengan sempurna~



Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Terima kasih Allah, I love you Allah. Segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat menitipkan sesuatu disini.


Sebelum saya meneruskan topik kali ini, ingin sekali saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang mendoakan kejayaan saya dalam pertandingan qiraat yang baru berlangsung pagi tadi. Alhamdulillah, Allah hadiahkan kejayaan kepada saya dan saya langsung tidak menyangka yang saya akan menang. Terima kasih sekali lagi buat semua. ^^


*********************


Berwudhuk adalah satu perkara sunat tetapi apabila hendak melaksanakan solat maka hukum berwudhuk berubah menjadi wajib. Tanpa wudhuk solat TIDAK SAH maka sia-sia sahajalah amalan kita. Jadi berhati-hatilah anda! Mari kita perhatikan apa kelebihan-kelebihan berwudhuk dari sudut kesihatan:-

1.      BERKUMUR: Kuman akan membiak dengan pantas jika terdapat sisa makanan di dalam mulut kita. Kuman tersebut akan membuatkan kerosakan gigi, ulser mulut dan sebagainya. Cara untuk mengatasinya adalah dengan berkumur Sains telah membuktikan berkumur dapat mencegah mulut dan kerongkong daripada jangkitan kuman dan radang. Bahkan ia mampu membuang sisa makanan di dalam mulut yang boleh merosakkan gigi.


2.      MEMBASUH HUDUNG: Udara kotor yang kita sedut membawa bermacam jenis kuman dan debu. Kuman-kuman ini boleh menyebabkan demam, selsema, batuk, sakit kerongkong dan lebih teruk boleh menyebabkan radang otak. Maka apabila kita membasuh hidung ketika berwudhuk, sudah tentu kita dapat menyucikan rongga hidung dan membuang sebahagian besar kuman tersebut. Bahkan ia boleh mengurangkan risiko terkena penyakit kanser hidung.


3.     MEMBASUH MUKA DAN KEDUA-DUA TANGAN: Bagi kaum lelaki, bahagian muka dan kedua-dua tangan sehingga siku sering terdedah kepada debu dan bakteria ketika mereka keluar rumah kerana bahagian lain tertutup. Maka dengan membasuh muka dan tangan kita dapat membuang sebahagian besar kuman, debu dan peluh yang melekat di permukaan kulit. Selain itu, ia juga menyingkirkan bahan berlemak yang terdapat pada peluh yang menyebabkan pertumbuhan bakteria pada permukaan kulit.  


4.      MEMBASUH KEDUA-DUA KAKI: Kaki merupakan oragan yang sentiasa terdedah kepada kotoran ketika berjalan. Segala debu, pasir dan cecair yang akan melekat pada kaki ketika berjalan. Maka, berwudhuklah jalan penyelesaiannya kerana kita membasuh kaki banyak kali dalam sehari ketika berwdhuk.


5.      KELEBIHAN-KELEBIHAN LAIN: Kajian saintifik menunjukkan aliran darah di bahagian tangan sehingga siku dan kaki adalah lemah berbanding aliran darah pada organ-organ lain. Maka dengan membasuh anggota-anggota badan tersebut sambil menggosok-gosoknya pada setiap kali berwudhuk dapat membantu meningkatkan pengaliran darah kepada bahagian-bahagian tersebut dan seterusnya dapat meningkatkan fungsi serta aktivitinya untuk kerja seharian.


Sains juga telah membuktikan kesan sinaran cahaya matahari terutamanya sinaran ultra violet yang boleh menyebabkan penyakit kanser kulit. Kesan cahaya matahari pada permukaan kulit yang terdedah dapat dikurangkan dengan membasuh bahagian tersebut kerana air dapat melindungi kesan-kesan bahaya sinaran matahari pada permukaan luar dan dalamnya.


*********************


Disini saya sertakan satu video yang menunjukkan contoh bagaimana Rasulullah SAW berwudhuk. Moga kita dapat tingkatkan dan perbaiki cara berwudhuk kita dengan lebih sempurna, insyaAllah. ^^ 


 
-Moga bermanfaat untuk semua-


 Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua dan marilah kita muhasabah diri bersama. Apa yang baik itu dari Allah dan yang lemah dan kurang itu dari diri saya. Saya mohon ampun pada Allah. Moga Allah kasih dan redha dengan kita semua. Wallahu`alam.


~Permata yang dicari~
29 January 2012
-Kota Bharu, Kelantan-

Wednesday, January 25, 2012

::.Duhai Mawar Berduri.::

-Rasa bahagia dengan ujian walaupun perit-
 


 Yakin pada Allah bukanlah mengharap terkabulnya segala harapan, yakin pada Allah adalah meletakkan keredhaan pada ketentuan-Nya, rasa bahagia dengan ujian walaupun perit, air mata yang menitis terasa bernilai buat menyiram api neraka, indahnya tarbiyah Allah,  tersiram rahmat dan hikmah, diuji kita sebagai tanda kasih sayang-Nya. Mendidik hati untuk menjadi GENERASI PERINDU SYURGA!!


  
 Dia yang bernama perempuan. Bila mana usianya meningkat, ilmu dan iman di dada turut seiring meningkat, maka di situlah seorang serikandi mukminah terbentuk. Dunia semakin sakit bila perempuannya hanya sihat di mata dan fizikal, namun hatinya sakit dan degupan jantung perlahan minta basuhan iman dan taqwa.
                                                                                                           
  
 Solatnya, telah semakin kering dan gersang sekadar pergerakan turun naik, tanpa khusyuk dan tawadhuk. Sia-sia belaka!!! Qurannya, mungkin bacaannya dalam solat itu sahaja. Aurat dan penampilannya bukan lagi sebagai ibadah dalam mematuhi syariat ilahi namun semakin tertanggal, semakin nipis, semakin sikit, semakin jarang dan pendek kainnya untuk mempamerkan kecantikan pada orang atau sekarang untuk kepuasan nafsu sendiri.


Senyuman dan kata-kata manis manja telah melimpah ruah buat lelaki yang disangka telah menjadi miliknya. Ilmu Quran, Ilmu Hadith, Ilmu fiqh, Ilmu usuluddin, tasawuf, takhrij, tauhid, ibadah, tafsir dan lain-lain, yang mana satu dikuasainya? Dia hanya tahu bersosial dengan segenap lapisan masyarakat, hanya tahu menyampai sedikit ilmu yang diperolehi dalam majlis-majlis ilmu yang dihadiri dua jam dari beratus-ratus jam seminggu.


Jiwanya kontang, tidak terbentuk apatah lagi ingin membentuk jiwa-jiwa yang lain. Dia tidak menguatkan iman saudara-saudara lelaki, dia melemahkan, malah membuka jalan kepada terhakisnya iman. Dia ingin berkahwin, namun sejauh mana penghayatannya bahawa pernikahan bukan sekadar penyatu dua jiwa, dua raga, dalam ikatan yang halal, tetapi adalah amanah berat sebagai yang bakal melahirkan generasi soleh untuk memakmurkan bumi dengan ajaran Allah.


Bagaimana dia ingin mengajar anak-anak erti kehidupan bila kehidupannya sendiri hanya secebis pergantungan kepada Pencipta. Pergantungan lebih kepada manusia yang dicintai, pada insan-insan yang mengelilingi hidupnya, bukan pada tahajjud yang menghidupkan hati. Menyeluruh warna kehidupan tidak mampu ditafsir jika tilawah dan zikrullah hanya bila kesusahan melanda, alpa bila kegembiraan hadir.


Hati yang kelabu berisi cinta terlarang, iman yang kontang dan hati yang gersang dari cahaya, peribadi terserlah mengikut nafsu dan pujukan dunia serta syaitan durjana, ilmu hanya setitik, kesabaran hanya secebis, akal tidak panjang.. Layakkah mendamba keluarga acuan al-Quran??


Dia masih di situ. Termangu mencari harga diri. Seorang diri mengintai-intai kesilapan masih tidak mengenal diri yang menyebabkan diri terpedaya dengan kehidupan yang bersifat sementara. Ketakutan dan kegusaran silih berganti dengan ketenangan dan ketenteraman yang cuba mencelah…..


Di sini saya sertakan sedikit puisi yang saya ingin kongsikan dengan semua yang pernah saya sematkan di blog ini tahun lepas. Moga anda mampu menghayatinya:


اختي الحبيبة في الله

 Jangan biarkan dirimu
 Menjadi sebarang bunga yang indah
 Tetapi sayang tidak berduri
Apabila tiada duri
Tiada lagi benteng yang boleh menghalang si bunga
Daripada sewenang-wenangnya didekati oleh sang kumbang
Lantas tercemarlah keindahan si bunga
Murahlah nilainya
Duri mawar itu ditasbihkan dengan pembatasan aurat
Akhlak dan al-Haya’(malu)
Dengan pagaran itu
Kilauan warna itu semakin memancar indah
Dan haruman aromanya mengelinap segenap naluri
Yang mengundang kekaguman
Di hati sang kumbang
Sehingga sang kumbang
Berfikir beberapa kali untuk mendekatinya.


Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf pada semua dan marilah kita muhasabah diri bersama. Apa yang baik itu dari Allah dan yang lemah dan kurang itu dari diri saya. Saya mohon ampun pada Allah. Moga Allah kasih dan redha dengan kita semua. Wallahu`alam..
                                                                           

P/s : Coretan ini saya khaskan untuk diri saya dan sesiapa sahaja yang ingin mengambil ibrah darinya. Moga mampu memberi suntikan buat hati untuk terus istiqamah dan sentiasa ingin meningkatkan mutu dan kualiti iman, InsyaAllah. Moga Allah kasih.  (",)


~Permata yang dicari~
26 January 2012
-Kota Bharu, Kelantan-

Monday, January 16, 2012

::.Rahsia Khusyuk Dalam Solat.::


 
~Berusahalah kita untuk khusyuk di dalam solat~



Kita mencari pemuda dan pemudi yang jiwanya terangkum jitu dengan nawaitu yang sebenar, akidah yang tulin, iman yang autentik. Untuk mengunjung taklif agama, pendokong panji khalifah, memakmurkan bumi Allah dengan syiar-syiarnya. Biar kita menjadi pemuda dan pemudi sebegitu, tidak perlu lagi mencari orang lain. Biarlah kita yang menyahut seruan ini. Dengan itu kita telah memilih untuk menjadi GENERASI PERINDU SYURGA!!


Ayuh, mantapkan solat kita. Apabila solat kita sempurna maka Allah akan memudahkan segala urusan kita, InsyaAllah. Solat adalah santapan hati yang telah hilang kesuburan iman. Disini saya akan kongsikan sedikit rahsia khusyuk dalam solat:

1.      MENGHADIRKAN HATI
Mengosongkan hati dengan memberi sepenuh tumpuan terhadap solat. Caranya ialah dengan menguatkan azam untuk khusyuk dan menolak semua fikiran yang melalaikan dan mengawal suasana sekeliling daripada perkara yang boleh mengganggu solat.

2.      FAHAM BACAAN SOLAT
Hati mestilah memahami segala apa yang dibicarakan oleh lidah di dalam solat. Caranya ialah dengan mempelajari terjemahan setiap ayat yang dibaca di dalam solat dengan menetapkan hati serta fokus untuk menangkap maksud bacaan solat itu.

3.      MEMBESARKAN ALLAH
Membesarkan Allah akan memberi kesan yang mendalam terhadap diri. Caranya ialah dengan mengenal kebesaran Allah dan keagungan-Nya dan mengenal diri kita sebagai hamba Allah yang amat kerdil lagi hina.

4.      MERASAI KEHEBATAN ALLAH
Merasa diri sedang menghadap Allah yang Maha Hebat. Ia adalah hasil daripada gementar terhadap Maha Agung dan Maha Tingginya Allah. Caranya adalah dengan kita merasakan Allah sedang melihat kita (Maha Melihat).

5.      PENUH HARAPAN
Mengharap dengan sepenuhnya semoga Allah menerima solat kita disamping rasa takut akan siksaan-Nya jika terlalai. Caranya adalah dengan mengenal sifat belas kasihan dan rahmat Allah disamping meyakini janji azab seksa bagi orang yang lalai dalam solatnya.  
       
6.      PERASAAN MALU
Seseorang yang solat mestilah memiliki perasaan malu terhadap Allah kerana sebagai manusia kita sering cuai dalam solat. Caranya ialah dengan meyakini bahawa Allah mengetahui segala rahsia dan gerak-geri hati kita. 


Di dalam al-Quran dan Hadith ada menegaskan keutamaan khusyuk di dalam solat. Antara nas-nasnya ialah:

Ø  Sesungguhnya beruntunglah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk didalam solatnya. (Surah al-Mukminun 1-2)

Ø  Solat adalah perkara pertama yang akan disoal pada hari Akhirat. Jika ia didapati memuaskan, maka amalan-amalan lain juga akan berhasil sedemikian. Jika ia tidak memuaskan maka amalan-amalan lain turut akan ditolak. (Hadith riwayat Abdullah ibn Qurt)

Ø  Dan sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang yang tunduk hatinya (kepada Allah) iaitu orang-orang yang mengetahui bahawa mereka akan kembali kepada Allah. (Surah al-Baqarah: 45-46



Setelah jauh memacu kata-kata, akhir sekali saya ingin memohon maaf kepada semua dan marilah kita muhasabah diri bersama untuk meningkatkan lagi prestasi solat kita. Moga ianya bertambah dan kian baik, InsyaAllah. Apa yang baik itu dari Allah dan yang lemah dan kurang itu dari diri saya. Saya mohon ampun pada Allah. Moga Allah kasih dan redha dengan kita semua. Wallahu`alam.


Yang mengharap doa kalian,
-Fatin Nabila Bt Sharul Azimin-
17 January 2012
-Kota Bharu, Kelantan-

Saturday, January 7, 2012

::.Jom Terima Kasih Dengan Allah.::

~“The more you give, the more you get”~




Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.. Terima kasih Allah, I love you Allah. segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Rabb sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, rasul dakwah dan tarbiyah. Setinggi-tinggi syukur dipanjat ke hadrat illahi kerana dengan izinnya saya masih dapat menitipkan sesuatu disini buat semua yang sudi ziarah ke teratak yang serba kekurangan ini.  
                                                 

Ini adalah sedikit perkongsian yang saya dapat semasa Tranformasi Cemerlang pada hari ini yang disampaikan oleh Alang Nur Naemi bin Mat Som dan Zainon. Terbaik. Memang seronok sangat-sangat. Dari pukul 8.00 pagi- 5.00 petang bertempat di Dewan Utama Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). –Kolej Terbaik Dunia- ^_^


MINTA IZIN

Sebelum itu, saya hendak bertanya pada anda semua, apa perasaan anda jika barang yang berharga diambil oleh rakan tanpa pengetahuan anda?? Saya yakin pasti akan timbul perasaan marah walaupun sedikit di dalam hati andakan??? Ya, jadi di sini apa yang saya hendak dirungkaikan adalah pernahkah kita MEMINTA IZIN ALLAH bagi setiap perkara yang hendak kita lakukan??? Tepuk dada tanya iman. Hatta perkara yang kecil begini pun kadang-kadang kita terlepas pandang.


Ada hikmah sebenarnya jika kita MEMINTA IZIN ALLAH dalam setiap perkara sekalipun hendak masuk ke tandas. Allah akan memudahkan kita dan barakah itu akan datang mencurah-curah. Misalnya, apabila kita hendak mula belajar, MINTALAH IZIN ALLAH dan berdoalah agar diberi kefahaman yang mendalam bagi menguasai subjek itu. Lihatlah betapa perlunya kita MEMINTA IZIN ALLAH. Ingat, perkara yang kecil jangan dipandang remeh!!
 

TERIMA KASIH

Apa yang kita rasa apabila orang mengucapkan terima kasih kepada kita setelah dia membantu atau meringankan beban kita? Sudah tentu akan terpamir sekuntum senyuman dari bibir kita bukan? Cuba bayangkan anda menyediakan makanan dengan bersusah payah untuk orang lain pasti anda akan rasa penat bukan? Tapi kepenatan itu pasti akan terubat dengan ucapan terima kasih dari mereka-mereka yang menghargainya. Walaupun hanya dengan terima kasih.


Jadi apa salahnya jika kita ringankan mulut dan hati kita untuk mengucapkan terima kasih kepada Allah yang telah memberi bermacam-macam nikmat kepada kita dan semua nikmat itu sangat tidak ternilai. Adakah kita berterima kasih dengan Allah kerana mengurniakan mata, hidung, telinga, mulut, gigi dan sebagainya yang tidak mampu kita hendak rungkaikan satu persatu? Orang yang susah untuk mengungkapkan ungkapan terima kasih ini adalah orang yang EGO!! Adakah kita mahu digelar orang yang SOMBONG?! Ungkaplah ungkapan ini setiap hari “Alhamdulillah, Terima Kasih Allah, I Love You Allah.”


PENUTUP

Dalam hidup ini, kita cubalah untuk membahagiakan orang lain kerana kita tidak mempunyai masa untuk TIDAK membahagiakan orang lain. Apabila kita boleh membahagiakan orang lain secara tidak langsung kita turut akan terasa bahagia. “The more you give, the more you get”.


Konklusinya, marilah sama-sama kita sentiasa meminta izin Allah dan sentiasa berterima kasih kepada Allah (bersyukur) dalam setiap perkara yang hendak kita lakukan atau perkara yang dianugerahkan Allah kepada kita. Semoga Allah sentiasa kasihkan kita semua. InsyaAllah, InsyaAllah, InsyaAllah ada jalannya.


p/s: Apa yang saya kongsikan ini adalah untuk diri saya sendiri dan jika anda rasa ada manfaat yang banyak disini. Silalah ambil, saya sangat mengalu-alukan. Apa yang saya dapat sebenar banyak lagi tapi cukuplah hanya sekadar ini dulu. Saya bukan kedekut ilmu tapi saya perlu membuat persediaan untuk kelas esok. Saya perlu ulang hafazan saya supaya tidak luput dari ingatan ini. Saya sangat memerlukan doa anda semua. terima kasih wa syukran kepada semua.


~Permata yang dicari~
8 January 2012
-Kota Bharu, Kelantan-